rencana

Susah sangatkah pandu ikut halaju? – Allenby Guy

Maut menanti kita di jalan raya pada bila-bila masa. Menteri pengangkutan baru-baru ini dilaporkan sebagai berkata 18 kematian dicatatkan setiap hari di jalan raya seluruh negara. 

Soalnya, apakah tindakan yang dan sedang dilakukan bukan sahaja oleh kerajaan, tetapi diri kita sendiri sebagai pengguna jalan raya? Apakah kita hanya berserah kepada nasib sekiranya hari ini merupakan hari kita pula yang akan terlibat dengan kemalangan dan akan dicabut nyawa dengan cara amat mengerikan dan tragis? 

Apakah kita akan menjadikan anak-anak kita menjadi yatim dan isteri/suami menjadi janda/duda serta meratapi pemergian kita di tepi kubur? Satu perubahan sikap secara drastik diperlukan di sini. Mahu tidak mahu, kita perlu akur  sikap kita sebagai pemandulah penyumbang terbesar kepada kemalangan maut.

Sikap suka memandu laju dan tidak mematuhi halaju sebagai faktor utama kemalangan perlu kita terima sebulat-bulatnya.

Apabila memandu melebihi halaju, kemampuan untuk berhenti sekiranya berlaku kecemasan menjadi terbatas.  Mungkin ada yang akan berkata mereka memandu kereta mewah yang direka mampu dipandu melebihi 110 km sejam sebagai contohnya. 

Tapi itu bukan alasannya. Peraturan dibuat bagi keselamatan kita dan pengguna jalan raya lain. Sekiranya tahap pematuhan kepada halaju dapat ditingkatkan kepada 100%, kadar kematian akan pasti turun kerana impak kemalangan tidak sehebat sekiranya kenderaan tersebut dipandu pada halaju 150 sejam sebagai contohnya. 

Apakah kita tidak faham akan logik ini? Atau adakah ego kita memandu kereta besar mengalahkan rasa risau kita akan dikutuk kerana memandu secara berhemah? Ya betul kemalangan pasti akan terus berlaku.  Sebab itulah ia dipanggil kemalangan. Tetapi apa yang berlaku sekarang adalah kecelakaan kerana sikap buruk kita memandu laju yang mengakibatkan kemalangan.

Cubalah kita ubah sikap suka memandu laju ini. Apakah yang ingin kita kejar sebenarnya? Apakah kepuasan yang kita dapat dengan memandu laju melebihi had? Apa yang ingin kita buktikan? Tiada siapa akan simpati sekiranya mayat kita tercampak keluar dari kenderaan yang dipandu laju dengan isi perut terburai dan anggota badan bercerai di dalam longkang di tepi jalan. 

Tolonglah! Sedarlah! Pihak berkuasa mempunyai kemampuan yang terbatas untuk menguatkuasakan peraturan halaju. Tetapi apakah kita hanya perlu memperlahankan kenderaan di kawasan yang ada kamera AES sahaja? 

Selepas itu terus memecut laju mengekori kenderaan di hadapan dengan jarak kurang dari satu kaki? Sikap kita perlu diperbetulkan. Pandulah dengan tenang. Nikmati keindahan alam semula jadi dan anggaplah perjalanan kita sebagai suatu riadah. 

Ayuhlah rakyat Malaysia. Bermula hari ini, mari kira ubah sikap kita yang suka memandu laju kepada seorang pemandu yang mematuhi halaju. Kepada seorang pemandu yang tenang yang tidak akan rasa tercabar sekiranya sebuah kereta Kancil memotong kereta BMW 3 series kita. 

Kepada seorang pemandu yang berbangga kerana kita mematuhi halaju jalan raya. Bersama-sama, kita mampu mengelakkan kemalangan maut. – 12 Februari, 2016.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments