rencana

Solidariti buat Mukhriz – Mahfuz Omar

Hari ini, 4 Februari 2016, saya dijemput Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Bahagian Protokol) untuk menghadiri majlis pelantikan dan angkat sumpah jawatan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebagai menteri besar Kedah baharu di Istana Anak Bukit jam 9 pagi, ekoran kejayaan Putrajaya dalam komplot penggulingan dan penyingkiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Boleh dikatakan setiap kali majlis angkat sumpah pelantikan menteri besar sejak saya dipilih sebagai ahli Parlimen pada 1999, saya akan hadir.

Setiap orang yang dijemput diminta memakai baju kebangsaan berwarna hitam bersongkok dan bersamping songket benang berwarna emas.

Walaupun berbeza dan berlainan ideologi dan parti politik, saya menerima atas semangat demokratik kerana itu adalah ekoran daripada keputusan pilihan raya umum yang diputuskan rakyat.

Namun, kali ini yakni majlis angkat sumpah Ahmad Bashah sebagai menteri besar sangat berlainan kerana ekoran penggulingan Mukhriz sebagai menteri besar akibat dendam kesumat Putrajaya kepada manusia 2 beranak iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Mukhriz atas kritikan tajam mereka terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Saya merenung jauh tentang nasib masa depan negeri ku yang tercinta Kedah Darulaman. Apakah akan terjadi pada anak cucu kita dengan adanya pemimpin politik yang berdendam sehingga Mukhriz yang tidak melakukan kesalahan besar digulingkan.

Apalah nasib rakyat Kedah dengan menteri besar baharu dan barisan exco yang tiada moral dan integriti politik yang hanya menjadi pak turut membabi buta.

Saya cukup sedih dan kecewa dengan pemimpin politik seperti ini. Lebih sedih dan mengecewakan lagi ialah apabila adinda saya Mukhriz disingkir kerana keberanian dan ketegasan beliau bercakap benar di hadapan bos yang "jahat".

Bagi saya, penyingkiran Mukhriz sebagai menteri besar adalah sebenarnya pengkhianatan terhadap rakyat Kedah yang sama sekali tidak boleh diterima.

Atas semangat kasihkan negeri dan rakyat Kedah yang sedang berduka, saya mengambil keputusan tidak menghadiri majlis angkat sumpah menteri besar Kedah yang baharu.

Saya percaya rakyat Kedah akan turut sama menyumpah dan menyampah dengan gerombolan Putrajaya yang menyerang Kedah.

#solodariti untuk Mukhriz dan rakyat Kedah. – 4 Februari, 2016.

* Datuk Mahfuz Omar adalah ahli Parlimen Pokok Sena.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments