rencana
Tabung Haji dan krisis keyakinan terhadapnya – Salahuddin Ayub
Tabung Haji (TH) merupakan institusi kewangan umat Islam hasil buah fikiran Prof Diraja Ungku Abdul Aziz. Ia bertujuan memudahkan urusan dan bebanan kewangan jemaah haji Malaysia.
TH sebuah institusi unggul di dunia Islam yang boleh kita banggakan.
Untuk mencapai tujuan penubuhannya, operasi TH dibahagikan kepada 2, iaitu bahagian urusan jemaah haji dan kegiatan pelaburan pendeposit. Keuntungan dari kegiatan pelaburan membantu menampung sebahagian kos jemaah haji.
Sejarah prestasi tadbir urus TH adalah baik dan memuaskan dan punya rangkaian urusniaga yang luas melalui pelaburan dan pembelian aset strategik dalam dan luar negara.
Mutakhir ini TH ditanggapi umum sebagai bermasalah, khasnya setelah surat dari gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) tersebar luas.
Secara lebih khusus tentang pertikaian pemberian dividen melebihi keuntungan dan pembelian hartanah tertentu dengan harga tinggi. Dakwaan urus niaga dan pelaburan TH dipengaruhi pimpinan politik sukar disangkal.
Dalam soal pemberian dividen dan bonus yang melebihi keuntungan perniagaannya untuk sesuatu tahun berkenaan, Amanah menyedari pemberian bonus setinggi 5% dan bonus sebanyak 3% yang diumumkan semalam hanya dilakukan TH setelah beberapa asetnya di London dijual.
Aset-aset yang selama ini mendatangkan pendapatan yang lumayan kepada TH terpaksa dikorbankan demi memenuhi matlamat jangka pendek untuk menggambarkan perniagaan TH masih utuh dan berkeuntungan.
Amalan sebegini tidak wajar atau berhemah dan tidak mampan. Teguran pihak BNM tentang polisi rizab secara komprehensif dan pengurusan risiko amat mustahak untuk dipatuhi.
Amanah mengutarakan kebimbangan perihal tanah TR Exchange yang awalnya didakwa dijual tetapi didapati tidak begitu. Kami difahamkan keputusan mengenai perkara ini belum lagi muktamad.
Justeru kerana pelbagai versi dan cerita berada di pasaran hartanah dan media, maka Amanah menyarankan TH segera tangani isu ini secara tuntas dan muktamad sesuai dengan perhitungan strategik TH.
Amat malang sekiranya keputusan pembelian sepenting ini berlaku tanpa adanya kajian dan perancangan khusus, selain untuk memenuhi kehendak pemimpin politik negara. Dasar sebegini mesti dihentikan jika ada, supaya TH dapat diselamatkan.
Tindakan membayar dividen atau bonus melebihi keuntungan merupakan suatu ketidakpatuhan amalan perniagaan yang baik dan digunakan untuk menarik lebih ramai penyimpan.Ini jelas akan menghakis rizab serta memudaratkan TH.
Wujudnya simpanan yang besar tanpa adanya satu perancangan pelaburan yang baik boleh mendatangkan kesan yang merugikan.
Akhirnya simpanan itu hanya mendatangkan pulangan biasa, sebagai contoh 3% sedangkan TH terus memberikan dividen atau bonus yang lebih daripada biasa, seperti 5%.
Maka dengan itu Amanah mendesak supaya:
a) Pengurusan dan lembaga pengarah TH sedia ada dikaji dari segi kelayakan dan kemampuan mereka seperti disentuh BNM.
b) Jawatan pengurusan dan lembaga pengarah TH wajib diserahkan kepada mereka yang layak dan bukan sebagai habuan politik.
c) Senarai pengurusan TH perlu diluluskan terlebih dahulu Bank Negara seperti mana senarai pengurusan bank komersil di negara ini.
Ini bertujuan untuk menjamin hanya yang layak diberi jawatan di institusi kewangan yang menyimpan hampir RM54 billion aset umat Islam.
d) Demi menjamin wujudnya ketelusan dan amalan semak dan imbang, maka Amanah mengesyorkan agar pihak ketua pembangkang sewajarnya diberi peluang untuk menamakan calon lembaga pengarah TH dengan syarat calon yang dinamakan layak dan diluluskan BNM.
e) Satu audit menyeluruh terhadap kegiatan dan pelaburan TH serta kesemua anak syarikatnya perlu segera dilakukan ketua audit negara dan juga firma juruaudit bebas bertaraf antarabangsa.
Segala yang tidak mematuhi piawaian profesionalisme dan amalan pengurusan yang baik perlu ditamatkan. Ini termasuk menutup syarikat yang tidak mendatangkan keuntungan dan sebaliknya hanya menjadi tempat berteduh ahli dan penyokong politik untuk sekian lama, sekiranya ada.
f) Sistem tangga gaji dan elaun sama ada untuk ahli lembaga pengarah atau pengurusan TH perlu disemak kembali. Mana-mana yang didapati melampau dan tidak seimbang dengan tugas dan tanggungjawab yang dimainkan perlu diubah.
g) Sebagai langkah pengurusan risiko tambahan, TH diminta menjalankan satu ujian ‘stress test’ untuk institusi kewangan mengikut panduan di bawah kelolaan BNM. Hasil ujian tersebut perlu diterbitkan kepada umum untuk memberikan gambaran tahap keutuhan kewangan TH dan mengembalikan keyakinan penyimpan dan seluruh rakyat jelata.
Amanah mengambil berat teguran BNM. Hanya pengurusan yang tidak bertanggungjawab sahaja akan sanggup menepis teguran berkenaan dengan berbagai alasan.
Amanah melihat TH bakal dilanda krisis keyakinan penyimpan dan pelabur yang akan menjejaskan kewujudannya kecuali tindakan segera diambil untuk memulihkan keyakinan ini.
Amanah memandang serius tindakan kerajaan melantik peguam negara sebagai ahli lembaga TH. Tindakan susulan berhubung persoalan ini akan diambil.
"Harapan Baru". Sekian, terima kasih. – 5 Februari, 2016.
* Salahuddin Ayub adalah timbalan presiden Parti Amanah Negara (Amanah).
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments