rencana
Refleksi di puncak Gunung Nuang – Nurliyana Najwa
Orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi sambil berkata: "Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka” Surah Al Imran ayat 191.
Saya menghabiskan masa mendaki puncak Gunung Nuang selama hampir 12 jam pergi dan balik dalam masa sehari (daypack).
Bermula pada jam 5 pagi mendaki ke hiliran kaki gunung, Kem Lolo, Kem Pacat, Puncak Pengasih dan seterusnya ke puncak Gunung Nuang dan berpatah balik ke “base camp” pada jam sekitar 7 malam.
Seramai sebelas orang melengkapkan ekspedisi di bawah organisasi kumpulan “Geng Kumpulam Kecil” dan ditemani beberapa “guider” dan “sweeper” yang dapat memberikan keselamatan pendaki dengan baik.
Saya boleh dianggap sebagai pendaki baru yang mahu menjinakkan diri di dalam bidang aktiviti lasak ini. Mendaki tidak memerlukan kepantasan masa seperti maraton atau larian pecut.
Cukup sekadar stamina yang ampuh dan kekal sepanjang pendakian yang lama menghadapi belukar yang sukar. Kelebihan hutan tropika yang menggamit panorama si pencinta hijau dan alam.
Mesra dan minat yang sama – pada masa kini, banyak kumpulan pendaki berkembang mekar di sekitar laman sosial (terutamanya di Facebook dan Instagram).
Mereka lebih fokus menumpukan kepada rakaman foto untuk kenangan dan keseronokan menikmati layaran keindahan alam.
Hal ini dapat memberikan inspirasi kepada yang para peminat aktiviti luar yang lain untuk mencuba aktiviti lasak ini.
Antara yang dapat saya pelajari daripada kumpulan-kumpulan ini, kita tidak perlu untuk menyediakan keupayaan diri kita dalam ruang lingkup yang sama seperti umur sebaya, ruang pekerjaan yang sama dan cara pandang yang selari.
Kami berkongsi minat yang sama walaupun berbeza latar belakang peribadi. Hal ini dapat mendidik saya untuk lebih berfikiran terbuka dalam pergaulan masyarakat.
Kumpulan “Royal Hikers” dan “Kumpulan Kecil Trekkers” sudah saya sertai setakat ini di penghujung 2015 dan Hiking and Camping Around Malaysia atau lebih dikenali sebagai HACAM menjadi kumpulan paling hangat di kalangan para sukan aktiviti lasak ini kerana ia adalah medium yang mengumpulkan para pendaki seluruh Malaysia di dalam Facebook.
Mungkin ada banyak lagi kumpulan kaki gunung yang tegar saya tidak ketahui dan akan cuba menyertai mereka jika diberi peluang. Apa yang menarik, adalah mereka memberikan sokongan untuk pendaki yang nubis dan tidak kekok dalam pergaulan.
Memberi kata-kata semangat dan adalakalanya membantu kami dalam bekalan makanan juga sewaktu keletihan atau kelaparan.
Alam hijau – alunan muzik Calvin Harris menancap ke gegendang telinga, “I feel so closed to you right now, it’s a force field”. Betapa dekatnya alam dengan diri jika kita mentadabburkan dan merenung keindahan alam sebaik-baiknya.
Bergantung kepada individu itu sendiri. Apa tujuannya anda mendaki gunung? Bagaimana anda menikmatinya dengan kepayahan setiap trek yang dilalui? Adakah sampai ke puncak atau sebaliknya anda menikmati hutan hijau di sepanjang laluan trek yang dilalui?
Setiap individu berbeza tentang kepuasan mendaki gunung. Trek yang sukar, akar kayu yang rapuh, pacat yang banyak di balik daun, dahan buluh yang patah, duri pokok yang tidak dijangka, batu tanah pamah yang besar dan licin.
Banyak mengundang risiko dan tidak mematahkan semangat. Sewaktu menuruni puncak Gunung Nuang dan kembali semula ke tempat base camp, hujan lebat turun selebat-lebatnya selama 15 minit tanpa henti. Sejuk dan basah lencun dengan tanah lumpur yang sangat licin.
Risiko untuk tergelincir adalah sangat tinggi dan saya terpaksa menggelongsor untuk mengelakkan terjatuh. Hutan dan alam membuatkan manusia perlu mematuhi undang-undang yang tersendiri.
“Gunung-ganang adalah tempat di mana saya merasakan diri ini kecil. Hal ini, membuatkan saya memikirkan tentang kepentingan hidup dalam seharian” – George Mallory, Climbing Everest: The complete writing of George Mallory.
Menjaga alam seperti menjaga rumah kita – alam persekitaran dan manusia tidak dapat dipisahkan. Begitu juga haiwan yang tinggal di hutan. Sebagaimana manusia membuat “alam konkrit” dan berbatu dengan mengorbankan pokok bakau dan saujana hijau untuk pembangunan moden dan keselesaan populasi, semestinya haiwan pun memerlukan satu penghormatan dengan pemeliharaan tanpa sampah di sepanjang laluan pendakian.
Malangnya, sampah seperti plastik coklat, gula-gula, plastik roti dan kebanyakannya bersumberkan bahan yang tidak boleh diuraikan oleh tanah kelihatan di sepanjang laluan.
Bukankah akan mencacatkan alam flora dan fauna? Di mana adab bersama hutan perlu terwujud bagi seorang manusia yang sukakan aktiviti luar ini? Adakah aktiviti mendaki hanya sekadar memenuhi kepuasan kita sedangkan kita mengabaikan alam persekitaran?
Kebangkitan ekoterapi – ekoterapi adalah salah satu pendekatan dengan alam untuk mengurangkan risiko penyakit.
Menurut Steve Taylor seorang pensyarah psikologi di Universiti Leeds Beckett, apabila kita berada di dalam alam hijau seperti kembali ke rumah dengan tahap keselamatan dan keberadaan yang selesa yang mana ia memenuhi kehendak perasaan.
Kita akan mendambakan alam hijau ini sama seperti anak kecil memerlukan seorang ibunya. Begitu juga dengan alam dan kita. Manusia ini dibina melalui DNA yang sudah disusun oleh penciptaNya dengan molek.
DNA adalah aturan yang unik. Untuk melihat gambaran yang luas, fragmentasi DNA manusia sangat dekat dengan alam untuk mencipta satu sistem yang lengkap seperti blok batu bata membina dinding rumah.
Selain ia mengurangkan risiko tekanan jiwa, ia juga boleh mengurangkan kadar penyakit jantung, membaik pulih tekanan darah dan mengawal kandungan glukosa serta menguatkan ketahanan otot badan dan stamina.
Malahan menurut ketua Persatuan Pendaki Amerika, Gregory A.Miller, ia juga boleh mengawal perasaan gemuruh dan mengurangkan tekanan perasaan seseorang.
Kelebihan apabila kita menyertai sukan mendaki, kita akan lebih mengenali diri atas berpandukan perjalanan menuju ke puncak gunung. Kita akan persoalkan diri kita sama ada untuk meneruskan perjalanan atau berputus asa.
Pelajaran ini saya ambil ketika mendaki Gunung Nuang melalui jalan Pangsun, Hulu Langat, Selangor.
* Nurliyana Najwa Md Razip ialah pelajar Sains Nutrisi di Universiti Putra Malaysia.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments