rencana
Ulasan cerpen ‘Berbicara Dengan Dia’ – Nik Aziz Afiq
Saya merasai satu sentapan selepas selesai membaca cerpen "Berbicara Dengan Dia". Ada satu getar yang unik berlaku dalam diri. Biasanya cerpen membawa pembaca "ke alam lain".
Pembaca biasanya dibuai dengan kisah yang direka penuh cantik babaknya untuk berangan kononnya menjadi seperti watak utama tersebut. Cerpen menjadi "pil khayal" dan pembaca membacanya untuk keluar daripada dunia realiti buat seketika. Namun cerpen ini tidak.
Ceritanya mudah. Seorang lelaki yang dapat dijangka dalam awal 30-an menyahut cabaran rakan-rakan sekerja untuk bermalam semalaman di dalam hutan. Beliau ditawar RM200 jika mampu menerima cabaran itu.
Beliau terima cabaran ini demi menjaga muka selaku orang yang lantang mempertikaikan hantu jembalang dan perkara karut.
Namun tanpa pengetahuan rakan-rakan sekerja beliau juga menerima cabaran itu kerana sebab yang lain. Sebab itu jauh lebih utama iaitu untuk mencari ketenangan.
Secara fizikal orang melihat beliau sebagai seorang ceria, suka buat kelakar seakan tidak bermasalah. Namun dapat difahami beliau merasakan "kekosongan".
Ketenangan itu perlu dicari kebetulan jirannya berpesan untuk ke tempat yang gelap dan bersendirian untuk bertafakur. Oleh itu beliau sanggup menerima cabaran ini.
Semalaman di hutan beliau menerima "ziarah" seorang lelaki tua dan berlaku dialog yang mengubah pandangan lelaki ini pada apa itu kehidupan.
Lelaki tua itu kemudiannya lesap dan dia menerima satu pengajaran bermakna lebih mahal daripada RM200 yang ditawarkan.
Saya habiskan bacaan ke noktah terakhir dan rasakan ada "beban" menghempap diri. Cerpen ini menimbulkan persoalan pada diri sebenarnya. Seakan satu seruan untuk menilai siapa diri anda dan cubaan memahami perjalanan hidup kita yang penuh rumit ini.
Penulis dengan berjaya membawa masuk unsur dialektik dan menggoncang saya yang hidup ini tidak setiap saat indah, tidak semua masa penuh senang, tidak setiap hari dalam keadaan baik.
Penciptaan manusia dibekalkan dengan baik dan buruk. Setiap hari kita ada melakukan kebaikan dan setiap hari kita juga melakukan keburukan.
Namun minda naif kebanyakan orang seperti saya dan juga watak utama cerpen ini ialah kita melihat kehidupan dari sebelah sisi.
Ibarat duit syiling, kita hanya melihat dari satu sisi sahaja sedangkan ia mempunyai 2 sisi. Tanggapan kita itu membuatkan kita "kosong". Rasa ada yang tidak lengkap dan "kehilangan".
Minda yang naif seperti saya selalu beranggapan hidup akan jadi indah bila dari celik mata sehingga tutup kembali sepanjang hari tidak ada masalah berlaku. Dapat makan sedap setiap masa, segalanya selesa dan menjadi, orang sekeliling sayang dan kewujudan rasa diperlukan.
Hakikatnya persepsi itu silap dan tidak "indah". Kita diciptakan untuk dialektik. Mempunyai sifat berlawanan.
Ada baik buruk ada kiri kanan ada susah senang ada bahagia derita dan banyak lagi. Mengapa kita berangan untuk hidup dengan sebelah sisi sahaja sedangkan penciptaan kita tidak begitu?
Melalui keburukan kita belajar menjadi baik. Melalui kebaikan kita belajar dahsyatnya keburukan. Melalui kegagalan kita bersemangat untuk raih kemenangan dan dari kemenangan kita waspada dengan kegagalan.
Tujuannya saling lengkap melengkapi. Segala masalah dan derita yang kita hadapi hari ini untuk mengajar kita menjadi lebih kuat dan "orang baru" esok hari.
Setiap sengsara dan air mata seharusnya dilihat sebagai keperluan sebelum mencapai kegembiraan.
Makin kita diuji dengan kesusahan makin kita tersenyum menanti kesenangan. Pemikiran dialektik yang melihat dari sisi berbeza ini melahirkan minda positif.
Kita tidak akan mampu buang semua keburukan kerana kita bukan dicipta sebagai malaikat. Kita juga tidak mampu buang segala kebaikan dan memilih hidup dalam kejahatan setiap masa kerana kita tidak dicipta menjadi syaitan.
Kita manusia yang dibekalkan keduanya untuk memberikan imbangan dan menjadikan 2 perkara ini neutral.
Orang yang putus harapan bila gagal dan mengatakan tidak ada cara untuk atasi kegagalan itu akan hidup dengan asyik menyalahkan dan putus harapan. Orang begini akan rasa hidup itu kosong.
Orang yang diberikan kejayaan namun leka dan menganggap ia sebagai kekal selamanya akan jatuh terduduk dengan teruk bila diuji kegagalan.
Orang yang memahami dialektik. Dia menerima gagal dan berjaya, baik dan buruk sebagai asam garam kehidupan. Dia bukan orang yang banyak cari alasan untuk menutup kelemahan dan bukan orang yang sombong meninggi diri.
Hidup orang yang berdialektik sentiasa melihat tujuan dan tidak terasa kosong. Betapa hebat cerpen ini yang benar-benar menyentuh hati saya.
Kesusahan membuatkan kita menjadi lebih menghargai kesenangan. Orang yang tidak pernah merasa susah akan menganggap kesenangan yang dilaluinya sebagai kosong dan membosankan. Kelaparan sepatutnya membuatkan kita bersyukur bila mendapat makanan dan berada dalam posisi kenyang.
Inilah hidup. Pandang dua sisi dan kita tidak akan gentar mengorak langkah. Dialektik menjadikan kita lebih bersyukur dan paling penting, lebih berfikir!
* Nik Aziz Afiq Abdul ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda Sosialis PSM.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments