rencana

Pulihkan keyakinan rakyat Kedah – Zulkiflee Bakar

Politik Kedah kini kembali tenteram, segala teka-teki sudah terjawab. Barisan exco kerajaan negeri sudah diumumkan dan mengangkat sumpah kelmarin. Tiada yang digugurkan dan tiada yang dipinggirkan. Semua ‘pasukan exco’ di bawah kepemimpinan Menteri Besar terdahulu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dikekalkan.

Langkah Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengekalkan barisan exco tersebut dilihat petanda baik kepada politik Kedah, walaupun dikhabarkan ada juga yang kecewa memandangkan impian untuk menjadi exco tidak kesampaian.

Namun Ahmad Bashah mengambil langkah bijak, patuh kepada ketetapan pucuk pimpinan supaya tiada mana-mana exco digugurkan. Tindakan itu sekali gus bagi mengelakkan politik perbalahan dan membalas dendam terus wujud dalam pentadbiran negeri yang dikuasai Umno dan Barisan Nasional (BN).

Kini fasa pertama sudah selesai. Ahmad Bashah dan barisan exconya memasuki fasa II iaitu harus memberi tumpuan penuh kepada usaha bagi menyejahterakan rakyat Kedah. Misi utama ialah mengembalikan semula sokongan yang mungkin terhakis akibat kemelut politik baru-baru ini. Oleh itu, barisan exco yang dilantik perlu memahami tanggungjawab mereka dan berusaha melaksanakan amanah yang diberikan sebaik mungkin.

Pada masa sama, wakil rakyat BN juga perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan sokongan rakyat terhadap parti itu terus kekal supaya dalam pilihan raya umum akan datang Kedah terus berada dalam genggaman BN. Jangan ada lagi politiking sesama sendiri yang hanya akan merugikan parti. Tumpuan penuh perlu diberikan kepada usaha mendekati rakyat di seluruh pelosok negeri Kedah. Segala masalah mereka perlu diselesaikan dan segala keluhan mereka didengari. Ahmad Bashah dan barisan exco mempunyai tanggungjawab berat untuk memastikan pemerintahan mereka jauh lebih baik daripada apa yang pernah dipamerkan Mukhriz.

Dalam memperkatakan soal ini perlu semua wakil rakyat dan ahli politik di Kedah termasuk mereka yang bertaraf ahli Parlimen benar-benar jujur dan ikhlas untuk meletakkan kepentingan parti mengatasi segala-galanya.

Politik Kedah di bawah BN tidak boleh lagi terjebak dalam kemelut yang akan merugikan parti. Tumpuan penuh harus diberikan kepada usaha membangunkan Kedah dan menyejahterakan rakyat. Ahmad Bashah sudah menunjukkan jiwa besar apabila tidak melakukan sebarang pembalasan politik, walaupun ada dalam kalangan exco sebelum ini “bukanlah orang beliau”.

Justeru sikap itu perlu dibalas dengan memberikan sokongan penuh kepada menteri besar Kedah tersebut bagi melaksanakan tanggungjawab beliau memajukan Kedah.

Sekarang masa untuk “buang yang keruh, ambil yang jernih” dan menghapuskan sebarang sikap dan tindakan ibarat “duri dalam daging”. Sebarang perkara yang tidak berkenan di hati harus diselesaikan secara musyawarah dan bukannya merosakkan parti.

Perlu difahami, terlalu banyak pihak termasuk dalam kalangan Umno sendiri yang mahu melihat Ahmad Bashah dan barisan exconya gagal di Kedah. Sudah ada kenyataan yang awal-awal membuat tafsiran, pentadbiran kerajaan negeri Kedah tidak akan bertahan.

Tetapi Ahmad Bashah dan pasukannya tidak perlu mempedulikan semua itu. Biasalah dalam politik pasti akan ada yang tidak berpuas hati. Apatah lagi kalau individu yang membuat kenyataan itu merasakan dia paling bijak dan paling layak.

Bahtera pentadbiran kerajaan negeri Kedah tidak harus digugat dengan badai ciptaan pemimpin dalam parti sendiri. Kalau mahu dikatakan pakatan pembangkang kuat, mereka sendiri pun tengah porak-peranda.

Sebenarnya bukanlah susah sangat untuk BN mengekalkan pemerintahan di Kedah, apa yang penting adalah mengatur strategi bagi meyakinkan rakyat untuk terus bersama BN. Namun masalah yang sering dihadapi BN bukanlah ancaman luar tetapi ancaman dalaman dicetuskan segelintir pemimpin (mungkin juga wakil rakyat). Tindakan mereka mampu menggugat kestabilan parti dan menghakis sokongan rakyat kepada BN.

Bagaimanapun sebagai seorang yang berjaya mengemudi parti merampas kembali Kedah daripada PAS pada 2013, Ahmad Bashah pasti mempunyai formula bagaimana untuk mengekalkan kuasa pemerintahan BN di negeri itu.

Pada masa sama diharapkan, tiada mana-mana wakil rakyat yang kecewa tidak menjadi exco akan melakukan tindakan memusnahkan parti. Penulis berkata demikian kerana sudah ada khabar yang bertiup kencang, ada wakil rakyat yang kecewa kerana nama mereka tidak tersenarai sehingga ada ahli keluarga mereka “yang meroyan” dalam Facebook.

Bagaimanapun sekarang bukanlah masa untuk melayan kekecewaan sesiapa. Lagipun tiada ada cacat celanya, barisan exco yang dilantik. Masing-masing sudah membuktikan kewibawaan ketika bertugas di bawah Mukhriz dulu.

Bagi Mukhriz pula, Ahmad Bashah pasti mempunyai formula bagi memastikan bekas menteri besar Kedah itu tidak terus merajuk atau dilihat merajuk. Lagipun Mukhriz sudah berjanji tidak akan mengkhianati rakyat Kedah. Oleh itu sudah tentulah beliau bersedia untuk membantu kerajaan negeri memperkukuhkan kedudukan BN di negeri tersebut.

Apa pun kepada Ahmad Bashah dan barisan exco, selamat bertugas dan fahamilah, mereka tidak mempunyai banyak masa untuk sama ada untuk membina keyakinan atau memulihkan kekecewaan rakyat Kedah terhadap apa yang berlaku, tetapi misi ini bukanlah mustahil asalkan semua yang terlibat termasuk wakil rakyat benar-benar ikhlas berjuang untuk rakyat.

Percayalah, kesungguhan dan keikhlasan yang bakal ditunjukkan barisan pemimpin di Kedah pasti akan mampu meranapkan impian parti pembangkang yang sebelum ini begitu gembira dengan kemelut politik melanda Umno dan BN kerana sudah menjadi tabiat mereka gemar “menangguk di air keruh”. – utusan.com.my, 25 Februari, 2016. 

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments