Opinion

Isu MB Selangor: Tunggulah 10 Ogos

Tidak terlalu lama untuk kita menunggu 10 Ogos ini untuk mengetahui keputusan rasmi pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat terhadap isu menteri besar Selangor.

Dalam suasana Aidilfitri ini, saya kira wajarlah kita bertenang dan sabar dalam menghadapi situasi yang kritikal ini.

Kita dikejutkan dengan kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyokong secara terbuka supaya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal menjadi menteri besar Selangor.

Dalam menghadapi suasana demikian, sewajarnya kita bertindak dan memberi reaksi dengan penuh tertib, mematuhi akhlak Islam, tidak dengan penuh emosi dan kata-kata yang tidak terkawal. 

Adapun kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyatakan sokongan kepada Khalid kekal menjadi menteri besar Selangor adalah pandangan peribadinya, bukan pandangan rasmi parti. Ini dijelaskan oleh timbalannya, Tuan Haji Mohamad Sabu.

Beliau berkata, PAS sebaliknya hanya akan membuat pendirian rasmi mengenai kedudukan Khalid selepas Hari Raya Aidilfitri dalam mesyuarat pada 10 Ogos.

"10 Ogos mesyuarat (dan) kita patuh pada keputusan mesyuarat," katanya kepada media.

Kelmarin Datuk Seri Abdul Hadi membuat pendirian yang tidak sependapat dengan PKR dan DAP apabila menyatakan sokongannya kepada Khalid.

Menurutnya, Khalid sepanjang khidmatnya tidak pernah khianat amanah rakyat dan sehubungan itu, kedudukannya perlu dikekalkan.

Katanya, tindakan PKR dan DAP salah jika Khalid disingkirkan dengan cara sedemikian tanpa ada bukti kukuh yang mengaitkan beliau mengkhianati amanah rakyat.

Menurutnya,  jika Khalid terlibat dengan skandal, pecah amanah, salah guna duit Selangor, maka (sememangnya) kita boleh tukar. Tetapi kalau alasan lain, kata Presiden PAS itu, kita boleh urus tetapi bukan dengan cara tukar menteri besar dan biarlah dia habiskan tempoh penggal keduanya.

"Isunya adalah pemimpin menunaikan amanah. Kita dapati Khalid tidak sampai kepada peringkat khianat terhadap amanah ini, maka adalah salah sekiranya kita turunkan beliau," katanya seperti dilaporkan.

Presiden PAS itu berkata, beliau membuat keputusan itu selepas mendengar pendapat akar umbi dan pihak luar yang bersetuju dengan prestasi cemerlang Khalid menerajui negeri hingga ke tahap yang lebih baik termasuk mempertahankan Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Ertinya, kenyataannya itu berdasarkan pelbagai maklumat yang diterimanya dan hasil kajiannya yang mendalam. Bukan kenyataan sebarangan yang tidak berasaskan kajian. Ini elemen penting yang mengukuhkan kenyataannya.

Oleh itu tidak wajar ada pihak mengkritik dengan bahasa yang kesat dan tuduhan melulu yang menggambarkan hilang kewarasan.

Setakat ini dakwaan terhadap kelemahan atau kesalahan Khalid masih tidak dibuktikan dengan nyata. Antara tuduhan terhadap Khalid ialah beliau tidak mematuhi kehendak parti yang mengangkatnya menjadi menteri besar.

Juga ia dilihat tidak bersikap dan bertindak mewakili partinya, iaitu antara beliau dan partinya kelihatan terpisah. Beliau dikatakan bertindak melalui keputusan sendiri.

Tetapi tuduhan ini, hingga kini, belum dibuktikan secara konkrit untuk diketahui rakyat, iaitu bagaimana besar ‘kesalahan’ Khalid hingga memungkinkan ia digantikan. Mengapa ini tidak diberitahu secara nyata.

Lebih-lebih lagi rakyat melihat, kemelut ini lebih kepada masalah PKR dengan Khalid. Oleh itu sewajarnya diselesaikan antara kdua pihak itu lebih dulu, tanpa melibatkan PAS. Mengapa PAS diheret dengan begitu mendalam sekali dalam krisis ini.

Benar PAS berada dalam Pakatan Rakyat yang memerintah Selangor, merasakan bersama kelemahan Tan Sri Khalid.

Namun masih lagi dalam lojik bahawa PKR dan beliau perlu menyelesaikan lebih dulu masalah mereka. Dengan keputusan PAS Selangor menyokong Khalid menjadi nenteri besar, menunjukkan bahawa PAS Selangor tidak ada masalah dengan Khalid.

Presiden PAS itu dalam kenyataannya berpegang kepada hujah syari’e bahawa Khalid tidak sampai kepada peringkat khianat terhadap amanah, iaitu pemerintahannya telus, amanah, tidak rasuah dan sebagainya. Ini imej yang dimiliki oleh Khalid secara kukuh.

Sementara itu, Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan tegas menyokong kenyataan Presiden PAS bahawa Khalid perlu dikekalkan sebagai menteri besar Selangor.

Beliau juga sependapat dengan Presiden PAS bahawa Khalid melaksanakan tugasnya dengan cemerlang sepanjang sepenggal menerajui pentadbiran negeri itu.

"Barangkali beliau ada salah dan silap tidak dapat dinafikan, namun adakah ia sehingga menyebabkan beliau wajar digugurkan," soalnya dalam satu kenyataan sambil mahu persoalan itu dijawab terlebih dahulu.

Dewan Ulama PAS Pusat juga menyokong pendirian Presiden PAS itu, diikuti sokongan dari PAS Selangor.

Saya dan beberapa penulis pernah berjumpa Khalid di pejabatnya, juga bertemu di beberapa majlis. Orangnya sangat mudah berbincang, sering berfalsafah, kuat membaca, percakapannya sentiasa menggambarkan peduli rakyat.

Beliau sentiasa memikirkan ekonomi rakyat Selangor serta sering bernostalgia, bercerita mengenai kehidupannya sebagai ‘Kampong Boys’ di Ijok, Selangor yang menguruskan kebun kelapa ayahnya.

Beliau adalah bekas ahli korporat ternama tanah air. Sebab itu ada pihak yang mengatakan bahawa cara beliau mentadbir negeri, seakan-akan sama dengan cara ia mentadbir sebuah badan korporat yang besar, terlalu berhati-hati ketika berbelanja.

Maka itu, menurut pemerhati, Khalid tidak memiliki elemen sebagai pemimpin yang berakar kepada politik parti  atau dia seperti bukan pemimpin politik, tetapi masih seperti pemimpin korporat kerana terbiasa begitu.

Namun begitu, di bawah pimpinannya, Selangor mencapai kemajuan pesat dan tidak terlibat dengan skandal besar kewangan dan pelbagai penyelewengan. Beliau sendiri sebagai peribadi adalah seperti sebuah buku yang terdedah untuk dibaca oleh siapa saja.

Akhirnya, kita berharap mesyuarat peringkat tertinggi pimpinan Pakatan Rakyat 10 Ogos ini akan dapat menyelesaikan kemelut di Selangor ini dengan sebaik-baiknya.

Yang penting difikirkan sekarang ialah mengekalkan pemerintahan Pakatan di Selangor dan ketepikan kepentingan parti sendiri serta ego pemimpin.

Selamat menyambur Aidilfitri, maaf zahir batin kepada seluruh umat Islam. – 29 Julai, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments