Opinion

Ahmad Awang bukan ‘bahaya dari gunung’

Kesediaan bekas Ahli Majlis Syura Ulama dan bekas Naib Presiden PAS Ahmad Awang untuk bertanding sebagai calon presiden pada Muktamar PAS ke-61 awal bulan depan menimbulkan reaksi pelbagai pihak.

Ulama berasal dari Gunung Semaggul, Perak itu dicalonkan oleh beberapa kawasan PAS di seluruh negara.

Beliau menyatakan kesediaannya menjadi salah seorang calon, dua hari sebelum berlepas ke Beirut untuk menghadiri suatu persidangan Islam di sana.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mempertahankan jawatan presiden yang disandangnya sejak 13 tahun lalu.

Sebenarnya, dalam sebuah sistem demokrasi yang diamalkan oleh PAS, kesediaan Ahmad untuk bertanding sebagai calon presiden itu bukan sesuatu yang aneh dan luar biasa. Tetapi malangnya menimbulkan reaksi yang pelbagai, malah ada yang melucukan.

Ini mencerminkan tahap kematangan sesetengah pendukung PAS, termasuk di kalangan sesetengah pimpinan PAS sendiri pada ketika PAS sudah berumur 61 tahun,

Di sinilah saya teringat akan ucapan bekas pimpinan Umno pada tahun 50-an, Allahyarham Datuk Onn Jaafar, yang mengatakam “hubaya-hubaya bahaya dari Gunung” di mana pengasas  Umno itu merujuk ucapannya itu kepada kewujudan badan politik Islam – Hizbul-Muslimin – dari Gunung Semanggul yang menjadi cabaran kepada Umno.

Umno yang baru ditubuhkan ketika itu sangat bimbang dengan pengaruh Hizbul-Muslimin yang diasaskan oleh Allahyarham Abu Bakar Baqir pemimpin Madrasah Ehyau-Sharif, kerana Hizbul-Muslimin yang berasaskan Islam dan memperjuangkan kemerdekaan sangat berpengaruh.

Ia menjadi pencetus kebangkitan umat Islam untuk memperjuangkan kemerdekaan. Allahyarham Onn merasakan Hisbul-Muslimin sebagai cabaran utama kehadiran Umno, lalu ia mengaitkan akan ‘bahaya dari gunung’.

Daripada roh dan semangat Hisbul-Muslimin ini lahir kemudiannya PAS yang kini sudah berumur 61 tahun. Hingga kini, orang tidak akan melupakan begitu saja Madrasah Ehya Ehyau-Sharif yang dipagari banjaran Gunung Semanggul dan banjaran bukit bukaunya yang indah.

Secara kebetulan Ahmad, salah seorang calon presiden PAS kali ini, adalah bekas pelajar Ehyau-Sharif sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar. Maka ada pihak yang tidak bersetuju beliau menjadi calon, lalu ditimbulkan kembali kata-kata “bahaya dari gunung”.

Tidak ada apapun ‘bahaya’ yang dibawa oleh Ahmad dari Gunung Semanggul hingga boleh menakutkan dan kebencian sesetengah pihak.

Ada pula suara-suara sumbang daripada pihak yang tidak menyukainya bertanding dengan mengatakan kononnya, “Ustaz Ahmad Awang sia-sia saja bertanding, dia akan kalah, pencalonannya tidak sebanyak mana.”

Ada pula pihak yang menghalangnya menyampaikan kuliah di beberapa masjid dan surau, padahal beliau memiliki tauliah dan ada pula pihak yang “melarang” ahli PAS daripada mendengar ceramahnya, ada yang memasang kain rentang di pagar kediaman yang berbunyi, “Ahmad Awang tolong jaga akhlak” dan pelbagai penghinaan lagi.

Kalaulah hendak dipakai teori politik iaitu siapa akan kalah tidak perlu bertanding, maka mengapa PAS bertanding juga di Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin, kubu kuat Umno, yang amat sukar untuk dimenangi oleh PAS.
PAS banyak beranding di kawasan yang dikira tidak selamat, atau mempunyai harapan tipis untuk menang, tetapi mengapa bertanding juga.

Inilah tahap pemikiran sesetengah pendukung PAS yang sangat naif, bukan saja dalam menghayati erti demokrasi bahkan juga usaha seseorang untuk menawarkan sumbangan yang dirasakan mampu untuk meningkatkan perpaduan dan kekuatan PAS menghadapi cabaran bukan saja di peringkat nasional; tetapi juga global.

Oleh itu, janganlah ada kenyataan dan sikap yang di dorongan oleh emosi dan kebencian sampai memperkecilkan seseorang calon. Ini bukan akhlak Islam. Biarkanlah demokrasi subur di dalam PAS, itupun jika PAS masih mahu mengamalkan demokrasi.

Kini sudah ada suara-suara di kalangan sesetengah ahli PAS yang berkata, “demokrasi bukan segala-galanya”. Benar, demokrasi bukan segala-galanya, tetapi terbukti, melalui demokrasi, PAS mencapai beberapa kemenangan dalam pilihan raya seperti di Kelantan dan tempat lain. Kalau kemenangan pilihan raya juga bukan segala-galanya, maka melalui apa untuk mencapai kemenangan Islam di negara ini?

Kini, muktamar PAS semakin hampir. Kempen boleh saja dilalukan asalkan dengan tertib dan dalam lingkungan Islam. Jangan ada sebarang halangan cemuhan, tuduhan, melabel dan umpat keji dalam proses pertandingan pucuk pimpinan nanti.

Demokrasi di dalam PAS kini benar-benar sedang diuji. Kalah atau menang Ahmad, Muhammad Sabu dan calon-calon lain adalah biasa. Ia terletak sepenuhnya kepada para perwakilan yang berhak mengundi.

Tidak ada apa-apa bahaya dari gunung yang dibawa Ahmad. Tasawuur Islam yang dibinanya di Gunung Semanggol itu, yang sering saya kunjungi ketika berada di Perak, mengisikan kelas pengajian berterusan. Dibina atas usahanya sendiri dengan mengumpul dana sumbangan penderma sedikit demi sedikit. Takkanlah Tasawuur Islam Tasawuur Islamnya ini juga “bahaya dari gunung”.

Semenara itu, saya yakin perwakilan ke muktamar ini akan memilih calon pimpinan yang difikirkannya boleh membawa PAS menghadapi cabaran masa depan yang sangat crucial terutamanya dalam hubungan kedudukannya di dalam Pakatan Rakyat (PR).

Bukti yang ada selama ini, menunjukkan tokoh seperti Ahmad, Muhamad, Dr Mujahid Yusuf Rawa, Dr Dulkifly, Ir. Nizar Jamaludin dan lain-lain adalah mereka yang selama ini memainkan peranan penting memperkukuh PAS dalam PR. Malah mereka dilihat sebagai jambatan penting menghubungkan PAS dengan parti komponen dalam PR.

Oleh itu, jambatan ini jangan dirobohkan hanya kerana emosi dan prejudis atas isu dan masalah yang sebenarnya boleh diselesaikan melalui perundingan.

Tidak ada apa yang merosakkan dasar perjuangan Islam PAS dengan penyertaan PAS dalam PR, kerana selamanya PAS tidak pernah berkompromi dengan dasar Islamnya.

Oleh itu, saya percaya dengan segala kebijaksanaan para muktamirin, PAS akan terus memperkukuh PR seperti ikrarnya dalam empat muktamar yang lalu. – 19 Mei, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.  

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments