rencana

Setahun sudah berlalu – Mujahid Yusof Rawa

Terdetik lirik lagu Alleycats; “.....Setahun sudah berlalu, Februari muncul kembali dengan kehangatan semalam...” Kalau Alleycats mengenangkan kekasihnya, saya terkenangkan kekasih semua rakyat Malaysia, tak lain tak bukan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA), dan seperti Alleycats menyambung liriknya “...tanpa ku sedari ku petik mawar merah, ku tulis sebuah puisi....” Bagi saya, cukuplah pena untuk ku tulis sebuah makalah pada hari ini 12 Februari berkongsi saat bersama TGNA.

Pertemuan pertama saya ialah ketika TGNA berkunjung ke rumah sewa saya di Mesir pada awal pagi musim dingin 1991 semasa saya masih menuntut di Universiti al-Azhar, Kaherah.

Beliau hadir makan pagi di rumah saya ditemani anaknya Ustaz Nik Omar dan sekaligus mentahnik (belah mulut) anak sulung saya Nidhal Mujahid yang lahir di Mesir pada 3 November 1991.

Saya berasa amat teruja kerana anak sulung saya diberikan peluang didoakan TGNA sempena sebulan anak ini berkenalan dengan dunia.

Bukan itu saja, saya terharu kerana walaupun saya “budak mentah” pelajar tahun akhir di al-Azhar, seorang yang bertarf Menteri Besar dan Mursyidul Am PAS sudi menjejak kaki di rumah sewa kami pada awal pagi yang dingin.

Ini kemungkinan kesetiaan persahabatan TGNA dan ayahanda saya Haji Yusof Rawa, Mursyidul Am PAS yang pertama dan ke-2 mungkin persahabatan akrab saya dan anaknya Ustaz Nik Omar.

Apa pun ia saat indah disaksikan musim dingin Kaherah, tokoh besar mengunjungi pondok usang kami dan bersarapan ringkas seisi keluarga.

Saya berasa seperti anaknya dan TGNA melayan kami sekeluarga seperti anggota keluarganya.

Ayah saya seronok mendengar berita kunjungan TGNA di mana mereka berdua saling hormat menghormati antara satu sama lain dengan penuh ukhuwah.

Menuju PAS baru dan rejuvenasi PAS

Detik saya sudah dewasa dalam perjuangan, pemikiran kontroversi saya sering menimbulkan perasaan tidak senang hati kelompok ‘ulama’ dalam PAS.

Dua buku saya Menuju PAS Baru dan Rejuvenasi PAS menggegarkan fahaman konservatif di kalangan sesetengah pemimpin PAS.

Teori keluk ke-3 saya yang mengandaikan satu pengorganisasian semula PAS yang lebih inklusif dan progresif dengan projek “menasionalkan PAS” untuk kekal relevan disanggah sebagai projek mencairkan prinsip “kepimpinan ulama” dan dasar Islam PAS.

Perdebatan hangat berterusan selama 5 tahun sebelum kami disingkirkan sudah mencipta satu kebangkitan dalam PAS.

Orang pertama yang mengambil berat isu ini ketika saya dituduh anti-ulama, liberal dan bermacam lagi label ialah TGNA.

Beliau menjemput saya ke pejabat menteri besar di Kota Darulnaim setelah saya membuat temujanji dengannya dan mempersembahkan buku saya Menuju PAS Baru kepadanya.

Jelas wajahnya persis seorang ayah yang walaupun hari itu beliau bercuti tidak sihat tetapi bersedia bertemu saya di pejabat.

Beliau mulakan dengan menyatakan betapa beliau sangat  keletihan dan harapkan generasi muda seperti kami menyambung legasi politik Islam di Malaysia.

Saya seterusnya mempersembahkan buku saya sambil diminta beliau memberi ringkasan intipati utama buku ini.

Saya memberi penjelasan buku setebal 200 lebih muka surat ini pada asasnya ialah mahu melihat PAS maju ke depan dan saya memetik ayat dalam salah satu hujah saya iaitu dari surah al-Qasas ayat 26.

Saya menjelaskan kepimpinan sebenar bukan atas keulamakan tetapi adalah al-Qawwiy dan al-Amin iaitu Berkemampuan dan Beramanah.

Beliau diam seketika sambil mengangguk-angguk mendengar ayat tersebut lalu merenung jauh.

Terungkap di bibirnya kata-kata pelat Kelantan; “Sungguh hok ustaz sebut tu..nak buat guano...susoh puok kito nihh...dia nak hok ustaz jugak....”

Tiba-tiba dengan tidak semena-mena dia menyebut nama Husam Musa, seolah-olah di Kelantan hanya satu saja sebab Husam ditolak sesetengah pihak kerana bukan seorang ulama atau tiada title ustaz.

Jelas TGNA menolak pandangan ini kerana TGNA bersetuju dengan konsep al- Qawwiy dan al-Amin adalah untuk kelayakan kepimpinan.

Dengan pertemuan itu, sebulan kemudian atas cadangan TGNA, dianjurkan forum saya dan Sdr Riduan Mohamad Nor penentang tegar idea saya di pejabat PAS Kelantan bagi mengupas buku kontroversi saya itu.

Pertemuan terakhir

Sebelum pertemuan terakhir saya dengan TGNA saya sempat menziarahi beliau di rumahnya di Pulau Melaka untuk menyerahkan buku Berdialog Dengan Gereja kerana TGNA menulis dalam kata pengantar dalam buku saya tersebut.

Saya menunjukkan kepadanya gambar dalam buku tersebut yang merakamkan pertemuan bersejarah beliau dan Uskop Sebastian selaku Ketua Katolik Wilayah Utara di Pulau Pinang.

Saya dan Sdr Abdul Rahman Kasim yang menemukan mereka pada kemuncak isu “kalimah Allah” berlatarbelakangkan kepada inisiatif dialog yang saya dan rakan gerakkan sejak tahun 2009.

TGNA membelek gambar tersebut terserlah wajah kegembiraan kerana TGNA adalah pembela utama konsep kedamaian dalam hubungan antara agama serta konsep manusia dari keluarga yang sama dari anak cucu Nabi Adam.

Semasa berlangsung Persidangan Kesatuan Ahli Parlimen Negara Islam di Istanbul, saya yang antara mewakili Malaysia terpaksa minta izin kepada Tuan Speaker Parlimen Malaysia, Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk pulang awal kerana khabar berita TGNA yang sakit tenat.

Tan Sri amat memahami dan mengizinkan saya pulang awal menaiki pesawat pertama malam itu ke Kuala Lumpur dan kemudian terus bergegas ke Kota Baru.

Esok paginya saya sudah berada di Hospital USM Kubang Kerian dan dapat bertemu dengan izin doktor yang merawat TGNA.

Doktor tersebut sebelumnya memberikan sedikit taklimat perkembangan TGNA.

Pada awal pagi itu saya mengadap TGNA dan sempat mencium tangannya.

Dia memandang saya sambil senyum seperti biasanya lalu bertanya khabar saya dalam nada suara yang lemah.

Saya berbisik menyampaikan salam Tan Sri Speaker dengan ucapan sempat sembuh begitu juga seorang peniaga berbangsa Turki di sebuah bazar di Istanbul yang meminta saya sampaikan salam kerana beliau amat menghormati TGNA.

TGNA mengangguk, air matanya kelihatan dari kelopak matanya sambil beliau menyebut begitu keletihan semenjak akhir ini.

Saya tidak mahu memanjangkan perbualan walaupun Allah mengetahui betapa kalau boleh tanpa bicara pun saya rela duduk di situ menatap wajahnya di saat akhir hidupnya.

Saya kucup dahinya dan mencium tangannya mengundurkan diri dengan penuh rasa sayu dan sedih seolah terdetik dalam hati saya, ini kemungkinan saat akhir saya bersamanya sebagai pemimpin saya, rakan karib ayahanda saya dan sebagai ayahanda saya juga.

Tanggal 12 Februari tahun yang lalu saya hanya sempat bersamanya dalam solat jenazah, terbaring kaku tubuh manusia kerdil yang berjiwa besar mengadap bertemu Penciptanya, itulah sebabnya kenapa beliau berjuang tanpa penat lelah kerana mahu mengadap Tuhan dalam keadaan sebaiknya.

Selesai coretan ini untuk ditatapi pada hari sedih 12 Februari setahun sudah berlalu. Tidak seperti lirik Alleycats “...Tapi sayang pada siapa kan ku beri...ku berikan saat-saat bermakna ini untuk tatapan semua...”

Moga engkau diaman di sana wahai Tok Guru....... – 12 Februari, 2016.

* Datuk Mujahid Yusof Rawa ialah ahli Parlimen dan naib presiden Parti Amanah Negara.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments