rencana
PRU14, kalau kalah bagaimana nanti – Mohd Rizal Jaapar
Kekalahan 1-7 pasukan bola sepak Brazil kepada Jerman di kejohanan Piala Dunia 2014 masih segar dalam ingatan. Perlawanan separuh akhir yang dianggap “buku bertemu ruas” itu menjadi kenangan terindah buat rakyat Jerman dan mimpi paling ngeri bagi warga Brazil.
Bola sepak Brazil sendiri terpaksa menanggung akibatnya apabila jatuh ke kedudukan ke-6 dunia sehingga ke hari ini.
Tanda kemerosotan Brazil lama diramalkan, bahkan mereka pernah jatuh sehingga tempat ke-18 dunia pada 2012 dan 2013. Namun bencana itu diabaikan pihak pengurusan kerana merasakan hanya Brazil pasukan yang layak menjulang Piala Dunia.
Ditambah pula dengan mutu permainan yang semakin merosot, semangat berpasukan yang luntur bersilih ganti dengan pergolakan antara pemain; serta menafikan persiapan rapi pasukan lawan; Brazil hanya menunggu saatnya untuk ditewaskan dan diaibkan.
Senario yang sama nampaknya sedang terjadi di Malaysia; bukannya di arena bola sepak tetapi di pentas politik. Keengganan mengakui kelemahan pasukan sendiri, termasuklah ketaksuban terhadap sokongan akar umbi dan kegemilangan lampau menyebabkan perikatan Barisan Nasional (BN) atau lebih khusus lagi parti politik Melayu Umno kini berdepan prospek kekalahan paling besar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang bakal diadakan selewat-lewatnya Ogos 2018 nanti.
Sebenarnya keengganan untuk berdepan kekalahan atau “mengingat mati” ini memberi implikasi yang cukup besar kerana di situlah tercetusnya kepercayaan songsang “hanya Umno dulu, kini dan selamanya”.
Perbagai kajian dan konsensus terkini jelas menunjukkan sokongan terhadap BN sedang berada pada tahap paling rendah sejak merdeka. Kritikan serta cemuhan orang ramai seolah-olah sudah tidak dapat dibendung lagi, padahal perbuatan menghina pemimpin secara terbuka ini bukanlah “stail” orang Melayu yang umumnya sangat menghormati pemerintah.
Umno sendiri mungkin tidak mahu mengakuinya secara terbuka tetapi tindak-tanduk mereka kebelakangan ini yang “terlebih kuah dari sudu” dalam mencari rakan politik membuktikan betapa terdesaknya mereka.
Ada rakan yang berjenaka kononnya jika iblis sendiri datang menghulurkan tangan, ia akan diterima Umno tanpa banyak soal. Parti politik yang sama juga dilihat semakin kurang berkeyakinan untuk berdepan dengan masyarakat secara terbuka. Justeru semakin ramai di kalangan menteri Umno yang lebih rela bekerja secara “kawalan jauh” dari luar kawasan atau luar negara. Ada pula yang lebih suka memilih untuk bermonolog dengan media walaupun kenyataan yang dikeluarkan hanya memburukkan keadaan, biadab, sombong dan tidak berpijak di bumi nyata.
Dengan segala macam kemelut yang melanda bagaimana BN mahu terus berkhidmat dan melunaskan janji manifesto PRU13 mereka sekiranya akal dan upaya dibazirkan untuk melayan kemarahan orang ramai? Bagaimana mampu mereka menyokong pembangunan modal insan, merapatkan hubungan antara kaum dan menggerakkan aktiviti ekonomi yang menguntungkan, sekiranya yang lebih diutamakan adalah poket mereka sendiri?
Persoalan yang wajib difikirkan setiap rakyat Malaysia khususnya ahli Umno, pimpinan di setiap cabang, cawang dan bahagian serta rakan politik dalam BN ialah “Kalau kalah PRU14 nanti bagaimana naib BN?”
Kekalahan BN dalam PRU14 bukanlah sesuatu yang mustahil sekiranya keputusan PRU13 dijadikan sandaran. Kemenangan calon BN rata-ratanya lebih tipis berbanding kemenangan calon pakatan rakyat dengan majoriti yang besar-besar.
Menjelang PRU14 nanti antara defisit terbesar Umno ialah kurangnya calon berwibawa berikutan terkeluarnya nama-nama besar Umno yang “melawan arus”, manakala di pihak lawan calon mereka dilihat lebih muda dan progresif, hebat berpidato, popular dan kelihatan lebih bijak.
Ya, Umno boleh saja menafikan kenyataan di atas namun fakta tidak boleh berbohong, manakala denyut nadi kekecewaan dan kemarahan rakyat sudah tidak boleh diperlahankan lagi. Lebih 3 juta ahli Umno dan berjuta lagi pengundi Malaysia yang selama ini memangkah dacing BN tanpa was-was kini berdepan dilema terbesar dalam sejarah Melayu moden pasca merdeka. Apa pilihan terbaik mereka selain BN?
Orang Melayu dan kaum Bumiputera sudah tentu lebih bimbang dengan status mereka sekiranya BN tidak lagi memerintah, walaupun pada hakikatnya BN dan Umno pun tidak terlalu komited dalam memelihara hak peribumi.
Orang Melayu juga bimbang tentang masa depan anak mereka, peluang untuk belajar tinggi dan menerima biasiswa, pilihan untuk bekerja, menunaikan solat serta hak melaksanakan tuntutan ibadah, hilangnya jati diri Melayu, pengaruh pergaulan bebas dan lain-lain.
Yang bukan Melayu juga ada kebimbangan mereka sendiri. Faktor keselamatan dan mungkin juga faktor kepercayaan terhadap kerajaan baru yang belum pernah mentadbir kerajaan pusat dengan pendekatan sosiopolitik baru.
Pada masa sama, perpindahan kuasa daripada parti pemerintah kepada parti pembangkang kebiasaannya tidak pernah lancar. Pasti akan ada tempoh gawat dan tempoh bertenang yang berkemungkinan merencatkan aktiviti ekonomi domestik dan serantau; khususnya apabila wujud pihak ketiga yang lebih seronok menjadi batu api, mengharapkan kita “berkapak-berparang” sesama sendiri.
Sebenarnya masih belum terlewat untuk mengubah keadaan. Lambakan krisis demi krisis tanpa kesudahan ini membayangkan ada sesuatu yang tidak kena dari dalam, bukannya dari luar. Kekotoran ini perlu dibersihkan secepat mungkin sekiranya Umno mahu budi dan amal mereka diterima kembali. Sebaliknya jika najis ini dibiarkan, dibimbangi bukan saja amalan dan ibadat tidak diterima, bahkan boleh menambah dosa dan mengundang murka.
Kepada mereka yang benar-benar sayangkan negara ini, cubalah berhenti dan berfikir sejenak tentang masa depan negara, agama dan bangsa kita sekiranya “barah” di dalam Umno dan BN dibiarkan merebak.
Fikirkan tentang legasi yang mahu kita wariskan kepada cucu cicit nanti. Sebagai seorang yang mengaku beragama Islam bermuhasabahlah tentang amanah yang sedang dipikul. Jangan nanti apabila kalah besar di PRU14, baru kita terkulat-kulat mencari punca kerana pada ketika itu segalanya sudah terlambat. – 16 Februari, 2016.
* Penulis ialah pembaca The Malaysian Insider.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments