rencana

Tabung Haji, perlunya urusan kewangan lebih profesional – Raja Bahrin Shah

Selepas Bank Negara mengeluarkan surat teguran kepada Tabung Haji, akhirnya Tabung Haji mengumumkan bonus tahunan 5% dengan bonus Haji 3%.

Tiada dividen diisytiharkan.

Walaupun sebelum ini pelbagai penafian dikeluarkan tentang masalah kewangan Tabung Haji, ini menunjukan ada sesuatu yang tidak sihat dengan pengurusan kewangannya. 

Dalam keadaan teguran Bank Negara tentang  masalah kewangan Tabung Haji, dari mana dana bonus ini akan diambil adalah satu misteri.

Tabung Haji adalah satu institusi yang menguruskan simpanan orang beragama Islam yang berhajat untuk menunaikan tuntutan wajib Rukun Islam yang ke-5 iaitu mengerjakan Haji.

Maka pengurusannya mestilah dengan penuh amanah dan profesionalisme.

Soalan awal kami, mengapa tanah  TRX- Sungai Besi yang diperolehi 1 MDB dengan harga RM 60 satu kaki persegi dibeli Tabung Haji dengan harga RM 2,700 satu kaki persegi masih belum terjawab !

Perlu diingatkan dalam waktu yang singkat sejak dimiliki 1MDB, tidak ada nilai tambah saperti infrastruktur lebuh raya, monorail, keretapi atau kemudahan asas utama lain apabila dijual kepada Tabung Haji.

Apabila kontroversi timbul?

Pengerusi Tabung Haji mengisytiharkan beliau boleh menjual tanah tersebut dengan keuntungan lumayan dalam masa beberapa minggu!

Sehingga kini selepas beberapa tahun ia masih belum boleh dijual!

Semalam Pengerusi Tabung Haji mengisytiharkan nilai tanah tersebut hari ini adalah RM 3,100 sekaki persegi.

Itu adalah nilai di atas kertas saja.

Soalnya dengan kontroversi yang menyelubungi tanah TRX- IMDB dan keadaan ekonomi yang muram, siapa yang berani menyentuhnya ?

Lebih menghairankan lagi, tanah 1MDB di lokasi yang sama dijual kepada syarikat antarabangsa negara China dengan harga hanya RM 400 sekaki persegi saja selepas beberapa tahun penjualan tanah kepada Tabung Haji di tahap RM 2,700!

Apa jua perkiraan sulit di antara 1MDB dan syarikat tersebut, perbezaan penjualan ini berbanding dengan kepada Tabung Haji amat jauh bezanya.

Di manakah profesionalisme dalam urusan jual beli Tabung Haji dulu ?

Apabila isu perlantikan  peguam negara sebagai ahli lembaga pengarah Tabung Haji beberapa hari selepas beliau mengisytiharkan  penamatan siasatan kes 1MDB, Pengerusi Tabung Haji menyatakan peguam negara  tidak akan menerima apa-apa imbuhan.

Persoalan isu utama di sini ialah untuk apa perlantikan itu kerana jelas Tabung Haji memerlukan lebih kepakaran kewangan untuk mengatasi masalah seperti dinyatakan Bank Negara.

Tidak beberapa lama dulu kami dikejutkan dengan gaji amat tinggi lembaga pengarah Tabung Haji termasuk C.E.O nya.

Bolehkah Tabung Haji mengistiharkan dengan terbuka gaji lembaga pengarah mereka dan menjustifikasikannya memandangkan masalah kewangan yang sedang dihadapi hari ini?

Rakyat berhak menilai.

Tabung Haji menghadapi masalah "credibility, accountability dan transparency" dalam pengurusan kewangan mereka.

Ini semuanya adalah nilai pengurusan kewangan yang ber-Amanah yang disanjung Islam.

Penunaian haji adalah tuntutan wajib dalam Islam.

Sikap profesional yang penuh beramanah juga adalah nilai yang wajib dituntut dalam pengurusan kewangan Islam- apatah lagi dalam institusi semulia seperti Tabung Haji. – 5 Februari 2016.

* Datuk Raja Bahrin Shah ialah ahli Parlimen Kuala Terengganu dan pengarah Biro Antarabangsa Amanah.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments