rencana
Tok Guru, hidupnya disenangi, matinya ditangisi, hilangnya dirasai – Mohd Sufian Zahari
Hari ini genaplah 365 hari pemergian Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz menemui penciptanya.
Februari adalah bulan yang cukup sinonim dengan kesedihan kebanyakan rakyat Malaysia kerana selang 2 hari pada tahun dan bulan yang sama juga adalah waktu yang mana ketua pembangkang Malaysia Dato Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun atas dakwaan meliwat bekas pembantu peribadinya Saiful Bukhari Azlan.
Pada malam Jumaat yang hening itu, sebaik saja berita kepergian beliau dilaporkan di media, negeri Kelantan terus dihujani padat kenderaan yang cuba memasuki negeri yang pernah diperintah Almarhum selama 23 tahun itu.
Seluruh negara melalui fasa pilu yang teramat.
“Saya amat berbesar hati apabila di penghujung usia saya, saya dapat menyaksikan ramai artis Oghe Suhoe yang diberi hidayah Allah hasil daripada gerakan Islam yang dilakukan di Malaysia ini” (Tuan Guru Nik Abdul Aziz).
Dalam hayat beliau, beliau cukup senang didampingi kawan dan lawan.
Malah golongan artis juga turut senang untuk mendekati beliau.
Wardina, Abby Abadi, Mustapha Kamal, Bob Lokman, Aisyah, Hairie Othman, dan Azmil Mustapha, adalah antara artis yang mendekati beliau dan gerakan Islam yang dipimpinnya di zaman beliau sendiri.
Dalam linangan air mata, beliau juga pernah meluahkan ketidak terjangkaannya berjaya menyaksikan golongan ini mula mendekati gerakan Islam yang dipimpin di zaman beliau dan itulah yang sentiasa didoakan dalam tahajudnya yang hanya pernah ditinggalkan 3 kali seumur hidup seingatnya.
Kehilangan beliau cukup dirasakan.
Kini, setelah ketiadaan beliau, sebut saja nama artis yang masih dalam gerakan yang ditinggalkan beliau, pasti sosok tubuh berkenaan adalah bermula ketika di zaman beliau dulu lagi.
Bererti, setelah ketiadaan beliau, tiada lagi figura atau tokoh yang berjaya menambat hati individu seni yang baru untuk mendekati gerakan Islam yang beliau tinggalkan.
Kehilangan beliau amat dirasakan.
Semenjak PAS bersama (Angkatan Perpaduan Ummah) mengambil alih Kelantan pada 1990, setiap pagi Jumaat Dewan Zulkifli Kota Baru menjadi saksi sebagai tempat beliau bersama dengan rakyat jelata untuk menyampaikan kuliah dan peringatan kepada rakyatnya.
Sejak dari zaman beliau sihat hinggalah di penghujung usianya, itulah rutinnya pada pagi Jumaat.
Limpahan rakyat yang datang, maka beliau mengilhamkan untuk tutup jalan di sepanjang Jalan Dato Pati untuk didirikan khemah dan beliau turut di dalam khemah berkenaan untuk menyampaikan kuliah di tempat yang diberi nama sebagai Medan Ilmu.
Pernah saya berbual dengan seorang hadirin, beliau menyatakan beliau dari Kuala Terengganu dan memang beliau hadir setiap minggu untuk mendengar kuliah dari Almarhum.
Anak-anak Kelantan di perantauan juga sentiasa mencari peluang untuk pulang pada hari Jumaat untuk bersama mendengar kuliah beliau.
Saya sendiri pernah berkali-kali membawa rakan dari negeri Sabah dan Kedah yang berminat untuk datang ke tempat yang penuh berkat itu.
Lebih menyentuh hati apabila Medan Ilmu juga turut dihadiri kaum Cina yang tinggal di sekitar Kota Baru menjadikan keadaan cukup meriah dan padat dengan hadirin.
Almarhum cukup disayangi segenap lapisan rakyat.
Kini, Medan Ilmu masih wujud dan diusahakan pimpinan kerajaan negeri sekarang, namun fungsinya sudah jauh berubah, kehadiran juga jauh merosot turun.
Segalanya sudah tidak seindah di zaman keberadaan beliau.
“Dalam PAS tidak pernah bersetuju dan bersama Pakatan pun tidak pernah berbincang untuk PAS menyertai BN, andai penyatuan maka DAP dan PKR juga perlu menjadi anggota menteri, jika tidak ini bukan penyatuan tetapi ini perpecahan yang dimainkan boneka pihak tertentu” (Tuan Guru Nik Abdul Aziz).
Ini adalah penegasan yang disuarakan beliau apabila munculnya bibit-bibit kerajaan perpaduan PAS dan BN.
Beliau adalah individu yang berpengalaman ketika pernah melalui keperitan PAS di dalam Parti Perikatan 1974 yang akhirnya ditendang keluar.
Di zaman keberadaan beliau, PAS adalah parti yang diterima pelbagai kaum.
Seluruh kaum bersatu dalam satu pakatan untuk bersama mengangkat keadilan untuk rakyat Malaysia.
Kerjasama yang erat antara parti dalam Pakatan Rakyat juga menjadikan pembangkang bangkit dan memenangi 5 negeri pada pilihan raya 2008 dan menguasai 54% undi popular dan Barisan Nasional mengaut 46%.
PAS juga berjaya melonjak prestasinya apabila Almarhum berjaya menyatukan rakyat kepelbagaian kaum ini di bawah satu gabungan parti.
Lihat saja PAS yang hanya berjaya mendapat 6 kerusi Parlimen pada 2004 melonjak kepada 24 kerusi apabila tertubuhnya Pakatan Rakyat, dan 2013 sebanyak 21 kerusi.
Selepas kepergian beliau menyaksikan PAS berpecah teruk.
Lebel melebel sesama ahli parti dan hubungan antara 3 parti utama dalam Pakatan Rakyat juga tidak lagi tenang hingga kemuncaknya tertubuhnya Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PAS mengisytiharkan diri sebagai penasihat kerajaan BN.
Ternyata figura seperti Almarhum amat sukar dicari ganti.
Tiada lagi toleransi dan rundingan dengan orang bukan muslim menjadikan mereka yang dulunya cuba mendekati kini mula kembali mengorak langkah untuk menjarakkan diri.
Tiada lagi insan yang mampu bersuara lantang dan akan didengari bila datangnya sebarang permasalahan khususnya di dalam mahupun di luar parti yang beliau bawa dulu.
Baru setahun kepergiannya, namun landskap politik jauh berbeza.
Semoga Malaysia dan dunia ini dikurniakan lagi pemimpin sehebat beliau. Al Fatihah. –13 Februari, 2016.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments