rencana

Tanggungjawab kerajaan mewujudkan peluang pekerjaan, bukan mengisinya dengan jalan pintas – Muthanna Saari

Statistik terkini yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan kadar pengangguran di Malaysia pada Disember 2015 meningkat kepada 3.3% berbanding bulan sebelumnya.

Kadar ini juga menunjukkan peningkatan jika dibandingkan dengan Disember 2014 di mana sejumlah 478,100 orang dilaporkan menganggur pada Disember 2015 berbanding 432,100 orang pada Disember 2014.

Perangkaan ini adalah berdasarkan penyiasatan tenaga buruh yang bertujuan untuk mengumpul maklumat berkaitan struktur dan taburan tenaga buruh, guna tenaga dan pengangguran.

Kadar pengangguran ini adalah perkadaran penduduk yang menganggur kepada jumlah penduduk di dalam tenaga buruh.

Kadar pengangguran yang direkodkan ini turut menggambarkan penurunan kadar penyertaan tenaga buruh pada Disember 2015 berbanding tahun sebelumnya.

Kerja adalah salah suatu perkara utama dalam kehidupan manusia.

Melalui kerja, manusia memperolehi pendapatan, dan kehidupannya terjamin secara ekonomi. Human Development Report 2015 yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengambil tema bagaimana kerja mampu membantu meningkatkan pembangunan manusia.

Kerja memainkan peranan penting bagi pertumbuhan ekonomi yang adil dan saksama, penurunan kadar kemiskinan serta kesetaraan jantina.

Melalui kerja juga akan meningkatkan penglibatan seseorang ke dalam masyarakat serta menambah nilai sosial diri seseorang di kalangan masyarakat.

Namun begitu, kerja sering diukur dan dikonsepsualisasikan daripada ukuran ekonomi semata-mata berbanding ukuran pembangunan manusia.

Human Development Report 2015 dalam membincangkan pembangunan manusia melalui meningkatkan peranan kerja menekankan kepada perlunya polisi dan strategi yang berkesan dalam mewujudkan peluang pekerjaan, memelihara kesejahteraan pekerja dan merangka pelan tindakan berkaitan kerja.

Polisi dan strategi berkaitan mewujudkan peluang pekerjaan ini adalah melibatkan strategi pasaran buruh nasional.

Sekiranya ini merupakan salah satu indikator kepada keberkesanan pembangunan manusia sesebuah negara, maka wajar diteliti apakah tepat polisi dan strategi yang dilaksanakan Malaysia dalam melaksana dan menambah baik penyertaan tenaga kerja di dalam negara ini.

Kertas Strategi 8: Pasaran Buruh untuk Negara Maju dalam dokumen Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11), 2016-2020 melaporkan Talent Corporation yang ditubuhkan pada 2011 adalah bertujuan bagi menarik dan mengekalkan modan insan berkemahiran tinggi di negara ini. Melalui Talent Roadmap 2020, strategi yang diambil bagi mencapai objektif ini adalah dengan memberikan tumpuan kepada mengoptimumkan bakat tempatan, menarik dan mengekalkan bakat asing dan membina rangkaian bagi bakat terbaik.

Walaupun di dalam kertas strategi tersebut mendakwa sepanjang tempoh RMKe-10 (2011-2015) pelbagai kemajuan memberangsangkan dicapai, namun salah satu isu dan cabaran dalam pasaran buruh negara ini diakui sebagai kebergantungan yang tinggi kepada pekerja asing berkemahiran rendah di samping kekurangan pekerjaan berkemahiran tinggi.

Ini dicerminkan melalui peningkatan kadar pekerja asing berkemahiran rendah kepada 152% dalam tempoh 2000-2013.

Justeru, hala tuju RMKe-11, yang merupakan pelan pembangunan negara yang paling penting bagi menentukan Malaysia sebagai sebuah negara maju selaras dengan Wawasan 2020, adalah sangat mustahak untuk diteliti seawal pelaksanaannya awal tahun 2016 ini.

11 inisiatif untuk menambah baik pasaran buruh seperti yang digariskan di dalam dokumen ini antara lain adalah untuk menampung kelemahan yang dikesan daripada pelaksanaan RMKe-10.

Antaranya ialah untuk menambah pekerjaan berkemahiran tinggi, mengurangkan pengangguran belia, mengurangkan jurang upah, mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah di samping menambah baik pengurusan pekerja asing.

Strategi yang digariskan ini juga dilihat selari dengan Agenda ke-8 dalam Sustainable Development Agenda yang dilancarkan PBB pada September 2015 yang lalu.

Menjelang 2030, adalah diharapkan agar usaha untuk mempromosikan pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan dan inklusif, peluang pekerjaan yang produktif di samping kerja yang baik.

Maka Malaysia dilihat sentiasa selari dengan agenda global khususnya dari aspek perancangan.

Aspek polisi dan strategi yang digariskan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri ini menggambarkan usaha dan hala tuju untuk meningkatkan pasaran buruh dan pekerjaan di negara ini bagi tempoh 5 tahun mendatang.

Namun pelaksanaan terhadap polisi dan strategi ini yang akan menentukan segala perancangan dan idea ini berguna ataupun tidak.

Sebagai contoh, pengumuman kerajaan Malaysia untuk membawa masuk 1.5 juta orang pekerja warga Bangladesh bagi mengisi memenuhi permintaan majikan di dalam negara ini dalam tempoh 3 tahun.

Adakah ini merupakan dasar kerajaan atau lebih kepada keputusan berasingan seseorang menteri dan kementeriannya?

Jika pengumuman ini menggambarkan dasar kerajaan, ternyata pada peringkat awal pelaksanaan RMKe-11 lagi strategi yang digariskan ini sudah tidak dijadikan panduan dalam pelaksanaan program kerajaan.

Sekiranya langkah ini memang merupakan “langkah bijak” kerajaan bagi meningkatkan kadar penyertaan tenaga buruh dan seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi negara, maka ini boleh dianggap sebagai jalan pintas bagi mengurangkan kadar pengangguran dalam negara.

Kerana cabaran sebenar kerajaan adalah terletak kepada sejauh mana polisi dan strategi untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang mencukupi, merapatkan jurang upah dan gaji serta mengurangkan kadar pengangguran berjaya untuk dilaksanakan.

Melalui peluang pekerjaan yang boleh meningkatkan aspek ekonomi, keupayaan seseorang manusia juga akan meningkat.

Dengan pertumbuhan ekonomi yang adil dan saksama, kadar kemiskinan juga dapat diturunkan.

Maka tanggungjawab kerajaan dalam mewujudkan peluang pekerjaan yang mencukupi dan kerja yang baik adalah perkara asas di dalam memastikan pertumbuhan ekonomi serta pembangunan manusia di negara ini. – 22 Februari, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments