rencana
Tahun Baharu Cina dan formula Malaysia baharu – Nik Fatma Nik Muhamad
Hari ini merupakan hari bersejarah dan penting bagi masyarakat Tiong Hua di Malaysia, iaitu sambutan perayaan Tahun Baharu Cina. Ia merupakan sebuah perayaan berasaskan kebudayaan dan adat bukannya asas kepercayaan atau agama. Semoga tahun monyet ini membawa 1001 kebahagiaan, kesihatan yang baik, serta kemakmuran buat semua.
Dalam kemeriahan sambutan ini, dapat kita ambil iktibar daripada kepelbagaian kaum yang ada di Malaysia dan mewujudkan suasana yang harmoni dan damai. Pelbagai mesej dapat kita singkap melalui perayaan ini bagi membuka mata masyarakat yang lain tentang pentingnya menghargai dan meraikan perbezaan dan sebagainya.
Menghargai dan meraikan kepelbagaian
Allah menciptakan perbezaan dan kepelbagaian supaya kita dapat saling mengenali antara satu sama lain. Ia selari dengan apa yang diturunkan menerusi kitab panduan orang Islam iaitu Al-Quran, yang mana Allah berfirman dalam surah Al-Hujuraat ayat 13 yang bermaksud,
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”.
Tidak dapat dinafikan kita sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam lingkungan masyarakat majmuk, berbilang keturunan, bangsa dan agama seharusnya bersikap tolak ansur dan bertoleransi, memahami antara satu sama lain, saling menghormati dan sentiasa menjalinkan keharmonian dan keamanan bersama.
Saya tertarik dengan pandangan Dr Harlina Halizah Siraj di dalam artikelnya yang bertajuk “Menghargai dan Meraikan Kepelbagaian (Appreciating & Celebrating Diversity)”. Beliau menyebutkan manusia dapat menangani kepelbagaian dengan 3 cara utama.
Pertama – bertindak menolak dan membenci apa yang nampak berbeza dengan apa yang ada padanya. Kelompok ini menganggap dirinya jauh lebih mulia dan tinggi dibandingkan dengan kelompok lain yang berbeza dengannya. Tanggapan tersebut berpunca daripada perasaan takbur, bongkak dan sombong yang bersarang di dalam hati.
Kedua – menerima kepelbagaian sebagai satu yang tidak dapat dielakkan, kemudian mengambil sikap bertoleransi dan bertolak ansur terhadap apa yang tidak sama dan berlainan. Suasana harmoni dan aman damai dapat diwujudkan dalam hubungan antara kelompok yang berbeza. Namun masih terdapat batasan dan sempadan halus yang memisahkan.
Ketiga – meraikan serta menghayati kepelbagaian tersebut sebagai satu kekuatan, bukannya satu bebanan dan liabiliti. Dalam suasana yang ideal ini, masyarakat menjadi kuat dan mantap kerana setiap ahlinya yang mempunyai kepelbagaian potensi, bakat dan kreativiti bergabung tenaga memacu kemajuan bersama.
Ini membuktikan betapa pentingnya nilai menghargai dan meraikan kepelbagaian.
Kepelbagaian membentuk kekuatan
Tanggapan “Aku lebih tinggi dan mulia daripada kamu “ atau “I am holier than thou” haruslah dicantas sejak awal supaya ia tidak menatijahkan sesuatu yang berbaur diskriminasi, prejudis dan bias antara satu sama lain kerana kita tahu impak dari tanggapan itu ialah penindasan, ketidakadilan dan persengketaan.
Dan kita tahu manusia tidak kira bangsa dan keturunan sebenarnya banyak berkongsi persamaan dan perbezaan adalah hanya sedikit.
Oleh itu, kemahiran dalam menangani kepelbagaian ini haruslah dikuasai sepenuhnya oleh semua masyarakat di Malaysia supaya kita dapat pastikan kepelbagaian itu merupakan cabang kekuatan bersama dan bukannya satu bebanan atau liabiliti.
Bertitik tolak dari sini, masyarakat Melayu contohnya harus mengambil iktibar dan belajar daripada kelebihan yang ada pada bangsa lain. Kita harus menjauhi prejudis atau prasangka buruk sehingga menyebabkan terhalang daripada menyingkap hikmah dan rahmah yang ada pada bangsa lain.
Mahasiswa agen keharmonian masyarakat kampus
Mahasiswa di universiti juga seharusnya memanfaatkan sebaiknya rakan mahasiswa yang berlainan bangsa dan etnik, supaya dapat menyemarakkan lagi nilai-nilai murni, dan mempromosikan interaksi harmoni dan damai antara mereka di dalam kampus. Mahasiswa Islam seharusnya mengambil peluang ini untuk menyantuni masyarakat yang berbeza agama dan menyebarkan rahmah kepada mereka.
Melalui penganjuran wacana mengenai “Managing Diversity” atau dialog perbandingan agama yang dianjurkan di universiti melalui Majlis Perwakilan Pelajar atau mana-mana persatuan di universiti akan membuka lebih luas peluang untuk menyebarkan risalah Islam yang syumul ini.
Ini tidak bermakna menggunakan ruang ini hanya semata-mata untuk mempromosikan agama masing-masing, tetapi lebih berfokus untuk berkongsi maklumat dan mendidik orang lain yang tidak seagama untuk memahami bagaimana agama yang dianuti itu mencorak seluruh kehidupan sebagai seorang masyarakat di kampus.
Dan natijah daripada wacana tersebut akan timbullah satu bibit kemesraan, hormat-menghormati dan akan membuahkan keharmonian yang benar-benar subur.
Formula baharu untuk Malaysia
Menyedari kepentingan untuk memupuk semangat toleransi sesama kaum di negara ini, “Gagasan Malaysia Menuju Negara Rahmah” harus kita dokong bersama dan berganding bahu dalam merealisasikannya.
Terdapat 12 ciri negara yang rahmah yang digariskan antaranya:
- Kepimpinan negara yang kompeten dan berintegriti.
- Sistem Pemerintahan yang berasaskan semak dan imbang yang berkesan.
- Tadbir urus yang baik.
- Undang-undang yang adil.
- Masyarakat yang berilmu berakhlak dan penyayang.
- Institusi keluarga yang utuh.
- Hubungan etnik dan penganut agama yang harmoni.
- Ekonomi yang mampan.
- Agihan kekayaan yang saksama.
- Pembangunan yang lestari.
- Kebajikan, kesihatan dan keselamatan rakyat terpelihara.
- Menerajui usaha-usaha keamanan dan kesejahteraan sejagat.
Dalam ciri ke-7 daripada 12 ciri dalam gagasan ini menyebutkan antara ciri negara yang rahmah, adil untuk semua adalah negara yang harmoni dan memelihara sebaiknya hubungan antara etnik dan penganut agama yang berbeza.
Ayuh, kita sebagai rakyat Malaysia harus memulakan langkah mempromosikan dan menyuburkan nilai keharmonian dan kedamaian antara kita. Semoga Malaysia menjadi sebuah negara yang rahmah, memelihara prinsip keadilan, tadbir urus yang baik dan memelihara keharmonian etnik yang berbeza.
Selamat Menyambut Tahun Baru Cina. Gong Xi Fa Cai! – 8 Februari, 2016.
* Penulis adalah pelajar sarjana Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments