Opinion

Anak muda Amanah

Hanya baru beberapa bulan, Parti Amanah Negara (Amanah) lahir secara rasmi sebagai parti politik, kini sudah mendapat sambutan luar biasa daripada golongan anak muda, di samping golongan veteran.

Ini tentunya menunjukkan mereka melihat Amanah sebagai parti politik masa depan tanah air, bukan saja daripada segi ketokohan pimpinannya, dasarnya, bahkan hala tujunya.

Ini kerana ia dilihat sebagai parti berpandangan jauh ke depan, berpaksikan Islam dengan wajah yang ramah, tidak bengis, terbuka dan mampu memenuhi cita rasa rakyat Malaysia pelbagai kaum.

Sebenarnya tidak mudah untuk anak muda memilih sesebuah parti politik, justeru mereka melihat parti politik negara ini dan pimpinannya dibebani pelbagai dogma, hambatan perkauman, pandangan agama yang sempit dan pelbagai lagi constrain.

Maka itu, anak muda, yang mempunyai pemikiran kritikal terhadap establishment, amat sukar menyertai jalur politik parti yang ada.

Bagaimanapun, kini anak muda ini melihat Amanah sebagai parti pilihan mereka, dalam banyak hal, Amanah memenuhi cita rasa mereka.

Saban hari, Amanah menerima ratusan malah ribuan permohonan ahli baru yang berminat menyertai parti ini kerana dasarnya jelas demi menyelamatkan negara daripada terus dipimpin golongan tidak beramanah. Misinya ialah menuju Malaysia baru yang berintegriti dan progresif.

Parti itu dilihat berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran keahlian sebanyak 15,000, khususnya pemuda, yang berusia di bawah 35 tahun menjelang akhir tahun ini.

Ini sebagai nilai tambah kepada keahlian pemuda yang mempunyai kepelbagaian latar belakang dan profesion. Maka dalam kenyataannya, Pemuda Amanah turut gembira menerima kemasukan tokoh anak muda yang menempa nama di peringkat nasional kerana melibatkan diri dengan isu rakyat.

Sehubungan itu, Pemuda Amanah mengumumkan kemasukan tokoh anak muda menyertai keluarga besar Amanah dan diberi kepercayaan pula untuk memimpin barisan hadapan Pemuda Amanah. Antara mereka ialah Wan Anwar bin Wan Ibrahim, Azan Safar, Khairol Najib bin Hashim, Mohamad Ammar Atan dan ramai lama tokoh anak muda terpelajar yang menyerlah, menyertai Amanah.

Mereka adalah bekas pemimpin pelajar dalam dari universiti dalam dan juga luar negeri.

Azan umpamanya diamanahkan sebagai naib ketua Pemuda Amanah.

Anak muda ini kini menjadi golongan profesional yang berjaya seperti peguam, ahli ekonomi, jurutera, arkitek, doktor dan pelbagai lagi. Mereka dalam posisi yang penting dan dijangka akan memberikan sumbangan penting kepada kemajuan Amanah.

Parti Amanah memang sentiasa membuka ruang dan peluang kepada anak muda untuk bersama-sama menyumbang idea dan tenaga ke arah membina keutuhan parti untuk membina masa depan negara yang gemilang.

Kini Amanah yakin akan lebih ramai lagi anak muda dalam pelbagai lapangan menyertai parti baru ini.

Sementara itu, aktivis Amanah, seluruh negara kini bergerak cergas berkempen menambah ahli parti. Setakat ini, sambutan pelbagai golongan rakyat sangat memberangsangkan.

Umpamanya, di pelbagai pasar malam dan pagi di pelbagai kawasan, kelihatan aktivis Amanah bergerak cergas mendaftarkan ahli baru. Mereka yang mengisi borang keahlian bukan saja kaum Melayu, bahkan pelbagai kaum.

Di sini, walaupun Amanah berakar tunjang Islam, tetapi ia parti yang terbuka untuk semua kaum. Kebanyakan mereka yang mengisi borang keahlian, faham dasar dan matlamat Amanah setelah mendengar pelbagai ceramah tokoh Amanah, di samping daripada portal berita dan risalah diedarkan aktivis Amanah serta pelbagai saluran maklumat lagi.

Dengan kerancakan dunia siber, news on line mempermudah lagi penyebaran maklumat mengenai Amanah.

Dalam beberapa tinjauan saya di pasar pagi di beberapa bandar di Selangor dan Wilayah Persekutuan, umpamanya aktivis Amanah menghulurkan risalah parti itu kepada orang ramai. Mereka menerima dengan baik risalah itu, malah ramai yang berkata, "Kami tahu Amanah, parti baru. Kami mahu menjadi ahlinya."

Perkembangan Amanah yang begitu pesat ini sudah tentu kehadirannya amat dirasakan masyarakat. Bagi yang memahami keseluruhan penubuhan Amanah dengan segala sejarahnya yang sangat dramatik, mereka merasakan parti ini bukan sebarang parti, tidak boleh dipandang remeh. Mereka meremehkan kehadiran Amanah, saya kira, terkejut disebabkan menghadapi masalah psikologi yang pelbagai.

Di mana mereka terkejut, tidak menyangka dalam umur yang sangat muda itu, Amanah sudah sangat dirasakan kehadirannya pelbagai pihak, sama ada yang menyukainya, mahupun yang membencinya.

Kini Amanah tidak perlu menoleh ke belakang, memandang kiri dan kanan untuk melayani pelbagai karenah. Tetapi Amanah akan terus memandang ke depan, looking forward dengan jiwa besarnya.

Ia tidak akan membalas sebarang serangan dan tuduhan kepadanya daripada pelbagai pihak. Namun begitu tentunya ia akan menjelaskan dengan hujah fakta dan ilmu jika ada pandangan mengelirukan terhadap kewujudan Amanah, justeru ini adalah kewajipan untuk menjelaskan sebarang kekeliruan.

Langkah ini sesuai dengan dasar Islam yang dipegang teguh Amanah untuk melaksanakan fungsi Islam sebagai rahmat seluruh alam.

Di sinilah saya teringat kata-kata pemimpin Ikhwanul Muslimin, allahyarham Imam Hasan Al-Banna, "Kamu sebagai petugas Islam hendaklah bersifat sebagai pohon berbuah ranum. Orang melemparnya dengan batu, kamu membalasnya dengan buah ranum. Itulah kerja dakwah."

Katanya lagi:"Kamu hendaklah bersifat seperti minyak wangi, disukai semua orang, diletakkan di mana pun, ia tetap berbau harum."

Di sinilah saya yakin Amanah akan terus memperbanyak sahabat, mengurangkan musuh. Inilah sebenarnya inti sari yang dinamakan politik Islam. Amanah akan menebarkan keharumannya dengan sifat politik santun – muwajahah silmiyah. – 27 Oktober, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments