rencana

Wajarkah sekolah jenis kebangsaan dihapuskan? – Willie Ong

Kewujudan sekolah jenis kebangsaan (SJK) di Malaysia sering dijadikan sasaran pihak tertentu bagi meraih sokongan dalam dunia politik.

Secara amnya, terdapat sekumpulan manusia yang cuba menghapuskan SJK dengan alasan sebab wujudnya SJK, rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama tidak boleh bersatu.

Rencana ini akan memperhalusi alasan tersebut dan memberi gambaran sebenar mengenai SJK.

Terlebih dahulu, soalan tentang ‘apakah sekolah jenis kebangsaan (SJK)?’ harus dijawab. Secara ringkas, SJK merupakan sekolah yang menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa penghantar dalam proses pembelajaran.

SJK yang utama adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Oleh itu, majoriti pelajar SJK adalah terdiri daripada kaum Tionghua dan India. Golongan pelajar ini mempunyai peluang untuk belajar bahasa ibundanya di samping belajar bahasa kebangsaan dan turut belajar subjek-subjek lain dengan menggunakan bahasa utamanya.

Malah terdapat prejudis buruk terhadap sekolah jenis ini. Banyak pihak yang menuduh sebab terdapatnya SJK, perpaduan dan kesepakataan antara kaum tidak dapat dipupuk sejak kecil lagi.

Mereka berpendapat disebabkan anak-anak kita tidak belajar, bermain dan membesar bersama-sama dalam suasana yang serupa, wujudlah rakyat Malaysia tidak bersatu. Dalam isu ini, saya mempunyai pendapat yang berbeza dan saya tidak setuju dengan kenyataan ini.

Yang pertama, harus diingatkan sukatan pelajaran yang digunakan sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah jenis kebangsaan (SJK) adalah sama.

Misalnya, perkara yang wujud dalam buku teks Sains SK adalah sejajar buku teks Sains yang digunakan di SJK. Apa-apa yang dipelajari seseorang murid SK adalah sama dengan murid daripada SJK. Yang berbeza, hanyalah dari segi bahasa dalam buku teks tersebut.

Ini tidak bermaksud murid-murid SJK belajar benda yang berbeza, mereka hanya belajar subjek yang seiring dalam bahasa ibundanya yang lebih selesa untuk difahami mereka.

Contohnya, nilai perpaduan yang diwar-warkan dalam buku teks SK juga diterapkan ke dalam buku teks SJK. Lebih-lebih lagi, seksyen 18 Akta Pendidikan 1996 jelas menyatakan sukatan pelajaran adalah sama dalam sistem pendidikan negara kita.

Jadi, kalau menyatakan SJK mengajar generasi kita untuk menjarakkan diri daripada kaum yang lain, kenyataan   ini memang tidak benar.

Yang ke-2, mengenai suasana pembelajaran, kita harus faham belajar serentak dalam sebuah bilik yang sama tidak bermaksud perpaduan antara bangsa dapat dipupuk.

Kita boleh lihat dalam SK, secara umumnya, murid-murid Melayu hanya berkawan baik dengan Melayu dan remaja Cina hanya rapat dengan bangsanya sendiri. Kejadian yang sama turut boleh dilihat dalam kalangan orang India.

Situasi ini juga sama apabila seseorang berada dalam program Khidmat Negara. Namun, memang tidak boleh dinafikan ada juga murid yang betul-betul bersahabat baik dengan murid yang berlainan bangsa.

Pemikiran kita tidak harus dihadkan kepada institusi sekolah sahaja.  Pernahkah kita fikir kenapa rakyat Malaysia berpecah-belah dan hubungan kita makin hari makin tegang? Adakah disebabkan SJK? Tidak.

Berapa jam seseorang murid berada di sekolah setiap hari, berbanding dengan masa di sekolah dan di rumah bersama ibu bapa?

Siapakah yang menemani anak-anak kita dalam jangka waktu yang lebih panjang? Ini menunjukkan ajaran dan bimbingan ibu bapa adalah lebih penting.

Generasi muda harus dididik menerima kepelbagaian masyarakat kita pada awal umur mereka. Tambahan pula, dunia politik kita yang bersifat perkauman juga menyumbang kepada ketidakselesaan antara kaum.

Sekiranya masih ada orang yang degil dan menuduh SJK sebagai penghalang ke arah kesepakataan, saya ingin merujuk kepada statisik pelajar SJKC yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pada 2014, jumlah murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Rendah Cina adalah 571,315. Daripada jumlah ini, 483,852 (84.7%) adalah kaum Cina, 66,647 (11.7%) Melayu, 12,604 (2.2%) India dan lain-lain 8,212 (1.4%).

Sekiranya SJK membawa kepada konflik antara kaum, mengapakah masih ada lebih daripada 11% murid SJKC merupakan orang Melayu?

Kenapa masih ada bangsa India bersekolah di ‘sekolah Cina’ ini? Satu fakta yang tidak boleh dinafikan adalah jumlah orang Melayu yang bersekolah di SJKC meningkat setiap tahun.

Contohnya, dari 55,976 orang pada 2010 ke 66,647 pada 2014. Saya rasa angka ini akan mengecewakan para penentang SJK. Selain itu, kalau SJKC dituduh Chauvanis, bagaimana pula dengan sekolah agama?

Sebelum saya meneruskan, saya ingin menjelaskan saya langsung tidak ada sebarang prasangka buruk terhadap sekolah agama. Saya hanya menggunakan sekolah agama sebagai fakta untuk menyokong kenyataan saya.

Sebelum mengkritik SJK, kewujudan sekolah agama juga patut kita perhalusi. Berbanding dengan SJK, sekolah agama nampaknya lebih terhad kepada sesuatu agama sahaja.

Sebagai contoh, sekolah agama Islam hanya mengajar ajaran Islam dan ini pasti akan mengehadkan murid-murid mereka kepada orang Islam. Jadi, bagaimanakah hendak memupuk perpaduan antara warga Malaysia yang berlainan agama?

Dalam SJKC sekurang-kurangnya terdapat lebih 15% adalah kaum yang lain. Situasi SJKC lebih baik, bukan? (kalaulah menggunakan logik mereka yang mempunyai persepsi negatif terhadap SJK)

Sebelum ini kita juga pernah dengar kononnya pelajar-pelajar SJK tidak fasih berbahasa Melayu. Saya tidak menolak kemungkinan ini kerana memang ada segelintir golongan ini tidak fasih dalam bahasa kebangsaan kita.

Tetapi saya boleh beritahu majoriti kumpulan ini walaupun tidak fasih, namun mereka sedang bertungkus-lumus untuk mempelajari bahasa Melayu. Tiada sebab mereka enggan belajar Bahasa Melayu kerana Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan kita.

Untuk pengetahuan orang ramai, saya merupakan pelajar SJK, dari sekolah rendah sampai ke sekolah menengah. Sekiranya rencana ini masih dapat difahami, saya rasa Bahasa Melayu saya boleh tahan, bukan?

Saya juga pernah memenangi sesi perbahasan dalam Bahasa Melayu pada peringkat negeri. Saya tidak berani kata saya fasih dan pandai, tetapi saya dan semua pelajar SJK bergiat untuk mempelajari bahasa yang penting ini.

Akhir kata, SJK bukannya penghalang kepada perpaduan. Akar umbi dan sebab ketegangan antara kaum di negara tercinta ini adalah disebabkan permainan isu perkauman dan agama yang bertubi-tubi daripada sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab. Jadi, tiada alasan langsung untuk menghapuskan SJK. – 26 Februari, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments