Banjir besar yang melanda enam negeri, terutama di pantai timur kelihatan meredakan ketegangan politik negara kerana masing-masing menumpukan perhatian terhadap malapetaka itu.
Semua pihak, tanpa mengira fahaman politik, datang membantu, Maka redalah buat sementara waktu ketegangan politik baik di kalangan Pakatan Rakyat (PR) mahupun Umno/Barisan Nasional (BN) sendiri.
Walaupun masih ada percikan jawab menjawab antara pemimpin PAS dan DAP di musim banjir ini, namun semuanya dalam skala kecil.
Tetapi apakah suasana ini akan terus tenang selepas banjir ini? Sukar diramalkan. Tetapi ada kebimbangan yang amat sangat daripada rakyat, terutama yang menyokong PR dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu yang krisis politik akan lebih tajam.
Dalam PRU itu, PR mendapat undi popular 52% dan menghilangkan majoriti dua pertiga BN.
Ini suatu pencapaian luar biasa oleh pembangkang dalam sejarah pilihan raya di Malaysia. Sebab itu ada kewajarannya penyokong PR berasa kebimbangan yang amat sangat jika krisis dalaman PR terus berlanjutan selepas reda gelombang banjir ini.
Jika perpecahan terus berlaku di kalangan PR, maka harapan penyokong untuk melihat kejayaan lebih besar PR dalam PRU akan datang nescaya akan berkecai.
Maka itu, pimpinan tertinggi PR dan pemimpin peringkat negeri hingga ke bawah perlu menyelesaikan perbezaan pendapat ini di meja rundingan secara berterusan dalam suasana win win situation.
Pemimpin komponen PR juga perlu mengenepikan rasa taksub kepada parti masing-masing, mengenepikan pendapat konon partinyalah yang dominan dalam PR kerana mempunyai pengalaman, pencapaian dan jumlah ahli yang ramai. Sedangkan perkiraan utama dalam PR ialah sikap setiakawan di mana sikap ini boleh meneruskan kejayaan PR.
Rakyat mahu tahu adakah PR mempunyai kemampuan menyelesaikan krisis yang berlaku dalam negara sekarang ini iaitu beban hutang yang sangat berat, rasuah, krisis identiti, perkauman, masalah ekonomi, harga mata wang yang terus jatuh, dituruti harga komoditi – getah dan kelapa sawit - pembaziran dan pelbagai lagi masalah.
Rakyat "lemas" dan rasa sangat kecewa dengan situasi dalam negara sekarang di mana pemimpin negara tidak berupaya menyelesaikannya. Lebih-lebih lagi apabila berlaku pula banjir mega baru-baru ini yang menimpakan kerugian berbilion ringgit dan ini akan menambah parah terhadap ekonomi negara.
Menurut pemerhati politik, di sinilah rakyat semakin mengharapkan PR memperlihatkan persepakatan untuk mampu memerintah negara selepas PRU akan datang.
Menurut pemerhati itu lagi, bahawa kerjasama erat dan perpaduan di antara komponan PR peringkat akar umbi sudah terserlah dalam masa banjir di mana penyokong PAS, DAP dan PKR bekerjasama erat membantu mangsa banjir itu. Kerjasama erat peringkat bawahan ini, kata pemerhati adalah tulen. Bukan sandiwara.
Tetapi menurut pemerhati, masalah yang ada dan belum terselesaikan ialah krisis pimpinan peringkat atasan PR yang belum dilihat tanda-tanda penyelesaiannya. Inilah yang mengecewakan rakyat yang menggantungkan harapan PR boleh menggantikan BN dalam PRU akan datang.
Pemerhati itu berpendapat sama ada PAS, DAP mahupun PKR tidak mempunyai kemampuan untuk menang banyak dalam PRU akan datang jika mereka mahu bertanding bersendirian.
Malahan, kata pemerhati, jika ditakdirkan DAP hanya mahu bekerjasama dengan PKR, tidak dengan PAS, maka itupun tidak akan menjamin kemenangan besar dua parti komponen PR itu. Langkah ini sangat merugikan pembangkang dan mengecewakan rakyat.
Sementara itu kiranya ada pemikiran di kalangan pendukung PAS, parti itu perlu menumpukan perhatian kepada pengundi Melayu saja, atau kawasan majoriti Melayu untuk menang dalam PRU akan datang, maka pemikiran dan bacaan politik seperti itu sangat naïf kerana gagal memahami realiti demografi pengundi di negara ini.
Langkah ini hanya merugikan PAS sendiri dan meruntuhkan PR di mana tahalluf-siasi ini dipersetujui dalam empat kali muktamar tahunan PAS sebelum ini.
Keadaan ini berasaskan realiti demografi pengundi di negara ini yang taburannya pelbagai, di mana hanya negeri di pantai timur – Terengganu dan Kelantan – jumlah pengundi Melayunya besar. Tetapi pengundi di pantai barat, jumlah pengundi Melayu sekitar 60% atau kurang daripada itu, sementara jumlah pengundi bukan Melayu ialah sekitar 40%.
Adalah sangat naïf jika berfikir cukupkah kalau kita dapat menang di negeri yang majoriti Melayunya besar seperti di pantai timur.
Jika ada pemikiran pendukung PAS seperti itu, maka ia hanya mahu menarik PAS undur ke belakang 20 atau 30 tahun. Tentu tidak munasabah jika PAS yang sudah berumur 63 tahun hendak ditarik ke belakang demikin jauh.
Sementelah lagi apakah teori itu tepat iaitu memberi fokus lebih kepada kawasan Melayu saja, konon kerana orang Melayu majoritinya ‘pasti’ akan mengundi PAS dengan andaian ia didukung oleh orang Melayu/Islam. Sejarah pilihan raya selama ini menunjukkan keadaan seumpama ini jarang atau tidak berlaku.
Menurut suatu kajian lain pula, jumlah pengundi Melayu di luar bandar akan jauh merosot di tahun-tahun akan datang di mana mungkin susut hingga tinggal 25% saja daripada jumlah keseluruhan peratusan pengundi di Malaysia hingga PRU akan datang.
Pengundi di bandar pula – Melayu dan bukan Melayu – mempunyai pemikiran lebih terbuka. Lebih-lebih lagi trend yang ada sekarang, di mana pengundi muda – yang kini belum banyak didekati oleh PAS - sudah berjumlah 63% pada PRU yang lalu. Ini lebih menyukarkan PAS untuk mendapat sokongan. Ini kerana sikap politik mereka sangat terbuka dan memiliki critical thinking, berbeza dengan pengundi tradisional di luar bandar.
Semua implikasi ini perlulah difikirkan oleh semua pihak secara matang, rasional dan tidak emosi. Jika tidak, maka PR akan kecundang. Untuk PR bangun kembali akan memakan masa puluhan tahun, itupun belum tentu. Justeru, suasana sentiasa berubah dan politik sangat dinamik sifatnya. – 20 Januari, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments