rencana

Universiti Mandul – Luqman Rosli

Universiti adalah sebuah institusi ilmu yang amat berharga bagi sesebuah Negara. Di sinilah proses pembelajaran diri dapat diperolehi, pelbagai ilmu boleh dipelajari dan pelbagai pengalaman dapat dilalui di universiti. Namun kini, ia sudah tidak digambarkan dengan ketinggian nilai institusi ilmu itu sendiri.

Universiti sudah hilang rohnya, yang sepatutnya menjadi medan ilmu dan melahirkan golongan manusia berfikir.

Di universitilah tempat yang perlu untuk melahirkan golongan yang disebut sebagai Rausyanfikir, melahirkan golongan intelek pencerahan dan kita dapati universiti gagal melahirkan kualiti kelompok seumpama ini.

Tidak keterlaluan jika kita katakan universiti sekarang seperti sebuah kilang yang menghasilkan graduan hanya untuk memenuhi tuntutan pekerjaan tanpa mengira kualiti yang dihasilkan dan kesan ilmu graduan itu pada pembangunan masyarakat.

Pada masa kini, masyarakat teruk ditindas dan ditekan, yang kaya terus bertambah kaya yang miskin tetap miskin, graduan yang dihasilkan universiti diam membisu dan hanya terpendam dalam sektor pekerjaan masing-masing.

Graduan yang dilahirkan sepatutnya membawa perubahan sosial dalam masyarakat dan negara. Mereka perlu peka terhadap masalah rakyat dan negara, lantas memperjuangkan nasib rakyat dan berdiri di depan penguasa menyatakan kebenaran.

Sikap dan semangat seperti ini sudah hilang dalam kalangan mahasiswa. Mahasiswa seharusnya berupaya memimpin dan membimbing masyarakat serta memperjuangkan nasib golongan marhaen.

Dr Maszlee dalam siri ceramahnya ada menyatakan kemandulan universiti ini terjadi disebabkan 2 faktor.

Faktor yang pertama datangnya daripada ahli akademik sendiri. Bagi golongan akademik yang berkepentingan, mereka sering melihat kepada “politic master” untuk mengecapi pelbagai gelaran dan pangkat sehingga membelakangkan kepentingan ilmu yang mereka miliki.

Faktor ke-2 adalah “culture of fear” di kalangan ahli akademik dan mahasiswa. Ugutan demi ugutan yang dibuat pihak universiti menghilangkan perasaan berani menyatakan pendirian dalam diri mahasiswa dan juga hilang kebolehan mereka untuk berfikir secara matang.

Maka daripada faktor ini terjadilah ‘pembonsaiaan’ dan pemerkosaan dalam pemikiran mahasiswa. Mahasiswa hanya disuruh dengar dan taat tanpa fikir dan bersoal.

Perkara ini juga berlaku pada ahli akademik, pencabulan pada hak untuk mereka bersuara dan menyatakan pandangan, padahal ahli akademik memainkan peranan besar dalam mengubah masyarakat.

Lebih parah lagi, dari sinilah akan lahirnya budaya yang dikenali sebagai Bebalisma. Kumpulan manusia bebal yang tidak boleh menyelesaikan masalah, yang hanya tahu mengampu dan menghabiskan duit rakyat semata-mata.

Mereka inilah yang menjadi beban kepada pembangunan Negara. Kita semakin jauh ke belakang dan semakin hari semakin mengecewakan corak kepimpinan di negara ini. Begitu besar sekali kesan dari pada semua ini dan semua masalah negara pada hari ini akan terus berlaku sekiranya kita tidak mengubah sistem nilai pembelajaran secara keseluruhannya.

Pada akhirnya, saya ingin memetik kata-kata Abu A’la Maududi iaitu seorang tokoh agung pengislahan. Katanya, tempat pendidikan yang bernama universiti ini tidak ubah seperti tempat penyembelihan berbanding tempat pendidikan. Ijazah yang dihulurkan tidak ubah seperti sijil kematian, diberikan apabila si pembunuh sudah berpuas hati kerana berjaya menyempurnakan penyembelihannya.

Alangkah bertuahnya kepada mereka yang berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan. – 19 Februari, 2016.   

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments