Pelancaran rasmi parti politik baharu bernuansa Islam – Parti Amanah Negara atau singkatnya Amanah – esok, 16 September, mempunyai makna penting dan tersendiri bukan saja dalam sejarah politik tanah air, tetapi juga apa yang dinamakan politik Islam.
Parti Amanah ini sedang dalam proses untuk didaftarkan.
Selepas menekuni dari dekat kemunculan parti baharu ini, saya menyimpulkan beberapa hal.
Pertama, walaupun ia tidak mendakwa sebagai Harakatul Islam atau gerakan Islam, tetapi misi dan visi parti baharu ini menampilkan sebuah cita-cita besar untuk menjadi bukan saja sebagai parti Islam yang inklusif, tetapi juga sebagai sebuah pertubuhan Islam moden yang memenuhi citarasa masyarakat majmuk negara ini.
Kedua, jika wawasan Amanah ini berhasil, maka ia akan mengukir sejarah umah, sekurang-kurangnya di rantau ini, ia akan menjadi parti politik Islam dan dakwah yang merentasi bukan saja batas kaum dan agama tetapi juga batas geografi.
Ketiga, parti baharu ini hadir di tengah-tengah kegawatan bukan saja krisis ekonomi dan politik serta tajamnya perkauman yang semuanya meranapkan kemanusiaan dan harga diri.
Lebih malang pabila pemimpin politik negara dan mereka yang mendukung mereka kehilangan integriti dan rasa malu.
Keempat, semua ini menjadi cabaran yang sangat besar kepada parti Amanah untuk menyelesaikan masalah ini bukan secara bersendirian tetapi bersama gabungan baharu pembangkang – DAP dan PKR. Dengan gabungan baharu ini kiranya masalah negara ini akan dapat diselesaikan, walaupun secara bertahap.
Kerana itu, menjadi harapan pelbagai pihak yang mendukung cita-cita besar ini supaya Amanah dan gabungannya benar-benar menjadi alternatif kepada parti yang memerintah sekarang ini.
Kelahiran Parti Amanah di tengah membaranya suasana di dunia Islam dengan sebuah fenomena kebejatan akibat ideologi takfiriyah atau gerakan Takfiri. Manusia kaget dan tersentap dengan kekejaman yang tidak ada tolok bandingnya dengan kemunculan “Islamic State in Iraq and Syria’ (Isis) atau “Islamic State of Iraq and Levant” (Isil). Rentetan genesis atau susur-galur pembentukannya tidak perlu disebut di sini.
Fenomena ini pernah disebut oleh Dr Dzulkefly Ahmad dan Dr Mujahid Yusuf Rawa, tokoh pemikir dan kepimpinan Amanah ini dalam beberapa wacana sebelum ini.
Peristiwa kekejaman yang berlaku di Iraq, Syria dan Lubnan, menurut keduanya, adalah akibat bencana tragis terburuk fahaman takfiri atau takfiriyah. Tegasnya, gejala takfiriyah ini sangat mudah menghukum individu lain yang tidak sehaluan dengan mereka sebagai kafir dan munafik, di mana kesan buruknya pada akhirnya membawa kepada pertumpahan darah. Inilah yang perlu dielakkan.
Menurut 2 tokoh pemikir ini, fenomena mengkafirkan sesama Islam serta mengeluarkan fatwa tanpa menurut panduan sehingga menghalalkan perbuatan membunuh dan memerangi orang Islam yang lain adalah satu bencana besar membawa masyarakat kita menanggung kesangsaraan hidup yang amat pahit.
Memang sangat sedih apabila semua jenayah tersebut dilakukan kononnya di atas nama agama Islam dan syariatnya, sementara hakikatnya, Islam bersifat tasaamuh atau toleransi. Paling jelek, operasi keganasan pula dilaksanakan diiringi laungan “La-ilaha ilallah” dan suara takbir “Allahu al-akbar” dengan alasan tindakan itu sebagai menunaikan kewajipan berjihad dan mati syahid di jalan Allah.
Jelaslah gerakan takfiri ini, menyebabkan pentihgnya kemunculan sebuah parti politik sederhana dan terbuka, tetapi tidak berkompromi dengan asas-asas Islam. Inilah, antara lain, yang menyebabkan kehadiran Amanah.
Amanah ini komited untuk meneruskan legasi perjuangan politik Islam yang ditampilkan oleh Almarhum Tuan Guru Yusuf Rawa, Almarhum Ustaz Fadhil Noor dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam menerokai ruang politik Islam yang “Amanah, Progresif dan Peduli”.
Saya kira pembudayaan politik baharu Amanah ini akan terus berpaksi kepada politik yang berteraskan prinsip, ilmu pengetahuan dan akhlak.
Ia juga bersedia mewujudkan budaya mampu mengurus perbezaan dalam perlaksanaan prinsip hak bersuara dan tuntutan kesaksamaan seperti dianjurkan oleh Islam dan syariatnya bagi melahirkan sebuah masyarakat dan negara madani.
Saya yakin, Amanah juga sangat peduli akan perlunya membangunkan pemikiran umat, khususnya generasi penerus di kalangan golongan muda supaya memiliki ilmu yang mantap, akhlak serta moral yang utuh-kukuh dan daya-saing serta kreativiti yang tinggi.
Menerusi Gerakan Harapan Baru, yang menganjurkan Nadwah Ulama lilL Nahdah Al-Jadidah atau NUNJI’15, sebagai isyarat jelas komitmen para asatizah dan golongan ilmuan Islam yang bersama Amanah untuk benar-benar mengangkat agenda Islam supaya berperanan secara releven dan berkesan.
Kesyumulan Islam ini menuntut aspek perlaksanaan Islam dengan mengambil kira perundangan negara, kerangka sistem politik tempatan dan suasan politik antrabangsa.
Kerana itu, perlunya melahirkan fiqh siyasah yang pada prinsipnya adalah untuk mencapai maksud Islam sebagai rahmat seluruh alam. Inilah tugas berat yang sedang menanti untuk dilaksanakan oleh Amanah.
Sementara itu sambutan terhadap parti baharu ini sangat luar biasa. Ia datang daripada pelbagai pihak. Sebahagiannya dari parti lama mereka, di samping daripada masyarakat madani, golongan muda dan terpelajar serta para veteran yang berfikiran progresif.
Beberapa orang kenalan saya terdiri daripada bukan Islam bertanyakan kepada saya mengenai parti baharu ini dan mereka mengalu-ngalukannya sambil berharap Amanah akan mendukung konsep keterbukaan dan tanpa perkauman. Mereka kebanyakannya tahu para tokoh pemimpin Amanah ini dan yakin kepimpiunan mereka akan mengamalkan sikap keterbukaan dan toleransi.
Kesimpulan daripadasemuanya ini menunjukan masyarakat sangat memerlukan perubahan. Maka mereka melihat dengan penuh yakin, parti baharu ini akan memenuhi cita-cita untuk membina sebuah masyarakat Malaysia yang adil, tanpa perkauman dan sejahtera.
Di sinilah, saya kira Amanah akan berdiri gagah dan mampu untuk melaksanakan cita-citanya. – 15 September, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments