rencana

Tindakan Dr Mahathir tepat pada masanya – Zainudin Maidin

Selamat tinggal yang abadi.

Sedang seluruh negara gempar dengan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad keluar Umno, semua media perdana dan online mereka diarahkan tidak membesarkan perkara ini untuk menenangkan keadaan.

Kesan tindakan Dr Mahathir keluar Umno kali ini berbeza dengan tindakan memecat beliau daripada Umno selepas peristiwa 13 Mei yang tidak menggugat kedudukan perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman. Tetapi pengundurannya sesudah menjadi perdana menteri Malaysia yang berpengaruh selama 20 tahun di dalam dan di dunia antarabangsa merupakan tamparan paling hebat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan juga kepada bangsa dan negara yang dibinanya.

Walaupun tindakan ini dianggap salah tetapi kenekatan beliau berbuat demikian menyebabkan rakyat akan memfokuskan kepada kesalahan Najib yang mendorongkannya. Pastinya akan memburukkan lagi imej Najib yang sudah pun parah.

Sekali gus dalam beberapa hari lagi, pastinya tindakan ini semakin menarik perhatian dunia luar tentang betapa seriusnya Najib menjadi perdana menteri yang tidak mewakili majoriti rakyat kerana jangkaan saya pastinya akan disusuli beberapa lagi langkah sokongan parti di luar BN untuk menunjukkan perpaduan nasional.

Berikutan arahan yang diberikan maka ada kemungkinan berita gempar ini akan diperkecil atau dibenamkan terus bagi menenangkan keadaan sebaliknya sokongan gurkha Najib akan diperbesarkan media perdana terutama TV3 bagi menampakkan sokongan rakyat terhadap Najib tetapi rakyat tidak sebodoh dulu lagi dan semakin muak dengan suara memperbodohkan mereka sejak krisis keyakinan kepada Najib.

Tindakan Dr Mahathir tepat pada masanya yang akan melumpuhkan sokongan orang Melayu terhadap Umno dalam pilihan raya umum akan datang. Umno sudah pun berada dalam keadaan cedera parah yang sukar lagi untuk diubati dan dipulihkan semula.

Memanglah Dr Mahathir akan dituduh menghancurkan Umno tetapi Umno sudah pun berada dalam kepincangan dan tiada masa depan berbanding bila Dr Mahathir dipecat Umno oleh MKT pada 1969 di mana beliau masih mempunyai kepercayaan kepada Umno di bawah pimpinan Tun Abdul Razak dan lain-lain.

Rakyat juga dapat melihat kebenarannya dalam tindakannya keluar Umno kerana tidak mahukan Pak Lah dan Najib mendapat faedahnya apabila Pak Lah tersingkir atas keberanian Tan Sri Muhyiddin Yassin menjuarai suatu tindakan berani. Sepatutnya Muhyiddin yang menjadi perdana menteri tetapi sentimen Dr Mahathir memberi faedah kepada Najib.

Tidak ada oportunis yang lebih besar dalam Umno yang mendapat faedah atas pengorbanan orang lain kecuali Najib.

Walaupun tindakan Dr Mahathir keluar Umno kali ini dilihat sebagai kecekapannya mendahului tindakan memecatnya seperti yang dikehendaki gurkha Najib tetapi dialu-alukan orang Melayu dan veteran Umno yang "kecewa" dan mahu melihat tindakan berkesan beliau bagi memulihkan perpaduan nasional rakyat dan membawa perubahan besar kepada negara.

Adalah dijangka tindakan Dr Mahathir akan disusuli beberapa lagi langkah yang menunjukkan sudah ada perpaduan antara parti di luar BN bagi menggugat kedudukan Najib secara berkesan.

Yang pastinya Dr Mahathir tidak lagi akan kembali kepada Umno dan seperti Datuk Onn, Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn semuanya meninggal dunia di luar Umno. – zamkata.blogspot.my, 1 Mac, 2016.

* Tan Sri Zainudin Maidin ialah bekas menteri penerangan.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments