rencana
Politik baharu berputik – Mujahid Yusof Rawa
Kempen pilihan raya umum ke-12 dan ke-13 mengangkat tema "Fajar Politik Baharu" yang menggambarkan sebaik perkataan untuk negara ini maju ke hadapan.
Namun, slogan itu tidak semudah mee segera, kerana apabila Pakatan Rakyat (waktu itu) memperkenalkannya kepada pengundi, ia mengetahui yang maksud baharu memakan proses yang panjang dan tentangan penyandang Barisan Nasional yang berdegil dengan politik "old school" dan tegar dengan politik "cash is king".
Antara ciri politik baharu ialah menerima keberadaan kerencaman (kepelbagaian) digunakan sebaiknya untuk membina negara bangsa ini dan bukan kerencaman dianggap bala dan manipulasi politik ke arah "bahaya perpecahan".
Kami daripada pendukung politik baharu adalah penyeru tegar kepada konsep Kesepaduan dan bukan sekadar retorik Perpaduan.
Kesepaduan bermakna kita masih boleh berada dalam kekuatan di sebalik kepelbagaian politik dan ianya diikat oleh kasih kita kepada kepentingan negara terlebih dahulu pada kepentingan parti dan kaum.
Kesepaduan tidak mensyaratkan keseragaman (uniformity), cukup dengan ikatan kasih pada negara, biarlah kita berbeza ideologi sekalipun.
Berbeza pandangan dengan pemerintah bukan bersamaan dengan tidak suka kepada perpaduan, sifir songsang inilah yang Umno sering tiupkan dan doktrinkan walaupun Umno tahu ianya pemikiran sempit dan membahayakan.
Pakatan Harapan tertegak atas prinsip ini dan mahu membuka lembaran baharu dalam berpolitik melalui formula pendemokrasian berterusan.
Hari ini, setelah kami membawa pemikiran politik rentas parti dan kepentingan politik, Malaysia menyaksikan satu deklarasi penting atas nama warganegara peduli merentasi sempadan politik dan ideologi untuk Selamatkan Malaysia.
Tidak sukar bagi kami menyertai gerakan ini kerana kami dipandu dengan kejelasan sejak awal, iaitu pemimpin rasuah harus dihentikan, reformasi institusi perlu berterusan dan kesedaran rakyat melalui hak bermaklumat dan kebebasan media mesti diagendakan.
Kami tidak ada masalah jika mana-mana pihak memilih kaedah ini untuk berpolitik dan hari ini harapan kami menjadi kenyataan.
Saya menyaksikan tarikh bersejarah sebentar tadi di mana setiap warga dari latar belakang perjuangan politik berbeza dan masyarakat sivil berhimpun untuk memberikan komitmen menyelamatkan negara.
Dua asas penting yang semua bersetuju, yang perdana menteri dan siapa sahaja yang melindungi kepincangannya harus disingkirkan dan kedua, reformasi institusi dan proses pendemokrasian menyusuli seiring dalam proses penyingkiran dan selepas penyingkiran.
Kesegaran ini diperlukan oleh rakyat Malaysia untuk kita bernafas lebih sihat daripada yang kita alami selama ini.
Saya berbangga melihat sebahagian hasil para pendokong politik baharu mula dapat dilihat. Penat jerih pengasas seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ustaz Fadzil Noor, Lim Kit Siang dan lain-lain pejuang politik baharu kini sedang berputik.
Begitu juga nama mereka yang tidak didendang sama ada yang meninggalkan kita atau yang menderita kerana politik baharu ini, atau dipenjara kerana keazaman yang tidak pernah pudar, kepada mereka inilah kelazatan menikmati hasilnya.
Kepada yang menjadi pendukung baharu, mereka harus faham prinsip dan matlamatnya, sesaat mereka terlencong kerana kepentingan diri, politik baharu tidak akan tergugat dengan lencongan mereka, tetapi merekalah yang akan lemas dalam gelombang yang bakal mengubah lanskap politik nasional memasuki era baharu yang menjaminkan.
Selamat datang politik baharu, selamat tinggal politik kuno. Selamatkan Malaysia! – 4 Mac, 2016.
* Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa ialah naib presiden, Parti Amanah Negara.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments