rencana
Tok Pa tandatangan TPPA hari ini, apa nasib graduan esok? – Nik Fatma Amirah Nik Muhamad
Tahniah dan syabas buat Malaysia yang sudah menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) hari ini. Tetapi, persoalannya adakah hari esok untuk graduan?
Persoalan ini masih menjadi tanda tanya setiap mahasiswa atau bakal graduan tidak kira Melayu, Cina, India atau lain-lain yang akan menempuh satu survival yang agak mencabar pasca penglibatan Malaysia dalam TPPA ini.
Perbincangan mengenai TPPA hangat diperkatakan di media sosial setelah viral gambar Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed menandatangani perjanjian ini di Auckland, New Zealand hari ini.
Sebanyak 12 negara anggota TPPA iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat, Vietnam dan Malaysia.
Saya tertarik dengan satu kupasan oleh Ketua Biro Penyelidikan IKRAM Prof Mohd Nazari Ismail dalam artikelnya yang diterbitkan The Malaysian Insider bertajuk “TPPA-adakah Amerika akan menjajah Malaysia.”
Beliau menyebut, “yang akan merasa susah dan tertekan adalah golongan pekerja kerana suasana persaingan sengit akan memaksa syarikat-syarikat sentiasa berusaha untuk meminimakan kos sumber manusia dalam usaha memastikan daya saing mereka sentiasa kukuh.
Maka senario permbuangan pekerja (kadangkala dipanggil ‘rightsizing’), pemotongan gaji atau pekerja dipaksa bekerja lebih masa dengan bayaran sama akan berlaku lebih kerap dan meluas termasuk dalam sektor yang pada mulanya mendapat manfaat dari TPPA.”
Maka jelaslah daripada pandangan yang bernas ini, graduan atau pekerja akan mengalami kesusahan dalam mencari peluang pekerjaan akibat tindakan meminimakan kos sumber manusia yang berlaku dan pemotongan gaji pekerja yang akan berlaku secara meluas.
TPPA dan survival graduan negara
Adalah menjadi tanggungjawab graduan untuk menyingkapi sebaiknya isu ini kerana mereka akan menghadapi satu fasa survival yang mencabar selepas tandatangan TPPA ini.
Pertama, konsep atau sistem pendidikan di peringkat universiti perlu dikaji semula supaya ia sesuai untuk menempuh dunia pasca TPPA.
Graduan yang dihasilkan perlulah graduan yang berkualiti, berdaya saing, mempunyai kemahiran dan mampu untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan graduan atau pekerja negara TPPA yang lain.
Seperti yang kita maklum semua orang terbuka luas untuk memasuki Malaysia dan melaksanakan perniagaan dan bersaing antara satu sama lain.
Selain itu, rakyat negara peserta TPPA boleh bekerja di Malaysia tanpa sekatan dan syarikat antarabangsa juga boleh mengambil pekerja asing tanpa perlu memenuhi kuota pekerja tempatan seperti yang dikenakan kepada mereka sebelum ini.
Jadi, jika graduan yang lahir dari sistem pendidikan kita yang kurang efektif, maka mereka akan mengalami masalah untuk bersaing dengan pekerja lain yang jauh lebih baik.
Ke-2, pendidikan untuk rakyat Malaysia haruslah bersifat holistik, bukannya semata-mata ‘exam-oriented’ supaya graduan yang keluar dapat bersaing secara sihat dan menjadi graduan yang dapat memenuhi pasaran kerja yang lebih meluas.
Ke-3, graduan haruslah melengkapkan diri mereka dengan penguasaan kemahiran atau ‘soft-skill’ seperti penguasaan bahasa asing seperti bahasa Inggeris, kemahiran komunikasi yang baik, dan sebagainya.
Ini kerana, dunia hari ini lebih mementingkan kemahiran yang graduan ada, bukan lagi pointer yang tersimpan rapi dalam transkrip universiti. Mereka harus merterjemahkan ilmu dari sudut kemahiran dan praktikal.
Ke-4, sistem pendidikan hari ini haruslah membentuk pelajar, mahasiswa atau graduan yang mampu untuk ‘lifelong continuos learning’. Pembelajaran bukan sahaja semasa zaman menjadi pelajar, bahkan selama-lamanya bagi menempuh dunia yang mencabar pasca TPPA ini.
Ke-5, penglibatan dalam kokurikulum juga penting supaya graduan dapat pendedahan yang lebih luas. Penglibatan sosial bersama masyarakat atau ‘civil society’, penglibatan dalam pembentukan jati diri dan kemampuan mengendalikan program atau ‘event’ yang besar dan memberi impak menjadi bonus untuk graduan.
Dunia hari ini, lebih menekankan aspek kemahiran, pengalaman dan graduan yang ‘multitasking’.
Jadi mahasiswa atau graduan seharusnya melengkapkan diri mereka dengan keupayaan ini supaya mereka dapat bersaing dengan sihat bersama pekerja asing yang dikatakan lebih menguasai kemahiran yang tinggi.
Ayuh graduan, kita bangkit bersedia dan melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran untuk menempuh fasa survival yang mencabar selepas Malaysia secara rasminya menandatangani TPPA.
Kami para mahasiswa dan graduan sentiasa berdiri teguh untuk rakyat dan negara ini demi nasib dan masa depan Malaysia.
Kita tidak mahu generasi selepas kita merana dan merempat di negara sendiri akibat kecuaian kita! – 4 Februari, 2016.
* Penulis ialah pelajar sarjana Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments