Opinion

Amanah berkembang di tengah ramalan

Parti Amanah Negara (Amanah) kini berumur sekitar 4 bulan, namun ia kini berada di tengah pelbagai ramalan oleh pelbagai pihak – mengenai masa depannya, malah ada yang meramalkan jangka hayatnya.

Memang hebat para peramal ini. Ada daripada individu parti politik yang berkepentingan, ada yang datang daripada penganalisis beberapa universiti, ada daripada firma kajian yang memang khusus untuk membuat kajian mengenai perkembangan politik tanah air dan pelbagai lagi.

Semuanya ini menggambarkan minat besar mereka terhadap perkembangan Amanah dan ini merancakkan perkembangan demokrasi.

Ada yang meramalkan Amanah tidak akan bertahan lama. Akan senasib seperti Berjasa dan Hamim (parti serpihan PAS dulu) dan juga Parti Negara (serpihan Umno). Ada yang meramalkan Amanah akan bertahan lama dan menjadi pencabar utama Umno/BN dan pelbagai pandangan lagi.

Sebuah firma kajian, Strata Centre meramalkan Amanah akan memperolehi sekurang-kurangnya 11 kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan dalam PRU ke 14 akan datang.

Menurut penganalisis dari Strata Centre itu, Nazri Noor, PAS yang memerintah Kelantan sekarang dijangka akan mengekalkan 13 saja dari kerusinya, manakala Umno (BN) akan mengekalkan 12 kerusinya yang ada.

“Sembilan kerusi lagi bakal direbut oleh parti mana saja, adalah sesuatu yang tidak boleh dinafikan,” kata Nazri dalam satu tulisannya mengenai kajian tersebut.

Ini, katanya, bakal menjadikan pembentukan kerajaan negeri Kelantan akan sukar dibuat sebuah parti saja melainkan berlakunya gabungan antara 2 parti. Menurut kajian awal itu, kata Nazri, Umno dijangka kekal dengan 12 kerusi (hilang 3 kerusi, ditambah 3 kerusi baru, kekal 12), manakala 13 kerusi PAS adalah selamat daripada rebutan mana-mana parti.

“Yang selebihnya 20 kerusi akan ditentukan pengundi muda, pengundi pertama kali dan pengundi terapung," katanya yang menjangka dari 20 kerusi inilah 11 akan dimenangi oleh Amanah.

“Hasil kajian juga membayangkan tidak mustahil Amanah bakal bertapak di Kelantan dengan 11 kerusi, manakala 9 kerusi selebihnya bakal menyaksikan rebutan 3 penjuru yang sengit.

“Yang pasti, landskap politik Kelantan bakal berubah. Kita tunggu dan lihat,” katanya dalam tulisan itu. Nazri menjangkakan, fenomena pilihan raya umum 2004 akan melanda PAS di Kelantan dalam PRU-14 ini.

Semua ini masih berbentuk ramalan, terpulanglah kepada pelbagai pihak sama ada dapatan ini dipandang serius atau sebaliknya, atapun boleh saja disambut dengan senyum sinis, terpulang kepada tanggapan masing-masing.

Tetapi walau apa pun, Amanah terus berkembang dari selatan ke utara, dari timur ke barat, merentasi kawasan bandar dan luar bandar.

Umpamanya, minggu lalu jelajah konvoi Amanah menjelajah negeri Kedah – Kuala Ketil, Sungai Limau, Jerai dan beberapa tempat lagi, di mana sambutan luar biasa telah diterima dari penduduk tempatan. Khabarnya, Amanah Kedah di bawah pimpinan Dr. Ismail Salleh bukan saja menubuhkan pejabat Amanah di peringkat negeri, bahkan sudah ada pejabat seluruh kawasan parlimen negeri itu.

Di Johor, Amanah telah mengadakan program selanjutnya di kawasan Parlimen Pontian. Mereka mengadakan sambutan Maulidul-Rasul dengan mengadakan jamuan secara bergotong- royong di Balai Islam Anjang Jaafar, Ayer Baloi, Pontian. Majlis itu dihadiri lebih seribu penduduk Pontian. Ketua Amanah Negeri Johor, Aminohhuda Hasan merasmikannya.

Pengarah Komunikasi Amanah Pontian, Nor Saiful Amri Suloh berkata,  parti itu terus bergerak mendekati rakyat dan sambutan sangat baik.

Sementara itu, di Kelantan, Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan tempat lain khususnya di kawasan Melayu, sambutan di situ juga sangat memberansangkan.

Yang terkini, Majlis Perasmian Amanah kawasan Parlimen Batu, Wilayah Persekutuan yang dipimpin oleh Cikgu Ishak Surin dan Tarmizi Md Jan, di pejabat Amanah Batu, sementara di sebelah malamnya Majlis Peduli Rakyat oleh Amanah Parlimen Selayang.  Kedua-duanya mendapat sambutan meriah.

Di Perak, Amanah berusaha mendekati rakyat, menziarahi pesakit dan orang kurang upaya di mana Ir Nizar Jamaludin, pimpinan Amanah Perak mengetuai program ziarah itu dan mereka diterima baik oleh penduduk.

Ini bermakna Amanah bukan sahaja diterima oleh orang bandar Islam dan bukan Islam tetapi juga di kalangan penduduk semi bandar dan luar bandar. Setakat ini, penerangan Amanah berjaya disampaikan kepada sasaran.

Pada tahun 2016 ini, Amanah sedang menyusun program yang lebih banyak diseluruh negara.

Ertinya ia berkembang di tengah-tengah pelbagai andaian dan ramalan positif dan negatif  dan biarkanlah ramalan itu terus subur, menandakan Amanah sudah benar-benar dirasakan kehadirannya.

Pimpinan Amanah pun sentiasa membuka ruang perbincangan dengan semua pihak termasuk parti lawan demi untuk menyuburkan demokrasi.

Sementara itu, Pakatan Harapan – PKR, DAP dan Amanah akan mengadakan Konvensyen Pertamanya pada 9 Januari ini selepas 3 bulan gabungan baru parti pembangkang itu ditubuhkan.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, konvensyen tersebut, akan membincangkan dasar bersama Pakatan Harapan pimpinan gabungan baru pembangkang itu di mana Majlis Presiden Pakatan tersebut sudah pun mengadakan mesyuarat beberapa hari lalu.

Menurut Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, setiap parti akan menghantar 50 perwakilan ke konvensyen tersebut.

Pelbagai pihak mengharapkan Pakatan Harapan akan benar-benar mampu melaksanakan dasar bersama yang akan diputuskan dan tidak ada pihak yang akan mengambil keputusan bersendirian selepas itu. 

Ini harapan rakyat terbanyak yang perlu diberi perhatian sungguh-sungguh oleh seluruh pendukung Pakatan Harapan. – 29 Disember, 2015.

  * Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments