rencana

Petua senang, sengsara era Najib – Shahbudin Husin

Tiada apa yang memeranjatkan apabila Datuk Seri Mukhriz Mahathir secara terbuka menyatakan sebab utama beliau disingkirkan sebagai menteri besar Kedah ialah kerana tegurannya berkaitan 1Malaysian Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion yang diterima Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, perkara itu diberitahu Najib sendiri yang nyata beliau tidak senang dengan kritikan dan kelantangan berkaitan 2 perkara itu.

Kenyataan Mukhriz itu hanya mengesahkan lagi yang sesiapa saja bersuara lantang dan berbeza mengenai kedua-dua isu itu pasti akan segera "dipancung" dan "dipendekkan nyawa politiknya".

Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal dipecat daripada Kabinet juga kerana bersuara mengenai 1MDB dan wang derma tersebut.

Bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail dibuang secara mengejut dan orang nombor 2 dalam Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia, Datuk Abdul Hamid Bador dipindahkan serta-merta pun kerana 1MDB dan duit derma itu.

Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipindahkan (tapi ditarik balik selepas timbul desakan) dan beberapa yang lain disiasat dan digeledah, juga tidak lain disebabkan sedang menyiasat tentang 1MDB dan wang derma yang sama.

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Mathias Chang ditahan, "disosmakan"  dan didakwa di mahkamah semata-mata kerana bersuara ke seluruh dunia inginkan kebenaran berkaitan 1MDB dan wang RM2.6 bilion itu.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan ramai yang lain mendapat jawatan kerana gigih mempertahankan 1MDB dan derma yang khabarnya disumbangkan keluarga Diraja Arab Saudi, tetapi masih dirahsiakan namanya.

Ahli-ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara ditawarkan jawatan dalam kerajaan, semua rakyat dan makcik Felda pun tahu puncanya hanyalah berkaitan 1MDB dan wang derma yang satu itu.

Mendesak pemimpin tertentu berundur kerana 1MDB dan derma akan dianggap berdosa, lalu disiasat dan dipecat tetapi berkomplot menolak pemimpin bersuara tentang perkara yang sama, akan diberikan pujian dan dikatakan untuk kepentingan parti pada masa hadapan.

Pendeknya, dalam era Najib ini, untuk senang atau derita dalam politik, senang saja pilihannya. Kuncinya satu saja, iaitu 1MDB dan duit RM2.6 bilion.

Kedua-dua perkara itu seolah-olah "benda suci" yang tidak boleh sama sekali dikata tidak baik mengenainya.

Bersuara dan mengkritik 1MDB serta derma yang diterima perdana menteri, bermakna bersedialah dengan risiko susah dan sengsara, manakala angguk dan sanggup berkata "ya" sepanjang masa, dapatlah segala nikmat dunia.  – shahbudindotcom.blogspot.com, 12 Februari, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments