rencana
Roda nasib – Emmiza Hasmi
“Kadang-kadang kita sering bertanya, apakah benar roda nasib itu memang berputar”. Itu kata yang ditulis seorang kenalan saya, Amin di akaun Facebook milik beliau sekitar 2 minggu lalu .
Nasib, ayat yang biasa kita dengar, selalu berkaitan dengan perjalanan kehidupan setiap manusia. Selain berusaha, nasib juga kadang-kala menjadi faktor tambahan kepada banyak perkara.
Ada antara kita yang berusaha sehabis mungkin tetapi nasib tidak menyebelahi atau dengan kata lainnya belum sampai rezeki. Itu biasa saya lalui dan anda juga pasti pernah melaluinya juga.
Cuma untuk menjawab persoalan yang diutarakan tadi, saya catatkan sedikit kisah 2 orang rakan saya yang sangat yakin roda nasib memang berputar.
Untuk tidak menimbulkan sebarang kegelisahan, saya gunakan nama samaran dalam catatan ini.
Ahmad, rakan persekolahan yang sebaik sahaja tamat tingkat 5 di Sekolah Menengah Kebangsaan Malim Nawar dan mendapat keputusan peperiksaan, berhijrah ke ibu kota. Ia perkara yang biasa dilakukan anak-anak muda atau lepasan sekolah di Malim Nawar.
Di ibu kota, dia mendapat pekerjaan di sebuah kilang. Agak lama juga dia bekerja sehingga berhenti untuk menceburi perniagaan. Saya tidak pasti perniagaan apa yang diusahakan tetapi ketika ketemu selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri pada 2002, dia ketika itu sudah mampu memiliki sebuah kereta Proton Perdana V6 dan kediaman sendiri.
Itu kali pertama selepas habis persekolahan dan juga kali terakhir saya bertemu Ahmad sehingga baru-baru ini saya bertemu kembali dengannya secara tidak sengaja di salah sebuah pejabat kerajaan di kompleks pentadbiran di Kampar.
Selepas bersalam dan bertanya khabar, saya bertanyakan tujuan urusannya di situ. Agak lama untuknya menjawab tetapi apabila terpandang borang permohonan zakat yang dipegang Ahmad, saya sudah mendapat jawapannya.
Dia kini datang menaiki motosikal seperti saya, tidak lagi dengan kereta Proton Perdana V6 seperti tahun 2002.
Udin, rakan sekerja ketika saya bekerja di sebuah kilang semikonduktor terkenal di Ipoh dalam tempoh agak panjang. Antara saya dengan Udin, beza usia kami sekitar 3 tahun.
Udin menpunyai kelulusan dalam bidang elektrik, bertugas sebagai juruteknik penyelenggaraan. Pada saat dia bekerja bersama-sama saya, dia juga sering membuat kerja sampingan untuk mencari pendapatan tambahan terutama bila kami bekerja pada shift malam.
Pasti pada waktu siang ada sahaja kerja yang dilakukan Udin dan di sebelah malam, saya pula menjadi tukang kejutkannya tatkala dia terlena di meja makan di kafe kilang atau selepas solat Isyak di surau.
Selepas agak lama melakukan kerja luar dan mendirikan sebuah syarikat kecil berkaitan elektrik, Udin membuat keputusan berhenti kerja kilang.
Satu keputusan sukar yang diambil ketika itu. Perjalanan jatuh bangun Udin dalam perniagaan agak panjang dan mendebarkan.
Rumahnya pernah hampir dilelong bank. Menaiki Perodua Kancil 660 miliknya, Udin kadang-kadang kelihatan di hadapan sebuah ibu pejabat syarikat pembekalan elektrik negara di Ipoh mencari peluang atau tender-tender kecil.
Kini dia sudah memiliki 4 buah lori 3 tan, 2 lori skylif untuk kerja memasang lampu jalan, sekumpulan pekerja separuh mahir dan sebuah Mercedes modal keluaran agak baharu dan pastinya sebuah Perodua Kancil 660.
Justeru pembaca budiman, bersetujukah dengan apa yang saya katakan tadi? Roda nasib memang berputar. – 13 Februari, 2016.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments