rencana

Zahid Hamidi, malulah sikit – Nik Aziz Afiq Abdul

Melihat kenyataan demi kenyataan "TPM payung terjun" hari demi hari meyakinkan saya sememangnya posisi utama seperti PM, TPM dan MB bagi negeri perlu dilantik melalui mandat rakyat dalam pilihan raya berasingan seperti negara maju.

Bila posisi utama dilantik ikut sedap selera syahwat parti politik tertentu maka yang naik hanyalah para pengampu pada yang lebih atas.

Akibatnya lahirlah peribahasa moden seperti "biar jahat asal menteri" "biar bodoh asal pandai mengipas".

Itu lumrah dan trend bila melihat ramai menteri yang agak cerdik dan berani mengkritik dipecat kerana tak reti buat kelakar.

Kadang-kadang saya rasakan ada satu konspirasi di sebalik tabir antara mereka untuk membuat rakyat ketawa.

Imaginasi saya kuat mengatakan di kalangan menteri ini lakukan undian untuk siapa yang keluarkan kenyataan dan idea kelakar yang boleh menghiburkan rakyat setiap minggu dan bertanding siapa lagi viral.

Atas sebab itu kita mendengar dari mulut mereka jenaka seperti "harga gula dinaikkan sebagai langkah mengawal diabetes", "nasi goreng tanpa GST kerana masak sendiri", "bangun awal pagi jika ingin elak tol", "negara maju akui kehebatan kita kerana itu mahu adakan TPPA dengan kita" dan paling terbaru cabaran untuk anak muda bekerja keras jika tak setuju kemasukan 1.5 juta pendatang asing dari Bangladesh.

Lawak kali ini betul-betul kena "punchline" dan menghiburkan.

Ternyata bakat komedi itu jelas terserlah dan membuatkan rakyat mampu relaks daripada tekanan dan ketawa terbahak-terbahak. Syabas!

Saya tidak anti Bangladesh, malah saya mencintai semua manusia terutama golongan pekerja.

Mereka berhak mencari rezeki dan dibantu.

Namun saya anti pada pencabulan hak mereka ketika bekerja di sini.

Dilayan dengan penuh kezaliman seperti bekerja keras lebih 16 jam sehari, kemudian tekanan kerja tinggi hingga bukan sedikit yang mati ketika dalam tidur akibat jantung berhenti mengejut angkara kerja berat yang melampau,

Belum lagi dilondehkan yang mati di tapak pembinaan, mati dan tersimpan lama dalam peti mayat hospital tanpa diuruskan, juga dahsyat bila majikan merampas pas perjalanan hanya kerana ingin menyekat pekerja ini dari bekerja di tempat lain hingga menimbulkan masalah bila pekerja sakit dan ingin dapatkan rawatan di hospital kerajaan terpaksa ditangkap dan diheret ke imigresen kerana tidak dapat tunjukkan pas pengenalan.

Mereka dilayan bagai binatang maka kemudian kamu kata anak muda manja dan cabar untuk dilayan seperti binatang juga?

Kamu tidak kuatkuasakan hukuman pada majikan yang membayar gaji minima pada pekerja asing yang menyebabkan pekerja asing ada yang mendapat gaji sekitar RM 400 sebulan.

Mereka tak reti nak bersuara dan tuntut hak kerana takut nanti dihantar pulang maka kerana itu menggaji mereka lebih baik daripada menggaji anak muda negara sendiri yang tidak sebodoh menteri.

Ayuh kita ambil masa sejenak dan menyelami pemikiran kapitalis terkutuk iaitu para majikan dan kerajaan boneka payung terjun ini; sekiranya kita temuramah 2 orang anak muda, seorang dari Bangladesh dan seorang dari Semenyih (Selangor).

Anak muda Bangladesh setuju terima RM 400 sebulan dengan kerja berat lebih 16 jam sehari di tempat tinggal penuh kotor dan risiko denggi serta malaria tinggi malah tidak berhak dapatkan rawatan di hospital serta pakej mayat dibiarkan berbulan-bulan sekiranya mati.

Anak muda Semenyih membahaskan mengapa dasar gaji minima tidak dilaksanakan, hak pekerja terabai dan bercadang menubuhkan kesatuan sekerja bagi mengangkat masalah ini ke khalayak umum.

Ayuh fikir jika anda seorang majikan kapitalis terkutuk maka anak muda manakah yang patut anda gajikan?

Maka ini bukan isu anak muda manja, ini isu anak muda tidak sebodoh menteri.

Anak muda hingga hari ini masih berkabung mengenang bulan Mei yang akan tiba tak lama lagi.

Bulan Mei ini genaplah setahun tragedi maruah negara tercalar teruk dengan sikap penuh zalim para menteri kartun apabila 1018 orang pelarian Rohingya dan Bangladesh yang kelaparan dan kebuluran mengharapkan bantuan dihambat keluar menteri kita kembali ke lautan menunggu mati.

ini krisis kemanusiaan yang serius.

Maaf ini krisis identiti samada ingin menjadi manusia atau syaitan yang serius dilakukan dan dibiarkan.

Mengapa ketika itu kalian tidak berikan ruang pada 1000 orang ini bekerja sedang mereka hanyalah 0.15% daripada apa yang kamu cuba bawa kali ini?

Seribu orang kamu tak sanggup tolong dan rela tangan kamu basah dengan darah mereka kenapa kali ini terhegeh-hegeh.

Kamu memang tak reti malukah? – 16 Februari, 2016.

*Nik Aziz Afiq Bin Abdul merupakan AJK pusat pemuda sosialis PSM.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments