rencana

Siapakah rujukan cinta kita? – Ikhwah

Cinta adalah satu perasaan kasih atau suka seseorang terhadap sesuatu. Apabila terpisah akan melahirkan rasa rindu. Cinta itu membahagiakan. Cinta juga mampu memberi semangat hidup yang baharu.

Perasaan ini sesuatu yang normal untuk manusia. Kadangkala kita tidak memintanya tetapi ia hadir secara tidak sedar. Bagaimanapun, kata orang-orang dahulu cinta itu buta. Betulkah?

Bagaimana orang-orang tua dahulu boleh mengeluarkan perumpamaan sebegitu sedangkan perasaan cinta merupakan satu perasaan yang positif sehingga mampu memberi harapan baharu dalam hidup seseorang.

Justeru bukan cinta sebenarnya yang buta, sebaliknya pencinta itu yang buta.  Tetapi ada satu cinta yang tidak akan mengecewakan iaitu cinta kepada Pencipta. Cinta seorang hamba kepada Tuhannya. Inilah cinta hakiki.

Rasulullah SAW bersabda: "Allah SWT berfirman: Wahai anak Adam, bangunlah kepada-Ku nescaya aku akan berjalan kepadamu, dan berjalanlah kepada-Ku nescaya Aku datang kepadamu dengan berlari". (Riwayat Imam Ahmad)

Tidak salah untuk kita mencintai manusia. Nabi Adam juga memohon kepada Allah supaya dikurniakan pasangan iaitu Hawa sebagai teman hidup sedangkan baginda sudah ada syurga dan Allah SWT. Itulah fitrah seorang manusia. Dijadikan Allah memerlukan pasangan.

"Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat akan kebesaran Allah." (Adz-Dzariyat: 49)

Tetapi, bagaimanakah cara kita memandu rasa cinta kepada manusia di samping tidak menjejaskan rasa cinta kepada Allah SWT. Dalam situasi ini, perkara yang paling penting ialah apakah atau siapakah yang menjadi rujukan kita dalam mengurus perasaan cinta. Adakah En. Lee Min Ho, Cik Kareena Kapoor atau Pak cik Leonardo DiCaprio?

Adakah drama atau filem yang mengisahkan cinta yang menjadi inspirasi dalam hidup kita. Kita sebagai umat Islam mestilah merujuk al-Quran, sunnah dan para ulama untuk memandu perasaan ini bukan mencontohi individu-individu yang tidak mencintai Allah atau bahan-bahan tidak sepatutnya.

Salah satu pandangan Prof. Syeikh Dr. Yusof Al-Qaradhawi, tidak bercampur dengan lelaki atau wanita asing (bukan mahram) kecuali kerana keperluan yang mendesak, kemaslahatan dibenarkan dengan kadar mencukupi.

Contohnya, solat di masjid, menuntut ilmu dan bantu-membantu atas dasar kebaikan serta ketakwaan. Dalam Islam terdapat batas-batas dalam pergaulan yang perlu dipatuhi antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Sebagai contoh tidak boleh bersentuhan atau berdua-duaan di tempat sunyi sebelum ada ikatan pernikahan sah.

Mungkin peraturan ini nampak seperti mengongkong terutamanya terhadap jiwa-jiwa muda yang memerlukan kebebasan. Tetapi, percaya dan yakinlah peraturan-peraturan tersebut diturunkan Allah kerana hikmah-hikmah yang tidak mampu dijangkau  manusia. Kerana Allah yang lebih mengetahui sesuatu perkara itu secara holistik berbanding kita manusia yang terbatas ilmunya.

Justeru, kesan-kesan buruk disebabkan masalah pergaulan bebas sudah dapat kita lihat sering terpampang di kaca televisyen dan dada akhbar mengenai bayi dibuang di merata tempat seperti di surau dan di tempat pelupusan sampah.

Lebih teruk lagi apabila bayi tidak berdosa tersebut dicencang atau di “flush” ke dalam mangkuk tandas. Sangat pilu dan luruh hati ini apabila mengenangkan nasib bayi tidak berdosa itu. Adakah begitu fitrah seorang manusia?

Allah menciptakan seorang manusia itu mampu menjadi lebih mulia daripada para malaikat, tetapi boleh juga menjadi lebih hina daripada binatang. Bukalah mata kita. Begitulah derita umat sekarang ini. Apabila hubungan yang tidak halal terjalin lalu membawa kepada perzinaan.

Malah banyak perbuatan yang menghampiri zina sudah berlaku di sekeliling kita yang kadang-kadang nampak seperti perkara normal dalam masyarakat seperti “dating” atau bersosial melalui media dengan orang bukan mahram.

Ditambah pula dengan teknologi yang semakin berkembang pesat serta peranan media yang sangat berpengaruh dengan menayangkan cerita-cerita menggalakkan kepada percintaan sebelum pernikahan.

Masyarakat terus-menerus dididik pemikirannya dan dibentuk akhlaknya oleh penggiat-penggiat seni yang hanya mementingkan keuntungan dan trending. Hakikatnya perhubungan sebelum pernikahan yang tidak terbatas ini adalah perbuatan yang menghampiri zina.

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk (yang membawa kerosakan)". (Al-Isra’: 32).

Pandulah rasa cinta anda ke saluran yang betul. Milikilah cinta anda dengan cara yang terhormat iaitu dengan merujuk garis panduan ditetapkan dalam Islam. Tetapi, carilah cinta Allah terlebih dahulu sebelum memburu cinta manusia.

Insha-Allah apabila kita meletakkan Allah nombor satu di dalam hati kita, urusan lain Allah akan permudahkan. Selamat memburu cinta. – 3 Februari, 2016.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments