rencana
Politik pemimpin bebal kepada pemimpin berilmu – Saufi Arif
Masyarakat Malaysia perlu sentiasa diingatkan akan kehancuran dan kemusnahan yang berlaku dalam seisi masyarakat adalah kesan daripada kepimpinan pemimpin bebal. Hal ini terjadi kesan daripada proses pembuat keputusan melalui kejahilan dan kebebalan manusia yang diangkat menjadi pemimpin manusia.
Pernyataan di atas bersamaan dengan hadis daripada Abu Hurairah; Nabi Muhammad bersabda: "Apabila amanah dipersia-siakan,tunggulah saat kehancuran. Maka sahabat bertanya, "Bagaimanakah amanah itu dipersiakan?
Jawab baginda:"Apabila diserahkan urusan kepimpinan kepada orang yang bukan ahlinya (tidak layak), maka tunggulah saat kehancuran.” (Riyawat al-Bukhari)
Oleh itu, sudah tiba masanya kini, demi merubah Malaysia ke arah yang lebih baik, jawatan dalam persekutuan, negeri dan juga peringkat kerajaan tempatan perlu diisi pemimpin berilmu bukannya jawatan tersebut diberikan kepada orang politik yang hanya kerana kepentingan politik.
Politik pemimpin berilmu adalah proses meletakkan golongan ilmuwan sebagai ketua kerana faktor keluasan pengetahuan untuk mentadbir dan memahami resah gelisah rakyat marhaen. Sifat utama yang harus ada sebagai seorang pemimpin berilmu adalah rajin membaca serta tangkas dalam menyelesaikan permasalahan rakyat.
Jujur dapat kita lihat pada hari ini, ramai pemimpin banyaknya daripada golongan bisnes. Jadi perkara ini menjadi bual mulut masyarakat di mana, mereka menjadi pemimpin hanya untuk mengumpulkan kekayaan sepanjang memegang amanah rakyat.
Perkara ini tidak dapat dihindarkan menjadi bual mulut masyarakat selagi mana ramai pemimpin kita pada hari ini masih duduk selesa di dalam rumah yang tersergam indah namun masyarakat masih terkial-kial mencari makna perkataan keselesaan kehidupan. Ye, tidak dinafikan kita sudah maju berbanding dengan tahun permulaan pembangunan negara Malaysia, namun di sebalik kemajuan tersebut, masih terselit di celahan bangunan mewah wujudnya masyarakat miskin yang berjuang mencari sesuap nasi.
Sebagai contoh, di tempat parkir terbuka, pasti akan ada manusia yang menunggu di situ untuk memohon upah kerana bagi mereka adalah untuk menjaga kereta kita sepanjang keberadaan kereta di situ. Padahal, tidak perlu untuk perkara tersebut. Namun saya memandang perkara ini di sudut lain di mana manusia ini terdesak dengan kemiskinan bandar dan juga survival kehidupan.
Oleh itu, polemik politik negara perlu mengetengahkan ramai pemimpin berilmu yang mampu untuk memahami tanggungjawab perkhidmatan rakyat dan juga tanggungjawab agamanya. Bila mana, kita memperjuangkan perlunya pemimpin berilmu mengisi jawatan dalam kepimpinan negara maka perkara ini mampu untuk membanteras jenayah rasuah. Hal ini kerana, mereka memahami tuntutan agama pabila amanah diberikan maka rasuah dan juga kesalahan pentadbiran perlu dihindarkan demi kesejahteraan rakyat diperintah.
Jika mereka ingkar maka rakyat yang akan menjadi mangsa kejelikan perbuatan mereka. Kita boleh lihat dalam peredaran masa pentadbiran negara di mana ramai pemimpin negara terpalit dengan isu moraliti yang tidak sepatutnya dimiliki oleh pemimpin negara. Pasti ada yang tidak kena dengan sistem kelahiran pemimpin negara.
Pemimpin berilmu adalah pemimpin yang akan mendahulukan rakyat dalam segala keperluan demi tanggungjawab kepada agama serta rakyat itu sendiri. – 15 Februari, 2016.
* Penulis ialah pembaca The Malaysian Insider.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments