rencana

Sungai Siput Selatan yang tua dan tenang – Emmiza Hasmi

Saya pasti anda semua sedang membayangkan Sungai Siput Utara kawasan yang pernah diwakili bekas presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu. Dan secara kebetulan pekan Sungai Siput Selatan yang berada di dalam kawasan Parlimen Tapah juga di wakili MIC.

Di Perak, terdapat 2 kawasan bernama Sungai Siput, iaitu Sungai Siput Utara dan Sungai Siput Selatan.

Sungai Siput Selatan adalah sebuah pekan perkampungan yang terletak sekitar 38 kilometer dari Ipoh menghala ke selatan, pekan yang terkenal kerana hasil durian gunung dan petai dari kampung berhampiran. Ada penduduk tempatan mendakwa pekan kecil ini berusia lebih daripada 140 tahun.

Seperti pekan Kota Bharu, pekan Sungai Siput Selatan juga agak tersisih daripada jalan utama persekutuan.

Terdapat 2 laluan yang boleh membawa anda sampai ke pekan ini sama ada melalui pekan Chendering jika dari Tapah atau melalui Kuala Dipang jika dari Ipoh.

Perkampungan yang di diami tidak kurang daripada 200 orang penduduk, majoriti kaum Cina namun terdapat juga komuniti orang Asli yang agak ramai mendiami perkampungan berhampiran.

Dikatakan pihak komunis pernah membunuh 3 orang peladang Eropah di pekan ini dan kejadian itu menandakan bermulanya zaman darurat di Tanah Melayu.

Sepanjang perjalanan ke pekan Sungai Siput Selatan yang akan melalui Kuala Dipang, anda akan melihat panorama indah. Anda boleh melihat banjaran gunung, sungai dan pastinya tasik bekas lombong bijih timah termasuk sebuah kawasan perkelahan hutan lipur Sungai Salu, dipinggir jalan menuju ke pekan.

Tenang dan sunyi, itulah gambaran pertama yang dapat anda simpulkan sebaik sahaja anda sampai ke pekan ini.

Hanya terdapat sebaris rumah kedai di pinggir jalan yang kebanyakannya sudah di jadikan kediaman. Jalan di sekitar pekan ini juga lengang malahan anda boleh mengira dengan jari jumlah kenderaan yang lalu setiap jam.

Di pekan ini anda tidak akan menemui kemudahan seperti stesyen minyak , pejabat pos atau bangunan kerajaan, selain sebuah pondok polis dan sebuah sekolah, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Sin Min.

Berdasarkan catatan 2009, sekolah ini hanya mempunyai 33 orang murid dan 8 orang guru.

Satu-satunya kemudahan pengangkutan awam yang ada untuk sampai ke pekan ini adalah bas antara pekan bagi laluan Kampar ke pekan ini dan sebaliknya. 

Tidak banyak cerita yang diperolehi mengenai pekan ini, Sungai Siput Selatan ini seolah olah seperti "seorang lelaki tua yang pandai bercerita tapi cukup berahsia.”

Tetapi ia tetap sebuah pekan kecil yang tua dan tenang, yang saya tidak boleh jangka adakah ia akan selama-lamanya akan kekal begitu. – 7 Februari, 2016.   

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments