rencana

Surat terbuka buat Dr Mahathir – Muhammad Syafiq Azmi

Kehadapan Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun), saya mendoakan semoga Tun dan Tun Siti Hasmah berada dalam keadaan yang sihat dan tenang bersama keluarga tercinta.

Tidak lambat juga bagi saya mewakili genarasi muda mengucapkan terima kasih kerana pencapaian Tun dalam mentadbir Malaysia selama 22 tahun bermula dari 1981 hingga 2003.

Selayaknya Tun digelar Bapa Pembangunan Malaysia kerana di zaman pentadbiran Tun projek seperti Jambatan Pulau Pinang, Menara Berkembar Petronas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dan Koridor Raya Multimedia (MSC) berjaya direalisasikan.

Ia sangat bertentangan dengan pencapaian pimpinan hari ini.

Tun,

Lebih membanggakan pencapaian Tun tidak sedikit pun dibayangi kelibat Tun Siti Hasmah. Walau umum mengetahui kesetiaan Tun Siti Hasmah berdiri teguh menjadi tulang belakang Tun dalam perjuangan sama ada di medan politik atau dalam karier Tun sebagai perdana menteri Malaysia.

Sikap rendah diri Tun Siti Hasmah walau bergelar "first lady Malaysia" ketika era itu dan tanpa mengharapkan pujian atau pengiktirafan negara luar sebagai wanita cantik adalah sesuatu yang wajar dipuji.

Cantik itu bukan hanya perkakasan luaran tetapi ianya perhiasan dalaman bagi seseorang wanita.

Tun,

Di zaman Tun juga pastinya tidak lari dari amalan kronisme. Mungkin ianya sudah menjadi perkara sunat dalam parti yang Tun sendiri kritik hari ini.

Di zaman Tun menjadi perdana menteri juga, Tun mendapat kritikan dengan gaya kepimpinan autokrat hingga tiap yang menentang pastinya akan menginap di Kem Kemunting di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Akta itu merupakan undang-undang zalim tinggalan penjajah yang terus Tun nyanyikan di era pentadbiran Tun.

Tun,

Saya juga ingin merakamkan rasa dukacita dalam perkembangan karier politik putera kepada Tun, Datuk Seri Paduka Mukhriz. Perasaan kesal saya bukanlah disebabkan hilangnya jawatan menteri besar Kedah yang baru saja beliau sandang selama 2 tahun, tetapi kerana beliau tidak perolehi keadilan dan dijatuhkan kerana kelantangan dalam mengkritik kerajaan hari ini di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Namun itu hanya sedikit kepedihan kerana beliau dijatuhkan tanpa sebarang alasan dan dakwan yang tidak mengaibkan beliau.

Ia berbeda dengan apa yang berlaku kepada mantan timbalan perdana menteri kepada Tun, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau melalui 1 fasa yang bagi rakyat biasa sukar untuk ditempuh.

Ini bukan karma, tapi ini adalah bukti menifestasi sikap Tun satu masa dulu. Akhirnya ia menjadi warisan kepada kepimpinan yang lahir dari rahim Umno hari ini. Malah ia lebih menjadi-jadi apabila Najib Razak mentadbir negara.

Tun,

Ada sahabat berkongsi satu ketika dahulu, Almarhum Presiden PAS, Dato Fadzil Noor pernah mendoakan agar Tun panjang umur supaya dapat melihat hasil yang Tun lakukan.

Saya juga mendoakan Tun panjang usia bukan lagi untuk melihat kelakuan pimpinan negara hari ini, tetapi mendoakan Tun dapat bersama-sama merubah segala yang berlaku sejak zaman pemerintahan Tun hingga perdana mentari hari ini.

Saya mengharapakan Tun untuk bersama rakyat dalam memberi sokongan untuk membebaskan Anwar.

"Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya." (Ar-Ra`d: 11)

Bukan saja dapat melihat kematangan Tun dalam politik, malah Tun juga akan dilihat sebagai wira walau Tun adalah pemulanya.

Tidak perlu Tun masuk ke dalam parti pembangkang kerana hari ini bukan lagi soal politik kepartian, ia adalah soal nasional.

Sekian, terima kasih. – 6 Februari, 2016.      

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments