Opinion

GHB muncul mendepani krisis negara

Dengan memuncaknya pelbagai krisis di dalam negara, terutamanya skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan serpihannya yang juga panas membara serta krisis lain maka rakyat semakin runsing, kecewa, malah lemas.

Bilakah krisis ini akan berakhir tidak ada siapa yang tahu, tetapi yang pasti nilai wang Malaysia semakin menurun, harga barangan terus naik dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang sangat membebankan di samping pengangguran yang tentu meningkat dengan harga getah dan kelapa sawit terus juga menurun.

Lebih parah lagi apabila semakin ramai yang dibuang kerja akibat banyak syarikat ditutup di mana dunia perniagaan semakin muram. Ini menyebabkan rakyat merasakan kebimbangan yang amat sangat terhadap nasib anak cucu mereka disebabkan krisis ekonomi dan hutang negara terus meningkat.

Pemimpin politik bercakaran sesama sendiri. Saling mengampu dan menjatuhkan. Kegiatan ini sangat luar biasa.

Ada pula tokoh politik yang membisu kerana “kekenyangan”, tidak lagi pedulikan nasib rakyat yang terus tertekan.

Dalam masa yang sama kegiatan rasuah, penyelewengan semakin meluas yang melibatkan bukan saja golongan atasan, pertengahan bahkan sampai kepada golongan bawahan dan menjadi cara hidup yang sangat menakutkan.

Di sinilah dengan tiba-tiba rasuah menjadi “derma” dan pelbagai keanehan lagi berlaku, di mana krisis seberat ini tidak pernah berlaku selama ini.

Pengamal rasuah dan penyelewengan seperti serigala buas di hutan salji Siberia, membaham segala yang ada. Penguat kuasa terumbang ambing penuh dilema dan terdedah kepada pelbagai kemungkinan.

Dalam masa yang sama orang-orang besar yang berkuasa kelihatan kaku dan membiarkan krisis ini tanpa berusaha untuk menyelesaikannya ataupun memang krisis ini sudah tidak boleh diselesaikan.

Demikianlah keadaan begitu serius sekali. Dalam masa yang sama, jarang terdengar suara para agamawan memberikan pandangan. Mereka “membisu” atau terlepas pandang masalah ini hingga tidak terdengar pandangan mereka baik melalui pelbagai kuliah yang mereka berikan, atau kenyataan terbuka. Kecuali beberapa orang, antaranya Datuk Dr Asri Zainal Abidin dan beberapa orang lagi.

Di tengah suasana gawat inilah, bakal lahir parti politik baharu – Gerakan Harapan Baru (GHB) – di mana nama rasminya akan diketahui bulan depan. Ia hendaknya benar-benar menjadi harapan rakyat dan sangat dinantikan kehadirannya.

Parti baharu ini akan mewakili golongan Islam sederhana, progresif  dan terbuka. Namun pendekatan sederhana dan progresifnya tidak bermakna mengkompromikan dasar Islamnya.

Ia melindungi dan berlaku adil kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Ia amat peduli rakyat dam ramah, berakar tunjang Islam sebagai Rahmatan Lil-Alamin, yang akan menaungi bukan saja umat Islam, tetapi juga bukan Muslim dan berusaha memperlihatkan keadilan Islam dalam bidang yang lebih luas.

Parti politik baharu ini dijangka akan mengambil peranan pentingnya bersama PKR dan DAP dalam gabungan baharu parti pembangkang di Malaysia.

Berdasarkan tinjauan dan laporan yang diterima oleh parti baharu ini ternyata ia mendapat sambutan hangat rakyat pelbagai golongan. Road-show di seluruh negara sejak lebih sebulan lalu menunjukkan parti baharu ini mendapat sokongan luar biasa dari pelbagai pihak, khususnya golongan muda.

Tanda jelas ia bukan saja dialu-alukan oleh masyarakat bandar tetapi juga masyarakat luar bandar.

Sementara itu, pelbagai NGO seperti Ikram, Pasma, Abim, pelbagai badan pelajar dan bekas pelajar, NGO profesional dan lain-lain memberikan sokongan kepada GHB ini.

Dalam masa yang sama semakin ramai golongan agamawan muda yang berfikiran terbuka dan tidak jumud, tampil memberikan pencerahan, terutama mengenai kedudukan politik Islam dalam sebuah masyarakat majmuk seperti di Malaysia ini.

Mereka berusaha menjelaskan tasauwur Islam dengan lebih luas, berdasarkan pelbagai hujah al-Quran dan sunnah serta pandangan ulama muktabar. Agamawan muda ini semakin ramai yang memberikan sokongan dalam bentuk kenyataan terbuka, tulisan dan pelbagai wacana.

Semua usaha agamawan muda yang progresif ini sangat menolong usaha Gerakan Harapan Rakyat untuk mengetengahkan Islam yang syumul kepada rakyat pelbagai kaum.

Sementara itu, menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), GHB meneruskan momentum perubahan politik atas dasar tahaluf yang jujur dan komited dalam perkara yang disepakati bersama rakan-rakan parti politik – PKR dan DAP, serta sinergi dengan mana-mana NGO dan segmen masyarakat merentasi garis ideologi.

Ia komited dengan politik baharu yang berpaksi kepada politik berasaskan ilmu dan akhlak, serta bersedia mewujudkan budaya mampu mengurus perbezaan dalam perlaksanaan prinsip hak bersuara dan tuntutan kesaksamaan.

Kini, pendukung GHB daripada pemimpin hingga aktivisnya bekerja keras untuk mempersiapkan GHB sebagai parti politik yang akan mengambil peranan penting dalam politik tanah air.

Jika segala-galanya berjalan lancar tanpa sebarang halangan, maka ia akan menjadi rakan penting kepada PKR dan DAP dalam gabungan  baharu parti politik pembangkang di negara ini.

Ramai berharap gabungan baharu parti pembangkang ini akan mengulangi kejayaan Pakatan Rakyat seperti dalam PRU2008 dan 2013 dulu. Bahkan ramai yakin GHB ini akan berjaya dengan sokongan 4.1 juta pengundi golongan muda seperti statistik PRU 2013 itu  serta juga sokongan masyarakat sivil di negara ini

Suasana masa kini sangat berbeza dari masa lalu, maka dengan sokongan media baharu serta pemikiran baharu rakyat ia memberikan peluang cerah kepada gabungan baharu parti pembangkang ini untuk menjadi saingan utama Umno/BN.

Lebih-lebih lagi dengan suasana negara yang gawat sekarang, tenggelam dalam pelbagai krisis, maka ini memungkinkan gabungan baharu pembangkang menjadi pilihan utama rakyat dalam PRU akan datang.

Inilah masanya rakyat perlu melakukan perubahan menerusi demokrasi. – 11 Ogos, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments