rencana

Transformasi bersiri bermula daripada kita! – Raja Bahrin Shah

Kita rakyat Malaysia sedang melalui hari dan saat-saat kritikal beberapa hari ini. Tidak pernah sejak merdeka negara kita menjadi tunggang terbalik sebegini walaupun dulu maklumat terhad dan kita buta maklumat.

Kini langit siber luas terbuka tetapi mereka yg bermaharajalela berkuasa cuba mengunci maklumat daripada langit terbuka seolah pepatah Melayu - 'ingin menongkat langit yang hendak runtuh’. Internet mula di tutup dan diganggu.

Ada yang kata tukar perdana menteri dan ada yang kata reformasi sekali lagi. Apa yang Malaysia perlukan ialah transformasi bersiri melibatkan perubahan seluruh sistem negara yang amat korup-rasuah!

Perdana menteri seorang diri tidak boleh menguasai semuanya tanpa juak-juak menteri lain, peguam negara, pihak berkuasa keselamatan serta pentadbiran yang begitu korup. Kalau empayar Rom tidak dibina dalam satu hari, Malaysia juga tidak mungkin punah sebab seorang perdana menteri tanpa proses berterusan.

Jadi menukar perdana menteri sahaja tidak menyelesaikan masalah. Akar umbi dan pucuk pokok mesti digantikan secara keseluruhan melalui transformasi bersiri.

Semua rakyat mesti melibatkan diri dalam trasformasi ini. Yang muda, yang di pertengahan umur dan juga yang tua. Tiada yang selamat daripada kerakusan pimpinan hari ini.

Mahasiswa muda ditangkap, dipenjara, bajet pendidikan negara dipotong 18%, dana Universiti Malaya dipotong 28% dan bantuan murid miskin dipotong daripada RM200 juta hingga tinggal hanya RM10 juta. Baru-baru ini biasiswa murid cemerlang dibatalkan menjadi pinjaman, sementara negara lain memberi pendidikan percuma.

Bagi warga tua yang mengharapkan wang pencen untuk sedikit keselesaan di hujung penghidupan mereka, wang Kumpulan Wang Anggota Pencen (KWAP) di sambar RM4 billion oleh SRC Syarikat berkait dengan 1MDB. Pelaburannya sehingga hari ini tidak tahu ke mana.

Tabung Haji (TH) pula dipaksa melalui kroni yang dilantik membeli tanah daripada 1MDB dengan harga RM2,770 satu kakipersegi walaupun harga asal 1MDB beli daripada kerajaan hanya RM60 satu kaki persegi!

Pendedahan terakhir termasuk pelaburan TH yang rugi berpuluh juta dalam syarikat pembuat roti dan pelaburan rugi RM1.4 billion dalam anak syarikat Tabung Haji Heavy Engineering.

Mahasiswa muda disekat kemajuan hidup mereka dan yang tua dirampas simpanan hari tua mereka. Di mana peri kemanusiaan kerajaan rakus ini?

Kalau yang di peringkat pertengahan umur menganggap mereka sudah selesa dengan kerajaan hari ini, saya mohon fikir panjang-panjang tentang masa depan anak-anak yang terjejas peluang pendidikan mereka. Jangan khianati masa depan mereka hanya dengan anggapan kalau boleh memiliki BMW dan Mercedes hari ini bermakna sudah selesa.

Anak-anak adalah amanah Allah untuk kita memberi sebaik-baik peluang pendidikan dunia dan akhirat kepada mereka. Ingat juga ada mahasiswa yang sanggup berlapar kerana menghantar wang pengajian kepada orang tua mereka di kampung yang terhimpit akibat kenaikan kos hidup.

Bagi warga pencen pula segala usaha giat peluh mereka dalam KWSP yang diambil SRC-1MDB, tidak tahu ke mana hari ini. Daripada muda diambil dan daripada tua dirompak.

Tan Sri Muhyiddin Yasin kononnya dipecat sebagai timbalan presiden Umno kerana tidak menjalankan tugasnya membantu presiden. Membantu untuk apa? Untuk bersubahat, menyeleweng dan memusnahkan negara? Menteri-menteri kroni dan ‘pak sanggup’lah patut dipecat kerana membantu dalam kemungkaran ini.

Langit siber Internet sudah mula diganggu secara meluas dan ditutup. Peluang kami untuk berceramah di bandar kecil Kuala Terengganu pun sudah banyak diganggu dengan rampasan bendera dan cubaan membatal program kami.

Suara Raja-raja Melayu mengenai isu 1MDB dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak diendahkan kerajaan. Suara bekas timbalan perdana menteri dan bekas timbalan presiden Umno didiamkan. Tidak lama lagi kita hanya boleh mendengar siaran RTM1, RTM2 dan TV3-Teman Setia Anda menyebar propaganda.

Transformasi bersiri daripada atas hingga ke bawah mesti dimulakan. Kalau tidak kita hanya akan dapat menikmati sisa-sisa ‘kulit buah labu’ negara kita sahaja kerana isinya habis dikerjakan perompak bersiri. Transformasi bersiri bermula daripada kita semua - dan ianya bermula sekarang! – 28 Februari, 2016.

* Datuk Raja Bahrin Shah ialah ahli Parlimen Kuala Terengganu dan pengarah Biro Antarabangsa Amanah

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments