Sedar atau tidak, setuju atau tidak, generasi muda, khususnya mahasiswa/siswi berada di barisan depan dalam kebangkitan menuntut keadilan, menentang pelbagai kemungkaran - rasuah, penyelewengan, pembaziran dan pelbagai lagi dalam masyarakat.
Generasi muda melihat segala kemungkaran ini mendatangkan kesan yang amat buruk kepada negara dan rakyat yang mahu meneruskan kehidupan dengan penuh harmoni, tanpa perkauman dengan dinaungi keadilan serta kesaksamaan.
Kebangkitan mahasiswa/siswi menentang pelbagai akta yang tidak munasabah seperti Akta Hasutan dan sebagainya, menentang kenaikan harga minyak dan pelbagai cukai yang sangat membebankan rakyat semakin bersemarak.
Keberanian menegakkan kebenaran dan keadilan oleh generasi muda ini menimbulkan pelbagai reaksi dalam masyarakat, sementara pihak berkuasa terus membisukan diri.
Sesetengah generasi lama merasa sangat aneh apabila melihat kebangkitan anak muda ini. Ada di antara mereka bertanya mengapa mereka ini sampai hendak berhimpun dan berarak hingga jalan raya, memprotes itu dan ini, pada hal mereka perlu menekuni pelajaran mereka di universiti.
Ada pula sesetengah dari generasi lama resah dan jengkel apabila menyaksikan keadaan ini.
Tetapi ada jawapan Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) Fahmi Zainol mengenai kebangkitan generasi muda ini, khususnya di kalangan mahasiswa/siswi:
"Biar pelajar melihat kebenaran, ketika mereka boleh mendapatkan ilmu dari institusi terkemuka di Malaysia, akhirnya mereka masih dikawal oleh pihak berkuasa yang tidak adil. Sebagai pelajar kita perlu membuat pengorbanan ini, sama ada kita suka atau tidak, kerana Malaysia perlukan perubahan. Kerajaan tidak patut memperlekeh pengaruh mahasiswa,” katanya.
Dalam hal ini kebangkitan generasi muda, khususnya mahasiswa/siswi, sudah dilihat jelas dalam pelbagai perhimpunan dan demonstrasi rakyat sejak beberapa tahun lalu di mana saya masih ingat bagaimana anak-anak muda mengelilingi Sasterawan Negara, A. Samad Said membaca puisinya "Unggun Bersih" dan "Peludah Warna" dalam perhimpunan rakyat beberapa tahun lalu di Kuala Lumpur.
Fenomena kebangkitan anak muda ini semakin jelas ketika rakyat umumnya bergelut dengan kenaikan harga barangan keperluan asas berterusan, iaitu akibat kenaikan harga minyak dan pelbagai cukai lagi.
Ini sangat menekan kehidupan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana, ketika golongan elit politik/korporat hidup mewah. Situasi beginilah menyebabkan generasi muda, termasuk mahasiswa/siswi, bangkit melawan.
Kebangkitan ini sepatutnya disedari segera oleh parti politik, khususnya Pakatan Rakyat. Ia sepatutnya segera sedar dan mengambil langkah segera menangani aspirasi golongan muda ini.
Tetapi nampaknya reaksi mereka begitu perlahan, seolah-olah fenomena anak muda ini sesuatu yang biasa saja.
Perlu disedari bahawa dalam pilihan raya, trend pengundian generasi muda sudah banyak disebut. Malah ia pernah disebut oleh Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kayat dalam ucapannya di Muktamar Dewan Pemuda di Kota Tinggi September lalu. Nada kebimbangannya jelas terbayang jika Pakatan Rakyat tidak bersedia dari sekarang menghadapi gelombang cita-rasa anak muda itu.
Katanya, Pemuda PAS sangat sedar kecenderungan kuat di kalangan sebahagian anak muda Malaysia menolak parti politik kerana meluat dengan gelagat sebahagian ahli politik. Menurut beliau, mereka tidak mencerminkan kualiti yang diharapkan. Parti politik ini termasuklah di dalam Pakatan Rakyat.
Pemuda PAS, kata Suhaizan, juga sedar bahawa generasi muda adalah majoriti rakyat Malaysia. Menurut data dikemukakan oleh Welsh dan Chang pada tahun 2012, jumlah penduduk di Malaysia berumur di bawah 30 tahun adalah sebanyak 63%, katanya.
“Sekiranya kita mahu mengambil usia 40 tahun ke bawah sebagai umur maksima belia di negara kita, maka komposisi anak muda di Malaysia semestinya lebih besar,” katanya.
Sementara itu saya tertarik dengan langkah yang diambil oleh Ikram, sebuah NGO generasi muda yang memfokuskan mengenai masa depan anak muda dan negara ini.
Presidennya, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad ketika berucap dalam Perhimpunan Tahunan Ikram yang diadakan baru-baru ini berkata, Ikram akan memberi fokus kepada usaha mengukuhkan sistem dwiparti di Malaysia dengan cara memperkasakan semak imbang (check and balance) yang berkesan.
"Langkah ini untuk mewujudkan dua gabungan parti yang sama kuat, sama mampu bersaing secara sihat, bersih dan adil serta saling mampu memerintah dan berupaya menjadi pemerintah. Ikram merasa bertanggungjawab untuk mewujudkan perubahan dalam situasi politik negara bagi mencorak situasi politik yang lebih baik dan lebih adil,” katanya di depan hampir 2,500 aktivis dan ahli Ikram yang datang dari seluruh negara, yang hampir semuanya dari kalangan generasi muda.
Para tetamu daripada kalangan ahli politik, pimpinan NGO ternama serta beberapa tetamu luar negara turut hadir selain wartawan tempatan.
Pada pendapat saya, sekiranya parti dalam komponan Pakatan Rakyat masih tidak pedulikan kebangkitan generasi muda ini dan masih bergelut dengan hal dalaman parti yang tidak habis-habisnya, maka ia kerugian besar bagi Pakatan.
Ramai khuatir, jika komponan parti dalam Pakatan masih gagal memahami dan menyertai aspirasi anak muda ini, maka rakyat, yakni pengundi dalam PRU akan datang, akan kecewa.
Sokongan besar rakyat dalam PRU yang lalu tidak mungkin berlanjutan jika aspirasi anak muda ini tidak difahami dan disokong oleh pemimpin dan pendukung Pakatan.
Tempoh PRU akan datang mungkin tidak sampai tiga tahun lagi di mana jumlah pengundi baru akan terus bertambah, sementara pengugundi lama tidak berubah, malah berkurangan.
Oleh itu janganlah hendaknya pendukung Pakatan Rakyat sentiasa selesa dengan keadaan yang ada apabila berdepan dengan Barisan Nasional.
Di sini, saya teringat kata-kata panglima perang klasik China, Sun Tzu, dalam bukunya The Art of War: “If you know the enemy and know yourself, you need not fear the result of a hundred battles. If you know yourself but not the enemy, for every victory gained you will also suffer a defeat. If you know neither the enemy nor yourself, you will succumb in every battle.” – 28 Oktober, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments