Walau apapun yang menyebabkan berlaku banjir besar minggu lalu di enam negeri, yang pastinya menimpakan kerosakan yang amat dahsyat terhadap rakyat, khususnya rakyat di Pantai Timur terutama di Gua Musang, Kuala Kerai, Manik Urai, Kubang Kerian, Tanah Merah, Pengkalan Chepa.
Juga di Kemaman, Dungun, Temerloh, Kuala Kangsar dan lain-lain tempat.
Bayangkan ratusan ribu mangsa banjir di pantai tumur, terutamanya di Kuala Kerai, Manik Urai yang selama hampir seminggu ditempatkan di pusat perlindungan.
Tetapi apabila air surut, mereka hendak pulang tetapi rumah mereka dihanyut banjir, ada yang rosak teruk dan harta benda musnah.
Kesan psikologi bagi mangsa banjir ini sangat berat. Ada yang menangis, ada yang termenung panjang, ada yang seperti kena histeria, ada yang tunduk tidak berkata apa-apa. Ada yang merayau-rayau di kawasan rumah mereka yang runtuh dan dihanyut air, cuba hendak mengingat kembali rumah mereka dulu.
Tetapi apa yang ada di depan mereka, hanya puing-puing keruntuhan, perabot rumah yang bersalut lumpur tebal, ada rangka rumah yang bersepah, ada yang musnah sama sekali.
Saya teringat makan durian di rumah seorang sahabat di sana ketika mengikuti kempen pilihan raya kecil di Manik Urai. Saya diberitahu, rumahnya juga rosak teruk.
Demikianlah keadaan kawasan yang ditimpa banjir besar dan sudah tentu bukan mudah hendak membina semula kehidupan, lebih-lebih lagi anak-anak akan bersekolah semula tidak lama lagi.
Bayangkan bagaimana ibu bapa dan anak-anak menghadapi musim persekolahan ketika rumah mereka dihanyut banjir atau rosak teruk. Mereka akan tinggal di khemah sementara yang dibina pelbagai pihak.
Tetapi berapa lamakah mereka akan meneruskan kehidupan dengan cara begitu? Mahu tidak mahu mereka akan meneruskan kehidupan yang amat payah ini yang entah berapa lama lagi.
Kita tidak tahu sampai bila mereka akan meneruskan kehidupan yang sukar ini, tetapi ada terdengar sayup-sayup pengumuman banntuan dari kerajaan untuk mendirikan rumah sementara kepada mangsa banjir ini. Tetapi tidak tahu berapa lama.
Kesan berat yang menimpa mangsa banjir ini diakui sendiri pihak Pasukan Kesihatan Mental dan Respons Psikososial Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika membantu mangsa banjir ini.
Didapati kebanyakan mangsa mengalami gejala seperti terkejut, tekanan perasaan akibat kehilangan dan kerosakan harta benda, kerisauan ketidaktentuan masa depan, kesedihan, kekecewaan, perasaan menyalahkan diri sendiri, dan perasaan terasing dari dunia luar.
"Manakala gejala fizikal yang dialami adalah keletihan, kejang otot, lapar, dan gangguan tidur. Hasil pemerhatian pihak KKM, kami dapati ada juga anggota penyelamat atau sukarelawan yang pulang dari misi bantuan turut mengalami gangguan emosi di atas kemusnahan yang berlaku dan kesukaran yang dihadapi oleh mangsa banjir," ujar Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan akhbar kelmarin.
Sementara itu, dalam keadaan yang amat sukar ini, begitu ramai rakyat prihatin, pelbagai golongan, yang tampil menghulur pelbagai bentuk bantuan. Kontena, lori besar dan kecil, kereta MPV dan lain-lain berjejeran di jalan raya menghantar banruan untuk mangsa banjir itu.
Ini termasuklah bantuan dari DAP dan PKR yang datang bersama pemimpin dan perugas mereka untuk membantu mangsa banjir, sementara ribuan petugas PAS, khususnya Jabatan Amal, yang berada di kawasan bencana itu sejak awal lagi.
Malapetaka banjir besar kali ini menyatukan perasaan kemanusiaan pelbagai golongan masyarakat, yang kaya dan miskin, bersama-sama turut membantu pelbagai cara.
Masjid, surau, markas, pejabar syarikat, gedung perniiagaan turut mengumpul pelbagai barangan untuk dihantar kepada mangsa banjir di samping bantuan kewangan.
Sementara itu, kerajaan Kelantan menafikan banjir besar yang berlaku di negeri ini berpunca daripada kegiatan pembalakan yang tidak terkawal terutama di Hulu Kelantan.
Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata sebaliknya ia disebabkan hujan lebat yang berterusan di Gua Musang pada 21 hingga 23 Disember lalu.
"Saya dengan tegas menyangkal tuduhan ini kerana kerja-kerja pembalakan dibekukan di Tanah Tinggi Lojing sejak tahun 2006 lagi,” katanya.
Apa yang berlaku, kata beliau, hujan lebat selama tiga hari itu mencatatkan taburan hujan yang tertinggi iaitu 1,295mm yang bersamaan taburan hujan selama 64 hari.
Kerosakan akibat banjir mega ini begitu besar dan amat berat. Kita tidak tahu berapa lama boleh dibina kembali kawasan banjir ini, kawasannya di enam negeri itu sangat besar.
Sepanjang ingatan saya, Banda Acheh Darussalam yang dilanda tsunami 10 tahu lalu itu hanya dapat dibina kembali sepenuhnya dalam masa enam tahun dengan bantuan pelbagai negara di dunia. Maka itu diharapkan kawasan yang ditimpa banjir di negeri ini baru-baru ini akan segera dipulihkan.
Oleh kerana musim tengkujuh, atau musim banjir sering berlaku setiap tahun, khususnya di Pantai Timur, maka sangat wajar persiapan awal dibuat oleh kerajaan negeri dan Keraajaan Pusat.
Terutamanya mengadakan system amaran banjir yang canggih, mengadakan tebatan banjir yang kukuh, mempastikan sungai dan parit bersih dari sampah sarap dan segala persiapan yang perlu diadakan lebih awal.
Tidak perlulah dalam sibuk-sibuk menghadapi banjir ini, timbul idea supaya PAS dan Umno boleh bergabung untuk menyelesaikan banyak masalah. Yang penting, seperti kata Datuk Huyam Musa, Kerajaan Pusat perlu membayar segera wang royalti minyak kepada kerajaan Kelantan.
Kesimpulannya, memang banyak yang dapat dipelajari dari pengalaman rempuhan banjir mega baru-baru ini, terutama dari segi kesabaran, kebijaksanaaan menanganinya dan bertawakal kepada Ilahi.
Di samping itu, rakyat Malaysia umumnya sangat bersimpati kepada mangsa banjir ini. – 7 Januari, 2015.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments