Opinion

Erdogan dan BJ Habibie

Ketika memikirkan keinginan yang menggunung di kalangan rakyat, khususnya umat Islam, untuk menyaksikan kemunculan pemimpin dunia baru bukan saja di rantau ini, bahkan dipelbagai belahan dunia, saya segera teringat 2 sosok yang sangat menarik dan menjanjikan – Recep Tayyip Erdogan dan BJ Habibie.

Erdogan yang kini muncul sebagai presiden Turki setelah menang dalam pemilihan umum di negaranya dan BJ Habibie, bekas presiden ke-3 Indonesia, kiranya tampil sebagai pemimpin dunia baru yang diharapkan.

Walaupun Habibie sudah tidak lagi berkuasa setelah meletakkan jawatan secara terhormat, tetapi beliau mengukir sebuah legasi kepimpinan yang mempunyai saham besar dalam membangun peradaban Indonesia, negara umat Islam terbesar di dunia.

Sementara Erdogan pula, dengan segala keberanian dan kebijaksanaannya mampu menjadi pemimpin harapan dunia Islam seluruhnya, setelah pemimpin dunia Arab yang terkepung dengan pelbagai masalah tidak mampu muncul sebagai pemimpin yang diharapkan.

Erdogan yang memimpin AK Parti daripada mula lagi ketika ia berada di pentas politik, walaupun tidak menjanjikan pembentukan sebuah “negara Islam”, tetapi apa yang dilakukannya sebagai perdana menteri hingga sebagai presiden Turki ialah melaksanakan Islam sebagai nilai hidup rakyat Turki.

Ia tidak menampilkan sebarang label atau jenama Islam dalam pemerintahannya, tetapi berjaya membawa pendekatan Islam dalam kehidupan rakyat Turki.

Ketika saya berkunjung ke Angkara ddulu, di sana ada gambar Mustafa Kemal Attaruk, bapa sekular Turki tergantung di dinding parlimen di situ.

Hal ini pernah ditanyakan kepada Erdogan, mengapa gambar Attaturk masih tergantung di sana. Lalu Erdogan menjawab:

“Itu hanya gambar, ia tidak lebih dari gambar. Yang penting kami melaksanakan Islam secara bertahap di negara kami.”

Ini sebuah jawapan yang memancarkan kebijaksanaan pemikiran pemimpin baru dunia Islam itu.

Banyak ciri Islam yang ditampilkan pimpinan Erdogan sejak beliau dan partinya berkuasa. Antaranya suara muazzin berkumandang semula, rangkaian madrasah terkemuka Imam Khatib begitu subur sekali di Turki, muslimat dibenarkan memakai pakaian menutup aurat, bukan saja di institusi pengajian tinggi bahkan di jabatan kerajaan dan semua tempat.

Diberitakan Muzium Nasional Hagha Sofea di Istanbul bakal dijadkan masjid kembali seperti di zaman Khilafah Uthmaniah, suatu usaha besar yang sangat bermakna dan banyak lagi yang akan dilakukan pemerintah Erdogan dari masa ke semasa, tanpa meneriakkan “akan mengembalikan semula kegemilangan Khilafah Uthmaniyah”. Iaitu suatu slogan yang kiranya mendapat reaksi yang keras daripada kalangan generasi lama yang masih mengidolakan Attaturuk.

Dengan segala kebijaksanaannya, ia menukar wajah Turki daripada “the sick man in Europe” kepada negara yang disegani dunia, dengan pertumbuhan ekonomi yang semakin kukuh.

Maka dengan segala ciri yang ada pada Erdogan, walaupun belumlah sempurna, tetapi tokoh ini sedang mengambil tempatnya yang penting dan menjanjikan sebagai pemimpin dunia baru Islam.

Sementara itu, seorang lagi pemimpin, iaitu BJ Habibie, yang boleh diteladani, walaupun sudah tidak lagi berkuasa di Inddonesia, tetapi mewariskan kepada generasi baru Indonesia, sebuah legasi penting dalam membangun peradaban negaranya.

Yang diwariskannya kepada generasi baru Indonesia ialah integriti kepimpinan, ilmu dan kepakaran teknologi, pandangan jauhnya sebagai bangsa maritime (bangsa samudera) dan semua nilai terbaik yang diajar Islam - berjiwa besar dan terbuka.

Sebab itu, antara warisan paling bernilai yang ditinggalkan Habibie ialah membawa Indonesia ke gerbang demokrasi yang menyebabkan rakyatnya berjumlah 240 juta menikmati keharuman demokrasi. Hinggakan Pemilu Indonesia digelar sebagai ‘Pesta Demokrasi’.

BJ Habibie meletakkan jawatan dengan penuh hormat setalah menjadi Presiden Ke-3 Indonesia sekitar 558 hari disebabkan ucapan penanggungjawabannya ditolak Parlimen (MPR) negara itu, termasuk temannya sendiri.

Tidak lama selepas itu, di suatu perhimpunan di Stadium Senayaan, Jakarta, Habibie dengan jiwa besarnya ikut hadir dan duduk sebaris dengan para menteri dan teman yang menyingkirkannya.

Kolumnis majalah Tempo, Goenawan Muhamad, dalam ulasannya mengenai peristiwa ini, menulis:

“Habibi tetap di sana, Wajahnya tetap meriah dan matanya tetap bersinar, senyumnya lebar. Ia duduk di samping presiden yang baru. Wajah itu, wajah orang yang tidak merasa kehilangan. Terlalu sulit untuk menduga apa yang ada di lubuk hatinya,.

“Tetapi sikap ceria presiden yang dikalahkan itu – di antara kerusi di Senayan itu – menjadi citra baru mengenai politik Indonesia. Kalah menang akhirnya tidak selamanya ditentukan siapa yang kehilangan. Di sinilah Habibie, justru dalam kekalahannya meneguhkan negara dan kemaslahatan republiknya. Akal sihat menang, demokrasi menang. Dia pamitan dengan wajah ceria dan penuh hormat. Tepuk tangan untuknya. Itulah BJ Habibie.”

Pemimpin berjiwa besar itu pernah mengatakan, berdasarkan pengalaman sejarah dan peradaban umat manusia, yang lebih penting bagi umat Islam hari ini, ialah supaya tidak lagi sibuk membahas kebesaran Islam masa lampau.

Tapi bagaimana umat Islam akan kembali memimpin dan mengendalikan ilmu pengetahuan serta menjadi pemimpin dalam dunia ilmu dan juga peradaban. Ini kerana ia adalah prestasi yang nyata.

Itulah 2 sosok – Receep Tayyip Erdogan dari Turki dan BJ Habibie dari Indonesia.

Dua tokoh ini, saya kira, menjadi pemimpin dunia baru kerana kebijaksanaan dan keterampilan mereka yang luar biasa.

Erdogan sedang berkuasa, sementara BJ Habibie, walaupun sudaah tidak berada di koridor kuasa, tetapi meninggalkan legasi untuk membangun peradaban Indonesia. – 24 November, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

 



 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments