rencana

Politik logo BN Sarawak – Awang Azman Awang Pawi

Ketika Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) mulai berpecah dan membawa kepada penubuhan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) ditubuhkan Datuk Leo Moggie Irok.

Inilah antara krisis politik terbesar dalam parti yang didominasi etnik Dayak pada tahun 1983. 

Parti SNAP ketika itu dapat dianggap sebagai parti gergasi yang besar dan apabila tindakan ahli SNAP keluar parti beramai-ramai menyebabkan parti ini semakin lemah.

Parti SNAP ketika itu ialah sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) manakala PBDS belum lagi menyertai BN dan dilihat sebagai parti “mesra BN”.

Jadi, penyelesaikan ketika itu ialah kedua-dua parti ini tidak dibenarkan menggunakan logo BN. Biarlah kedua-dua parti ini beradu tenaga dan mengukur kepopularan sendiri.

Malah parti komponen BN lain tidak dibenarkan meletakkan calon atau proksi mereka di tempat SNAP dan PBDS mencari kemenangan kawasan ditandingi.

Isu utama sesama mereka ialah isu kepimpinan khususnya mengungkit yang SNAP dipimpin pemimpin Cina dan ini susah untuk memperjuangkan kepentingan orang Dayak yang merupakan ahli majoriti dalam parti SNAP.

Penyokong SNAP pula menuduh pemimpin PBDS gila kuasa dan tidak sabar untuk berada di puncak kuasa.

Dalam pilihan raya 1983 tersebut, SNAP menang 8 kerusi manakala PBDS menang 6 kerusi.

Selepas seminggu pilihan raya negeri Sarawak dan kemenangan yang diperoleh PBDS, ia diterima menjadi komponen BN Sarawak.

Inilah antara keajaiban dalam dunia politik Sarawak.

Jalan akhir SUPP dan SPDP?

Berdasarkan krisis politik yang berlaku dalam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) yang menyebabkan terbentuk parti serpihan yang dikenali sebagai Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

Mungkinkah situasi parti tersebut hampir sama berlaku seperti pilihan raya negeri pada tahun 1983?

 Adakah krisis ini akan mengakibatkan SUPP dan SPDP mengambil jalan ke mahkamah dengan memohon injuksi mahkamah agar parti UPP dan TERAS tidak boleh menggunakan logo BN?

Tentulah ini akan membawa implikasi besar terhadap pilihan raya negeri Sarawak pada kali ini!

Hal ini boleh berlaku sekiranya tidak ada kata putus di antara parti SUPP dan SPDP dengan parti serpihan mereka dalam pembahagian kerusi.

Sekiranya ini berlaku, calon UPP dan TERAS akan sukar memenangi pilihan raya ini kerana pengundi penyokong BN akan keliru dan tidak pasti di antara parti, lambang atau logo atau pun calon. 

Parti UPP dan TERAS dianggap terlalu baru dan masih sukar bertapak di hati pengundi. 

Sekiranya pertembungan berlaku khususnya di antara SUPP dan UPP, akan menyebabkan undi lebih memihak kepada pembangkang seperti Parti Tindakan Demokratik (DAP) mahupun Parti Keadilan Rakyat (PKR). Tentu sekali, Datuk Patinggi Adenan Satem selaku ketua menteri Sarawak tidak mahu ini berlaku. 

Pertembungan di antara SPDP dengan TERAS pula sebenarnya akan menyebabkan suara pengundi Dayak berpecah dan sukar untuk menyatukan etnik Dayak yang terpisah oleh banyaknya parti yang dianggotai mereka.

Ini akan menyebabkan peluang untuk melonjakkan undi popular setinggi-tingginya akan malap.

Namun, dari satu segi lain, tentulah SPDP dan SUPP akan beruntung daripada segi nama parti mereka lebih lama daripada parti serpihan tersebut. 

Namun SUPP diketahui umum, mengalami zaman kepudarannya dan sukar untuk kembali ke era kegemilangan sebagaimana pada tahun 1970-an.

Tambahan pula, tentulah bagi golongan yang mahukan parti ditadbir Dayak sendiri tidak puas hati dengan yang SPDP kini ditadbir bukan Dayak.

Sentimen ini tentu akan merosakkan undi Dayak di luar bandar.

Apapun, perintah injuksi mahkamah sebenarnya merupakan senjata ampuh kepada SUPP dan SPDP pada saat-saat akhir nanti.   

Sekiranya injuksi dimohon, ia mungkin meminta agar parti TERAS dan UPP tidak dibenarkan menggunakan logo BN.  Ini sebenarnya strategi politik yang boleh diambil SUPP dan SPDP.

Injuksi ialah remedi dalam bentuk arahan mahkamah yang ditujukan kepada pihak atau individu tertentu sama ada menghalangnya daripada melakukan atau meneruskan sesuatu tindakan (injuksi larangan) atau mengarahkannya melakukan sesuatu tindakan (injuksi mandatori)

Namun sejauh manakah kedua-dua parti komponen ini berani dan sanggup untuk menongkah arus dan melanggar kata-kata pengerusi BN Sarawak yang mahukan semua komponen parti BN Sarawak bersatu hati dan menang besar dalam pilihan raya negeri yang akan datang? 

Apa pun tindakan yang akan dilakukan SPDP dan SUPP mencerminkan budaya politik parti komponen Barisan Nasional Sarawak dalam pilihan raya negeri Sarawak yang bakal diadakan pada penghujung April ini. – 27 Februari, 2016.

*Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah ahli akademik di Jabatan Sosiobudaya, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments