rencana
Selamat Hari Wanita Antarabangsa 2016 – Che Asmah dan Nik Fatma Amirah
Hari ini tanggal 8 Mac 2016, satu dunia bersatu menyambut hari bersejarah iaitu Hari Wanita Antarabangsa 2016 yang merupakan hari untuk memberi sokongan dan pengiktirafan terhadap sumbangan dan peranan wanita dalam pembangunan masyarakat dunia.
Memahami prinsip kesaksamaan (equity)
“Pledge for Parity” adalah tema sambutan kali yang membawa erti “Bersama Menjamin Kesetaraan atau Kesaksamaan”.
Tema signifikan ini menekankan kepentingan dan relevannya kesaksamaan atau kesetaraan gender dalam proses pembangunan masyarakat secara holistik dan ia menjadi asas perjuangan gerakan wanita tidak kira di peringkat global atau tempatan dalam kerangka perjuangan hak asasi.
Tema ini bukan sahaja dilihat dalam kerangka perjuangan hak asasi semata-mata, tetapi ia harus kembali kepada prinsip asas yang berhubung kait di antara peranan, tanggungjawab dan hak wanita dalam pembangunan diri, keluarga dan masyarakat.
Dalam membicarakan isu perjuangan wanita, kita tidak boleh mengasingkan daripada membicarakan peranan dan tanggungjawab yang perlu dimainkan agar pendirian terhasil lebih bersifat wasatiyah iaitu tidak terlalu konservatif dan tidak terlalu liberal.
Kesaksamaan dalam konteks dibincangkan ini juga bermaksud berlaku adil dalam menentukan hak dan tanggungjawab serta meletakkan sesuatu pada tempatnya dan menjauhi sebarang bentuk diskriminasi.
Islam sangat mengiktiraf kesaksamaan antara lelaki dan perempuan dari sudut keimanan dan ketaatan kepada Allah.
Lelaki dan wanita terbaik adalah yang paling tinggi imannya kepada Allah dan menjalankan tanggungjawab di sisi Allah tanpa sebarang diskriminasi.
Islam adalah agama fitrah yang mengiktiraf perbezaan biologi lelaki dan wanita dalam menentukan tanggungjawab dan peranan masing-masing.
Tindakan menyamaratakan tugas antara lelaki dan perempuan tanpa mengira aspek biologi mereka adalah satu bentuk kezaliman dan akan membebankan kedua jantina ini.
Justeru, Islam sangat mengambil kira fungsi biologi dan peranan mengikut kemampuan dan keupayaan untuk memberikan khidmat terbaik kepada keluarga dan masyarakat.
Pendekatan seperti ini akan memberi keadilan kepada kaum wanita berbanding perjuangan berasaskan gender dalam rangka hak asasi yang mengabaikan kewujudan perbezaan biologi perempuan dan lelaki serta mengetepikan nilai-nilai agama dan budaya dianuti masyarakat.
Piagam Wanita Islam
Kita dapat menyaksikan perjuangan wanita pada hari ini terbahagi kepada 2 kelompok, iaitu kelompok radikal anti agama dan famili; dan kelompok konservatif atau tradisionalis pro agama dan famili.
Perjuangan kelompok feminis radikal ini berpaksikan hak asasi milik individu secara mutlak dan ia nyata bertentangan dengan konsep pengabdian diri kepada Allah. Namun ia nampak impresif dan menarik perhatian generasi muda hari ini.
Gerakan kelompok feminis ini ternyata mendapat pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu dengan wujudnya undang-undang antarabangsa hak wanita yang dinamakan CEDAW (Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women) (Konvensyen Menghapuskan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita).
Manakala kelompok konservatif pula berpegang kepada konsep manusia tidak harus menentang suruhan Allah dan mesti mengikut doktrin agama tanpa mempersoalkan interpretasi yang sering kali menyebelahi lelaki dan ketika penafian banyak hak asas wanita, dilakukan atas nama agama.
Untuk menyeimbangkan antara 2 ekstrem ini, maka Wanita Ikram menyediakan “Piagam Wanita Islam” sebagai penyelesaian yang sejahtera dan menjadi asas perjuangan kaum wanita pada masa kini dalam masa yang sama memberi pengiktirafan terhadap peranan, tanggungjawab dan hak wanita dan lelaki dalam semua aspek pembangunan diri, keluarga dan masyarakat.
Piagam ini mempunyai 3 penegasan:
Pertama, mengiktiraf kepentingan peranan wanita dalam pembangunan diri, keluarga dan masyarakat yang mana peranan lelaki dan wanita adalah saling melengkapi dalam usaha mewujudkan umat pertengahan (ummatan wasata).
Ke-2, mengiktiraf prinsip kesaksamaan lelaki dan wanita menurut nilai-nilai Islam dengan mengambil kira fungsi biologi dan peranan setiap jantina dan kemampuan memberi khidmat terbaik untuk keluarga dan masyarakat.
Ke-3, mengiktiraf dan menuntut lelaki dan wanita berperanan dalam memantapkan dan mengukuhkan institusi keluarga.
Wanita tonggak kegemilangan negara
“Tangan yang lembut, mampu menggoncang dunia”
Slogan itu sesuai menggambarkan realiti kini wanita di Malaysia yang semakin hari semakin mencipta nama dan kejayaan serta terlibat sama dalam agenda pembangunan dan transformasi negara.
Ini adalah natijah atau kesan yang dapat dilihat apabila mereka diberi peluang sama rata untuk mereka menjadi penyumbang kepada pembangunan negara.
Menerusi peluang yang ada seperti contoh dalam kerjaya, badan bukan kerajaan (NGO), sektor awam dan swasta dan lain-lain, ia secara tidak langsung membuka peluang untuk wanita terus mengemukakan idea, buah fikiran yang kritis dan sebagainya.
Jika kita lihat, wanita hari ini memimpin masyarakat dengan kepakaran yang ada. Sebagai contoh, Tan Sri Zeti Aziz menjadi gabenor Bank Negara disebabkan kepakaran dan kemahiran yang beliau ada, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, memimpin Pakatan Harapan disebabkan kepakarannya dan kebolehan untuk terus berada di medan tersebut dan banyak lagi contoh sosok wanita yang hebat di Malaysia ini.
Realiti hari ini
Kita dapat lihat pada hari ini dalam konteks kesempitan ekonomi, tekanan dan krisis kewangan dalam rumah tangga.
Ramai wanita terpaksa korbankan masa bersama anak-anak untuk menumpukan kerjaya bagi mencari sesuap rezeki, kerana mungkin dengan situasi hari ini, jika hanya suami sahaja bekerja, ia tidak cukup untuk menampung kewangan keluarga.
Kadangkala ia memberi satu tekanan dalam diri mereka untuk menyeimbangkan tanggungjawab asas sebagai seorang isteri dan ibu dalam masa yang sama sebagai seorang yang bekerja dan mempunyai tanggungjawab di luar rumah.
Tidak dapat dinafikan situasi ini banyak memberi kesan kepada masalah sosial yang dihadapi negara.
Kanak-kanak terbiar tanpa kasih-sayang ibu, ibu bapa keluar rumah di saat anak-anak sedang tidur dan kembali ke rumah di saat anak sudah tidur. Tiada masa yang berkualiti bersama anak-anak.
Jadi, mengambil kira prinsip kesaksamaan (equity) ini, ia menuntut untuk adanya skim perkhidmatan yang lebih fleksibel dan anjal khusus untuk golongan wanita dan keperluan menyediakan pusat penjagaan anak-anak lebih baik semasa wanita bekerja dan terus membolehkan wanita menyumbang kepada masyarakat dengan produktif.
Seterusnya, perlu untuk seorang suami itu memahami dan berganding bahu bersama isteri untuk bekerjasama membangunkan keluarga walaupun kedua-duanya berkerjaya.
Masing-masing melengkapi antara satu sama lain untuk memberikan didikan dan tarbiah baik untuk anak-anak. Selamat Menyambut Hari Wanita Antarabangsa 2016. – 8 Mac, 2016.
* Datin Paduka Che Asmah Ibrahim adalah ketua Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia dan Nik Fatma Amirah Nik Muhamad adalah penulis PenaWan Wanita Ikram.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments