rencana

Que Sera Sera – Fudzail

Masa depan sebuah negara
setelah 6 dekad kemerdekaan
masih berbayang-bayang
dibalik retorik dan statistik
segala propaganda
siri pembohongan
setelah perompakan berbilion
menjadi sebahagian daripada
perjuangan perut dan ketamakan
politikus yang semakin lama
menjadi raja bertaraf firaun.

Apa lagi mahu dikatakan
perjuangan belum selesai
buat politikus yang belum taubat
sapu selagi sempat
kikis dan rembat
hanya tinggal 2 tahun
untuk para malaun
sebelum muflis sebuah negara maju
hanya tinggal seluar dalam
yang koyak rabak.

Apa lagi mahu dimarahkan
perjuangan marhaen terus dikongkong
tembok akta semakin melebar
dari alam nyata
ke atas talian tanpa sempadan
dari tulisan ke kartun
suara-suara dibisukan
semuanya dianggap menghasut
demi survival para pengkhianat
yang terus berjiwa bangsat
atas nama ketuanan dan darjat
bangsa yang kehilangan maruah.

Begitulah, anak-anakku
yang menanggung hutang negara
dan segala penyelewengan hari ini
bagai sebuah lagu lapuk
anak kecil yang bermain api
sedangkan politikus menjual negeri
kenyang dan sendawa
mengumpul kekayaan peribadi
tiada kutinggalkan wasiat
sekadar sebuah kalimat
simbol kemuncak frustrasi
que sera sera! – 6 Februari, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments