Opinion

Cabaran Pakatan Harapan

Seluruh ahli dan penyokong PKR, DAP dan Amanah perlu mengambil perhatian kenyataan Presiden  Parti Amanah Mohamad Sabu, hanya Pakatan Harapan yang akan berdepan dengan Umno/BN dalam pilihan raya akan datang.

"Bukan yang lain," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Amanah Negeri Selangor di Shah Alam, Jumaat lalu.

"Walaupun pakatan pembangkang ini baru ditubuhkan, Pakatan Harapan terpaksa membuat persediaan yang cukup dengan memperkukuh organisasi untuk berdepan dengan Umno/BN,” katanya.

Bagi pendukung Amanah, kata Mat Sabu mestilah bekerja kuat untuk memperbanyak ahli di semua peringkat dengan mendekati masyarakat pelbagai kaum dan agama di desa dan di kota.

"Jangan sehari pun berehat, melainkan bekerja keras memperkukuh Amanah, yang sudah dianggap umum sebagai parti yang paling cepat berkembang," katanya.

Memang benar ia berkembang pesat di Kelantan, Johor, Perak, Kedah, Selangor dan negeri lain.

Malam itu, Mat Sabu kelihatan sangat ceria, tidak menggambarkan keletihannya, walaupun menjelajah dari satu negeri ke satu negeri untuk menghadiri pelbagai program di seluruh negara.

Beliau menceritakan bagaimana beliau dan pimpinan Amanah yang lain menghadapi fitnah berterusan pelbagai pihak, terutama mereka yang meniupkan perkauman dan anti DAP.

Namun, katanya, pimpinan Amanah dan pendukungnya terus komited untuk membela rakyat merentasi batas kaum dan agama. Lebih-lebih lagi kini dalam keadaan negara menghadapi kemelut ekonomi, ramai rakyat miskin tidak mampu membeli barangan makanan kerana harganya yang mahal dan duit Malaysia semakin merosot nilainya.

Majlis pada malam itu turut dihadiri Speaker DUN Selangor Hannah Yeoh, pemimpin DAP yang lain serta pemimpin PKR. Penubuhan Amanah peringkat negeri Selangor mempunyai makna tersendiri, terutama memandangkan Selangor negeri muli-racial yang unik, terkaya di Malaysia dan politiknya dalam keadaan yang penuh tanda tanya justeru masih ada yang berkhayal “Pakatan Rakyat” masih hidup. Sedangkan yang wujud sekarang ialah Pakatan Harapan.

Maka di sinilah Amanah, khususnya di Selangor pimpinan Izham Hashim dituntut kebijaksanaan dan ketabahan mereka untuk menghadapi hal ini.

Saya kira, Izham, Shaari Sungib dan pimpinan Amanah Selangor yang baru dipilih secara rasmi – dengan pengalaman dan kematangan mereka mengenai politik negeri Selangor berkemampuan mendepani politik Selangor ini. Rakyat Selangor sedang memerhatikan pergolakan ini. Maka tentulah mereka akan menilai kemampuan Pakatan Harapan dalam menghadapi PRU akan datang.

Sementara itu, Izham dalam ucapannya berikrar 10 ahli PBT daripada Amanah Selangor akan bekerja keras untuk membela rakyat semua kaum.

"Petugas Amanah, di mana-mana pun, sangat peduli rakyat, maka kebajikan rakyat agenda utama. Tidak sehari pun pendukung Amanah melupakan rakyat," katanya.

Sementara itu dalam suasana yang sangat menekan di mana elemen perkauman sentiasa ditiupkan golongan tertentu untuk kepentingan politik mereka, maka saya kira Amanah perlu melipatgandakan usahanya untuk memberi penerangan kepada semua rakyat, khususnya di luar bandar, di mana elemen perkauman dilihat menjadi tempat subur untuk ia berkembang.

Dalam masa yang sama, sesetengah golongan generasi lama sendiri – walaupun ada yang menetap di bandar masih ada terpengaruh dengan fahaman perkauman ini.

Program penerangan yang intensif daripada Amanah bersama komponen Pakatan Harapan yang lain perlu dilaksanakan segera secara intensif untuk tujuan memberi kefahaman perjuangan Amanah dan Pakatan Harapan.

Perlu diingat jika semakin berkurangan fahaman perkauman, maka semakin tipis peluang Umno/BN untuk menang dalam PRU akan datang. Maka itu diulangi – DAP, PKR dan Amanah yang duduk dalam Pakatan Harapan mesti melakukan usaha bersama, combine effort untuk menentang perkauman.

Jika kita meneliti demografi pengundi dalam PRU lalu, terutama di Selangor, maka jelas semua kawasan berdepan dengan pengundian berdasarkan kaum. Inilah cabaran besar yang dihadapi Pakatan Harapan.

Usaha memberi penerangan ini tentu tidak mudah, namun mestilah dilakukan kerana ia survival Pakatan Harapan itu sendiri. Amanah Selangor, saya kira, sangat sedar hal ini. Kawasan Selangor sendiri, walaupun majoritinya terletak di bandar atau semi bandar, namun kawasan luar bandarnya seperti di utara dan selatan Selangor – kebanyakan pengundinya masih dalam pemikiran konvensional dan mudah terpengaruh dengan gejala perkauman.

Selepas perasmian Amanah Selangor ini, maka usaha menggerakkannya di peringkat kawasan Parlimen dan cawangan perlu digiatkan secara sungguh-sungguh. Khabarnya, Amanah peringkat kawasan Parlimen sudah pun ditubuhkan, cuma menunggu dirasmikan pendaftarannya.

Dengan itu dalam PRU akan datang, rakyat akan melihat peranan Amanah dalam Pakatan Harapan, bagaimana ia memberi sumbangan kepada pakatan baharu pembangkang itu untuk menghadapi Umno/BN.

Setakat ini jangan terlalu sibuk memikirkan pertandingan 2 atau 3penjuru, biarkanlah nanti pimpinan Pakatan Harapan akan memutuskannya.

Cuma kita berharap, segala diputuskan Pakatan Harapan yang akan ditentukan akhirnya Majlis Presiden benar-benar dipatuhi semua pihak, tidak ada lagi tindakan bersendirian mana-mana pihak. Pengalaman Pakatan Rakyat dulu sangat wajar menjadi pengajaran supaya tidak lagi menemui kegagalan.

Tahniah kepada Amanah Selangor atas perasmiannya. Di depan mereka terbentang perjalanan jauh, penuh cabaran dan inilah manisnya perjuangan. Rakyat sedang merindukan suatu suasana harmoni, tanpa perkauman, tegaknya keadilan dan terbelanya rakyat. – 19 Januari, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments