rencana

Sudah tiba masa Muhyiddin berani sertai gelombang reformasi – Jimmy Puah Wee Tse

Dengan penggantungan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan presiden Umno, nampaknya haluan jalan politik beliau makin sempit.

Masa tidak memihak kepada Muhyiddin dan dalam keadaan sekarang di mana negara dilanda dengan pelbagai isu seperti skandal RM2.6 billion, pemborosan agensi kerajaan seperti Mara dan Yapiem serta kegagalan kerajaan untuk mengawal kos sara hidup yang kian naik, beliau perlu mengambil satu langkah yang tepat dan berani untuk terus berada dalam arus politik semasa Malaysia.

Saya cukup setuju dengan kenyataan dan pendirian yang dikeluarkan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali dan juga Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli yang mengajak Muhyiddin untuk menyertai gelombang ‘Reformasi’ demi menyelamatkan Malaysia.

Walaupun Umno Johor mengambil pendirian akur kepada keputusan Majlis Tertinggi (MT), ini tidak menggambarkan situasi sebenar di mana ramai ahli akar umbi dan pemimpin peringkat cawangan yang masih sukar menerima keputusan MT yang sanggup menjatuhkan hukuman penggantungan begitu keras kepada seorang pemimpin Umno paling ‘senior’ di Johor; seorang bekas timbalan perdana menteri dan bekas menteri besar Johor.

Sebagai seorang tokoh dan ahli politik kanan di Johor, Muhyiddin masih mempunyai pengaruh dan boleh memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada gelombang perubahan reformasi di kubu terakhir Umno.

Ini adalah masa terbaik untuk semua pelakon utama dalam arena politik untuk bergabung tangan demi perubahan. Saya harap Muhyiddin dapat memahami hasrat rakyat terutamanya anak Johor dan terus melawan pemerintah yang tidak adil ini.

Tetapi saya juga ingin nyatakan di sini, masa dalam politik adalah suntuk. Sekiranya Muhyiddin masih memilih untuk menjadi pemain ‘solo’ maka itu merupakan satu peluang keemasan yang terlepas.

Kemenangan hanya akan dicapai sekiranya semua pihak bekerjasama dan bersuara dengan satu nada yang sama. – 28 Februari, 2016.

* Penulis adalah timbalan pengerusi PKR Johor dan Adun Bukit Batu.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments