rencana

Tiada maaf untuk Najib, Umno Kedah – Mahfuz Omar

Peletakan jawatan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir suatu yang menyedihkan rakyat Kedah.

Peletakan jawatan beliau kerana tiada pilihan disebabkan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno dan Barisan Nasional (BN) dikatakan hilang kepercayaan terhadap beliau.

Dari awal lagi pendirian saya sangat jelas. Apa keperluan untuk tukar menteri besar Kedah.

Kedua ialah proses hendak tukar menteri besar pula dibuat dengan mencetuskan keresahan pada rakyat yang sedang menghadapi kemelut dan krisis ekonomi yang membawa mereka berdepan dengan beban kehidupan yang sangat teruk.

Kini rakyat diheret untuk berdepan dengan kemelut dan krisis politik yang dicetuskan bagi menyempurnakan agenda melenyapkan musuh politik Putrajaya.

Kedah hilang pemimpin berprinsip

Peletakan jawatan Mukhriz sebagai menteri besar adalah kerana keberanian dan kelantangannya dalam kelembutan sifatnya menegur dan mengkritik presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang juga berkuasa sebagai perdana menteri tanpa menghiraukan akibat yang bakal diterimanya.

Kecekalan dan ketegasan beliau ini adalah kebanggaan rakyat Kedah khususnya di kalangan generasi muda.

Kini beliau menjadi mangsa kepada ketegasan dan keberanian beliau berkata benar di hadapan presiden partinya yang bergelumang dengan segala salah laku dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), RM2.6 bilion, rasuah serta cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang membebankan rakyat.

Sepatutnya lebih ramai Mukhriz yang dilahirkan di Kedah dan Malaysia. Tetapi apa yang berlaku Mukhriz cuba dilenyapkan daripada pengaruh kuasa politik dan kedudukan beliau dalam kerajaan Kedah.

Kedah kehilangan seorang pemimpin yang berdiri dan jatuh atas prinsip perjuangan untuk negeri dan rakyatnya.

Beliau boleh memilih jalan untuk selamatkan diri dengan menjadi pak turut dan pengikut yang setia membabi buta dan bangang kepada presiden partinya untuk kepentingan diri.

Tetapi yang dipilih ialah kebenaran dan keadilan untuk rakyat. Syabas sahabatku Mukhriz.

Tiada maaf untuk Najib dan Umno Kedah khususnya dan Umno seluruhnya. Ayuh semua!.

Pemimpin adil ditaati pemimpin zalim dihambat. – 3 Februari, 2016.

* Datuk Mahfuz Omar ialah ahli Parlimen Pokok Sena.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments