rencana

Sengsara hidup di antara dua darjat – Raja Bahrin Shah

Seorang ibu tidak berkemampuan di Kuala Lumpur terpaksa mencuri satu paket Milo kerana anaknya sangat berkeinginan minuman tersebut.

Di atas aduan polis oleh pasar raya berkenaan, ibu itu dipenjarakan dan didenda  RM200.

Sebagai  seorang ibu atau ayah kita amat bersimpati atas tragedi tersebut walaupun perbuatan itu salah.

Di Kuala Terengganu pula seorang peniaga kecil, yang juga seorang ayah, di stesen bas, juga ditahan dan di lokap kerana dikatakan cuba menghalang pihak berkuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu menjalankan tugas.

“Kesalahan” beliau ialah kerana cuba menghalang pihak berkuasa merampas kain rentang peniaga-peniaga kecil stesen bas yang membantah arahan pihak berkuasa berpindah dengan notis yang  pendek kerana projek pengubahsuaian berbelas bilion ringgit.

Kedua-dua kes ini ialah contoh tragedi yang menimpa masyarakat kita yang semakin dihimpit tekanan, kenaikan kos sara hidup yang berterusan.

Cukai barang dan perkhidmatan (GST), kejatuhan ringgit, kenaikan sewa dan harga barangan serta kejatuhan jualan perniagaan serta peluang pekerjaan adalah faktor menyebabkan kesengsaraan ini semua.

Kisah ibu mencuri Milo banyak dilaporkan media. Oleh itu, saya memilih untuk menceritakan kes ayah yang ditahan di lokap kerana cuba membela nasib beratus peniaga kecil.

Para peniaga di stesen bas membantah perintah keluar disebabkan keadaan ekonomi penjualan semasa mereka yang sedang rugi dan  bermasalah, tiada tempat peniagaan alternatif sesuai, kenaikan berlipat kali ganda lesen perniagaan oleh majlis baru-baru ini, notis yang terlalu singkat dan kenaikan sewa yang tinggi selepas siap ubah suai.

Ini semua mereka akan alami semasa dalam suasana ekonomi negara dan dunia yang diramal akan menjadi bertambah lembap pada 2016 ini.

Di sini saya sebagai wakil rakyat ahli Parlimen Kuala Terengganu menyoal pihak kerajaan dan pihak berkuasa, apakah peranan utama mereka menjaga kebajikan dan membela nasib rakyat terutamanya golongan kurang mampu dan miskin ini?

Peniaga kecil dan kedai runcit banyak rugi diasak oleh pembinaan pasar raya seperti Mydin, Giant dan sebagainya walaupun garis panduan kelulusan mereka tidak mengikut panduan bilangan penduduk sebenarnya.

Tahun lepas pula, peniaga pasar malam dan pasar minggu diarah pindah dari tapak asal biasa mereka dan mengakibatkan penambahan kejatuhan lagi pendapatan.

Tapak perniagaan mereka sering diubah tanpa penambahan kemudahan asas seperti tandas disediakan.

Tahun lepas juga peniaga dan penjaja bergerak motosikal diasak dan dirampas barang perniagaan mereka secara agresif sehingga berlaku insiden seorang peniaga dikasari beberapa pihak penguat kuasa di Pantai Batu Buruk di mana laporan polis dibuat.

Di mana pembelaan ke atas peniaga kecil Melayu kita oleh pihak kerajaan dan berkuasa terutamanya dalam waktu ekonomi yang serba mengancam ini ?

Kerajaan dan pihak berkuasa perlu mengambil sikap lebih realistik mengambil kira kemampuan rakyat sebenarnya. Adakah kebajikan rakyat diutamakan atau imej kerajaan segala-galanya ?

Kenapa stesen bas perlu diubahsuai dengan harga RM14 juta dan dikatakan naik kosnya kepada RM43 juta ?

Pusat perniagaan bersebelahan stesen bas sehingga hari ini selepas lebih 10 tahun masih belum dibuka, Pusat Paya Bunga Square masih banyak kosong dan rumah kedai di Ladang Tok Pelam masih kosong.

Yang pasti untung ialah kontraktor dan yang pasti menanggung kos adalah pembayar cukai rakyat semua.

Pembangunan untuk siapa kalau peniaga tempatan yang banyak merana dan rugi.

Kerajaan perlu berhenti berbelanja sesuka hati mengikut nafsu dan mengerah rakyat untuk membayar dengan pelbagai cukai.

Dua kisah ayah dan ibu yang dipenjarakan dengan “kesalahan” begitu kecil amat menyayat hati.

Mereka bertindak membela anak tanggungan mereka dan punca mata pencarian mereka bersama rakan peniaga kecil yang tertekan dan tertindas.

Kontraktor besar dan pemaju terus mengaut keuntungan lumayan tanpa gangguan. Aduan pelanggaran syarat pembangunan oleh pemaju tidak ada tindakan yang tegas oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

Aduan ke atas pemaju Pangsapuri Mewah di Jalan Sultan Omar yang menyebabkan keretakan rumah-rumah berhampiran dan kerosakan jalan awam tiada tindakan tegas diambil.

Pembinaan Ruang Perniagaan dan pasar di atas longkang besar JPS di Cabang Tiga yang jelas melanggar peraturan pembangunan dan Jabatan Alam Sekitar tidak ada tindakan diambil baik di peringkat negeri atau persekutuan selepas saya beberapa kali menimbul isu ini hingga ke Parlimen.

Peraturan dan undang-undang untuk siapa sebenarnya?

Adakah ia hanya sesuai dilaksanakan kepada pencuri paket Milo dan pembela peniaga kecil di stesen bas?

Adakah pemaju besar dan kontraktor kebal daripada segala tindakan kerana status serta kedudukan mereka?

Ini sudah pasti  terjawab di mahkamah Allah dan mungkin dijawab pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti. 

Yang mengambil Milo berharga beberapa ringgit dipenjarakan sementara yang menyeleweng berbilion ringgit tidak pun didakwa!.

Sehingga itu, kita terus menghadapi keadaan seperti "hidup di antara dua darjat" yang diamalkan pihak berkuasa hari ini. – 7 Mac, 2016.

* Penulis adalah ahli Parlimen, Kuala Terengganu.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments