rencana
Wajarkah diskusi Asri-Zamihan? – Abdul Azim Roslan
Apabila timbul cadangan diskusi atau debat antara Mufti Perlis Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dengan Dr Zamihan Mat Zin, pengawai Kementerian Dalam Negeri (KDN), terdapat beberapa kenyataan dibuat mufti dan agamawan tertentu yang tidak bersetuju dengan diskusi ini kerana kononnya akan berlangsung debat yang membincangkan perkara furu’ ataupun khilafiyyah.
Ada juga di kalangan mereka bersetuju tetapi menggesa ia diadakan dalam keadaan tertutup dan hanya dihadiri golongan agamawan, ulama dan pakar akademik.
Ini kerana dibimbangi orang awam akan terkeliru dengan hasil diskusi ini. Terdapat juga kebimbangan akan berlaku perpecahan di kalangan umat Islam di Malaysia.
Ada 2 perkara perlu jelas di sini, pertama tajuk diskusi antara 2 tokoh agama ini tiada kaitan langsung dengan tajuk isu furu’ atau khilafiyyah.
Salah faham ini tidak akan timbul jika agamawan memberikan komentar meluangkan sedikit masa membaca tajuk cadangan diskusi.
Ke-2, perpecahan umat Islam di Malaysia dan dunia berlaku majoritinya disebabkan politik kepartian, bukan kerana debat atau diskusi ilmiah berkaitan agama.
Jika benar bimbang perpecahan umat Islam akan berlaku, haramkan sahaja parti politik seperti Umno dan PAS.
Memahami kronologi isu
Pertembungan antara Asri dan Zamihan bukanlah baru bermula tahun ini, tetapi sejak sekian lama.
Perbezaan ini pada awalnya berlegar pada isu feqh antara mazhab dan takwilan terhadap sifat Allah.
Tetapi isu yang betul-betul menarik perhatian media dan rakyat bermula pada 2010, apabila Zamihan dilaporkan pernah membuat dakwaan mengaitkan nama Asri dan Dr Juanda Jaya (bekas mufti Perlis ketika itu) dengan fahaman Wahabi dan mempunyai kaitan dengan kumpulan Jemaah Islamiah tetapi dinafikan mereka.
Menurut laporan akhbar, Zamihan dilaporkan membuat dakwaan itu ketika memberikan taklimat dalam mesyuarat anti keganasan anjuran pihak Polis.
Selepas insiden itu, pertembungan antara mereka menjadi semakin sengit. Zamihan dengan jelas di dalam ceramahnya pernah memanggil Asri dengan gelaran mufti “anjing” hanya kerana perbezaan pendapat di dalam isu feqh.
Beliau juga di dalam ceramah pernah memberikan gelaran “mu kapir!” kepada seorang tokoh agama di Malaysia kerana memetik pendapat ulama dalam isu kedudukan ayah dan ibu Nabi Muhammad.
Asri pula berterusan mempersoalkan kredibiliti Zamihan dalam mempertahankan Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana beliau didapati pernah berguru dan menterjemahkan buku seorang ulama yang mempunyai kecenderungan Syiah iaitu Hassan as-Saqqaf.
Asri sering kali secara sinis mengingatkan tentang bahaya Syiah berbaju Sunni yang dipercayai ditujukan kepada Zamihan.
Sejak beberapa tahun lepas, Zamihan didapati kerap membuat cabaran debat secara terbuka kepada Asri. Hal ini boleh disemak dengan merujuk status-status Facebook dan rakaman-rakaman video kuliah beliau, tetapi semuanya tidak dilayan Asri.
Difahamkan, beliau tidak melayan cabaran debat kerana merasakan tidak sesuai dengan kedudukan beliau sebagai mufti kerajaan negeri.
Terbaharu, pada 4 Februari 2016, Zamihan ada mengeluarkan kenyataan mencabar sekali lagi Asri untuk berdebat. Beliau menyebut, “Saya juga bersedia 24 jam untuk berdebat secara ilmiah dengan beliau atas apa saja topik sekalipun.
Beliau boleh memilih mana-mana tajuk berkaitan, lokasi, peserta dan format. Saya tidak pernah gentar untuk berhujah dengan mufti sepertinya. Jika tewas, beliau perlu meletak jawatan sebagai seorang mufti dan berhenti memfitnah saya.”
Cabaran terbaharu ini dibuat Zamihan selepas insiden pengharaman 16 orang penceramah agama daripada memberikan sebarang kuliah agama di dalam negeri Johor di mana Asri salah seorang daripadanya kerana dipercayai membawa fahaman yang terkeluar daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim cuba merealisasikan permintaan debat Zamihan dengan Asri apabila cuba menganjurkan satu diskusi antara mereka berdua bertajuk “Ekstremis Agama di Malaysia: Satu Perbincangan” pada 10 Februari 2016.
Selepas bertahun lamanya tidak melayan cabaran Zamihan untuk berdebat, akhirnya Asri menyambut baik cadangan dikemukakan Shahidan kerana menyifatkan cabaran debat Zamihan semakin keterlaluan.
Walaupun dalam cabaran berdebat yang dikemukakan Zamihan menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi untuk hadir, tidak kira tempat atau format, tetapi dengan tiba-tiba beliau meminta diadakan perbincangan terlebih dahulu dengan beliau dalam menentukan moderator, tarikh dan format.
Selepas perbincangan diadakan, tarikh diskusi dipinda kepada 17 Februari 2016 kerana beliau mempunyai program lain pada tarikh 10 Februari walaupun Asri sedia menangguhkan program pada tarikh terbabit.
Dalam kiriman terbaharu dibuat Zamihan, beliau kembali mempersoalkan penganjur kerana masih tidak menerima surat jemputan rasmi berserta format, tarikh, masa, lokasi dan moderator program. Beliau juga meminta surat jemputan dihantar kepada majikan beliau, timbalan perdana menteri merangkap menteri dalam negeri.
Rasional diskusi
Isu yang akan dibincangkan mereka bukan berkaitan hukum qunut subuh atau hukum membaca talkin, tetapi membincangkan tentang isu ekstremis agama di Malaysia. Hal ini bukan perkara remeh atau perkara furu’ dalam ibadah, tetapi perkara yang amat mendasar kerana membabitkan imej Islam dan kefahaman yang betul dalam beragama.
Tambahan pula Zamihan menggunakan platform KDN secara terbuka mengaitkan fahaman dan tokoh tertentu dengan aktiviti keganasan. Beliau pernah mengaitkan pengajian tauhid 3 (Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyan dan Tauhid Asma wa Sifat) dengan doktrin Isis.
Tuduhan seperti ini amat berat dan mempunyai implikasi besar dalam dunia Islam dan di Malaysia khususnya kerana pengajian tauhid 3 ini diajar di sekolah menengah sebagai salah satu kaedah mengenal Allah.
Disebabkan tuduhan berat seperti ini dilakukan secara terbuka, maka amatlah penting untuk ia dibincangkan dan dijawab secara terbuka agar masyarakat dalam menilai dua sisi pandangan yang berbeza.
Adalah sangat tidak adil, apabila ada satu pandangan atau tuduhan sudah dilemparkan kepada masyarakat sehingga menimbulkan polemik kemudian mahu dibiarkan sahaja tanpa diuruskan dengan betul.
Diskusi seperti ini diharapkan dapat memberikan pencerahan kepada masyarakat tentang bahaya sikap ekstremis dalam beragama dan menyangkal salah faham yang berlegar di kalangan masyarakat.
Budaya berfikir, bukan takfir
Jika diskusi ini dibatalkan, atau dihadkan kepada yang “ahli” sahaja, maka kita sebenarnya sedang memandulkan pemikiran masyarakat Islam serta merendahkan nilai keupayaan mereka untuk berfikir serta membuat penilaian. Kita sering kali beranggapan masyarakat masih belum matang membuat penilaian tentang setiap hujah agama yang dikemukakan.
Maka, mereka lebih mudah beranggapan pihak berautoriti sahajalah yang menentukan segalanya, apa yang betul dan apa yang salah.
Kita sepatutnya membudayakan kemahiran berfikir secara kritis dalam agama. Ini dapat mendidik masyarakat Islam supaya membuka dimensi minda mereka, dari lembah kejumudan kepada ladang-ladang ilmu yang lebih luas.
Jika masyarakat Islam lebih kerap berfikir, kelak akan timbul banyak persoalan di minda mereka, dan untuk mendapatkan jawapan kepada persoalan itu, mereka akan terpaksa menambah ilmu melalui pembacaan, mendengar penghujahan, perdebatan, atau melalui pertanyaan.
Ilmu yang baik dan bermanfaat akan membuahkan keharmonian dalam beragama, dan orang yang malas berfikir sahaja yang mudah memberi label takfir. Takutlah Allah! – 14 Februari, 2016.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments