rencana
Tafsiran progresif terhadap seksualiti dan gender – Ahmad Salami
Ia suatu yang penting untuk melihat kepada gerak kerja ulama reformis dan feminis yang mengkaji topik seksualiti dan gender dalam Islam.
Mereka membentuk perspektif yang mencabar idea tradisional tentang peranan wanita dan seksualiti yang terpasak dalam undang-undang Syariah sedia ada.
Sebagai contoh, idea tentang lelaki berkuasa dan punyai hak keistimewaan ke atas wanita. Bias gender ini dikritik dan adanya interpretasi baharu terhadap teks wahyu memberi peluang kepada pendapat lain untuk dilontarkan.
Gerakan ulama dan aktivis untuk mencabar ketidakadilan dan ketidaksamarataan yang wujud dalam undang-undang keluarga Islam dan masyarakat ini digelar sebagai ‘Muslim progresif’ dan ‘reformis Muslim’.
Istilah ‘Islam progresif’ akan digunakan berserta istilah ‘kerangka’ untuk membincangkan tentang kepelbagaian struktur, teknik, dan metode yang digunakan dalam gerakan Islam progresif. Kerangka ini juga mengarah kepada perbincangan topik seksualiti dan identiti gender dalam Islam.
Ulama reformis dan feminis Muslim bergerak daripada undang-undang Syariah sedia ada. Mereka merangka dan membina beberapa metodologi untuk membentuk kerangka Islam yang progresif.
Mereka percaya undang-undang syariah sedia ada tidak selari dengan Al-Quran dan as-Sunnah dan juga tidak selari dengan inti tujuan Allah dalam wahyu, bahkan sekadar kompilasi interpretasi terhadap nas yang dibentuk, daripada masa ke semasa.
Berdasarkan pandangan reformis ini undang-undang Syariah adalah kefahaman terhadap Islam yang terkesan dengan adat tradisional dan nilai sosial sejarah lampau yang dibentuk.
Mereka menegaskan kritikan terhadap undang-undang Syariah adalah untuk mencabar kefahaman tertentu dalam Islam dan bukanlah bermaksud mencabar Islam itu sendiri.
Ulama feminis juga menekankan interpretasi Al-Quran dan as-Sunnah berserta formulasi undang-undang Syariah kebanyakannya dibentuk hanya oleh ulama lelaki, maka ia sekadar refleksi kefahaman lelaki atas Islam berdasarkan pengalaman kehidupan mereka.
Ini mewujudkan bias gender dalam undang-undang keluarga Islam dan praktis bersifat patriarki dalam masyarakat Islam. Bagi mereka, bias gender lelaki yang merugikan wanita ini dimanifestasi dalam sesetengah tafsir Al-Quran yang menatijahkan praktis kian bersifat mengongkong wanita daripada hari ke hari.
Pembentukan undang-undang keluarga Islam yang menguatkuasakan lelaki mengatasi wanita adalah kesan daripada salah guna hadis yang memberi perspektif negatif atas wanita.
Hadis dipakai dipertikai penggunaannya sebilangan ulama dalam perbincangan berkenaan peranan gender dan seksualiti. Muslim secara individu atau kolektif mempunyai pandangan berbeza atas hadis mana yang patut dijadikan sandaran ataupun sebaliknya.
Sehinggakan wujud apa yang didakwa sebagai hadis sahih tetapi sebenarnya tidak. Ini disebut secara terperinci oleh sebilangan ulama berkaitan.
Namun, kita tidak berhasrat untuk membahaskan berkaitan sandaran hadis dalam perbincangan secara terperinci di sini.
Para cendekiawan reformis dan feminis percaya tafsir Al-Quran dalam topik gender dan seksualiti akan lebih progresif apabila undang-undang Syariah dipadankan dengan sosio-politik dan konteks sejarahnya.
Muslim tidaklah terikat hanya kepada satu set interpretasi sejarah tertentu yang eksklusif tentang Al-Quran. Muslim juga boleh terlibat dalam pembentukan kerangka Islam progresif ini.
Dalam usaha membentuk kerangka ini, feminis menggunakan pelbagai teknik. Ini termasuklah tafsiran semula nas-nas wahyu oleh ulama wanita sendiri dan dibentuk dalam konteks sosio-sejarah di mana ia diwahyukan.
Metode ini bertujuan untuk memastikan interpretasi adalah pantulan kepada kefahaman dan perspektif wanita terhadap Al-Quran dan as-Sunnah itu sendiri.
Mereka percaya Islam bermula dengan kesamarataan dan keadilan untuk semua termasuklah kesamarataan gender. Al-Quran membentuk asas pemerkasaan penuh wanita.
Bagaimanapun, diakui ia sudah dan akan ada halangan daripada yang berkuasa dan berkedudukan kalangan lelaki atas wanita dengan sistem patriarki yang menatijahkan ketidakadilan gender dalam masyarakat Islam dan undang-undang keluarga Islam.
Sebilangan cendekiawan kontemporari juga mengembangkan pendekatan yang melangkaui kaedah pentafsiran semula Al-Quran ini.
Antaranya, percaya Al-Quran harus dilihat sebagai 2 dokumen dalam satu; pertama fokus sosio-ekonomi pada masa ia diturunkan dan ke-2 yang mengandungi mesej spiritual Islam.
Mereka percaya yang mana mesej spiritual Islam dan prinsip keadilan merupakan dasar Al-Quran dan as-Sunnah, serta menjadi asas kepada sebuah kerangka etika umat Islam moden.
Perkara ini memberi peluang kepada para reformis moden untuk terus menyelami dan mengkaji topik seperti identiti gender dan seksualiti ini secara lebih lanjut.
Tulisan ini adalah terjemahan berserta suntingan penulis daripada laman sesawang www.safraproject.org dengan tajuk asal ‘Framework for Progressive Islam’.
Isu-isu yang diutarakan menarik minat penulis, khususnya berkaitan wanita dan diskriminasi mereka alami atas orientasi seksual, identiti gender, gender, agama, ras dan budaya berbeza, yang mana jarang dibangkitkan.
Tulisan ini tidak bermaksud memberi solusi atau jawapan putus kepada isu, ia sekadar perbincangan atau cadangan untuk refleksi bersama dengan semangat inklusif, harmoni dan meraikan kepelbagaian. – 14 Februari, 2016.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments