Kini pelbagai pihak memperkatakan erti kemerdekaan dan bersekali dengan makna ‘Jiwa Merdeka’ ketika rakyat dan negara menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan ke-57.
Tentunya jiwa merdeka tidak boleh diukur dari gemerapan lampu dan kibaran bendera dan riuh rendah pesta merdeka di sana sini, ketika minda rakyat dibelengu oleh pelbagai ketakutan, terutamanya ketakutan bersuara untuk menyampaikan kebenaran.
Maka itu, ketika menyambut ini, kita ulangi kembali pesan tokoh pejuang kemerdekaan dan pemimpin besar PAS, Almarhum Dr Burhanudin Al-Helmy:
Atas robohnya Kota Melaka
Kita bangunkan jiwa merdeka
Ya kita bangunkan jiwa merdeka.
Erti kemerdekaan dan jiwa merdeka pernah dihuraikan tokoh intelektual ternama Pendita Za’aba.
Menurut beliau, erti kemerdekaan ialah “berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan dia; daripada i‘tiqad-i‘tiqad yang serong dan terpesong kepada i‘tiqad yang subur dan merdeka.
Katanya juga, daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesalehan, dan daripada fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.
Ertinya, kemerdekaan sebenar adalah kemerdekaan jiwa dan minda. Tanpa kemerdekaan jiwa dan minda kemerdekaan fizikal tidak bermakna.
Ramai cendekiawan Muslim menyedari cabaran utama setelah kemerdekaan fizikal adalah membina jiwa dan minda merdeka.
Mereka menyebut kita perlu bebas dari beberapa perkara untuk menjadi negara dan rakyat yang benar-benar merdeka:
Bebas dari ikatan agama yang sempit dari amalan dan contoh yang memburukkan nama agama seperti bersikap melampau dan mengganas atas nama agama.
Menimbulkan kebencian sesama penganut agama lain atas nama agama. Bersikap hidup tanpa panduan agama atau sekadar merasionalkan agama untuk menyembah akal juga adalah penjajahan.
Perkauman sempit juga, kata cendekiawan Muslim, adalah penjajahan kepada minda sesuatu bangsa untuk maju. Tiada salahnya kebanggaan kepada bangsa dan kaum, tetapi yang menghalang kemerdekaan hakiki adalah sikap rasisme yang mewajarkan kebencian dan perpecahan.
Juga pemimpin yang menjadikan rakyat hamba kepada keinginan mereka melalui rasuah dan agenda peribadi. Rakyat adalah pertaruhan kepada kehendak pemimpin sehingga rakyat kepada mereka hanya hamba yang boleh dijual beli.
Di sinilah saya teringat kata-kata dari bekas presiden Amerika Thomas Jefferson, “Apabila rakyat takut akan pemerintahnya, itu adalah tyranny. Tetapi apabila sesebuah pemerintah takutkan rakyatnya, maka itu adalah kemerdekaan.”
Kata-kata Thomas Jefferson ini sangat mendalam ertinya. Kita boleh membayangkan, malah mengambil contoh sesebuah negara, khususnya di rantau ini, di manakah rakyat takut kepada pemerintahnya, atau pemerintah takut kepada rakyatnya.
Ada negara merdeka tetapi rakyatnya takut kepada pemerintahnya. Ini kerana pemerintahnya menjalankan pemerintahan dengan menyekat suara rakyat menerusi pelbagai cara.
Di negara seumpama ini berlaku rasisme, pilih kasih nepotisme, rasuah, penyelewengan dan pelbagai lagi di mana rakyatnya takut untuk bersuara kerana dikhuatiri akan berlaku pebagai tindakan dan hukuman. Maka itu rakyat dibisukan.
Islam menerusi Rasul-Nya, Nabi Muhammad membebaskan bumi Makkah dan Madinah dari perhambaan sesama manusia kepada menyembah Allah; dari menyembah berhala kepada menyembah Allah, memberikan kebebasan minda kepada manusia di bumi itu dan kemudian membina asas Islam dalam menguruskan perjalanan hidup manusia untuk mencapai keredhaan Ilahi.
Asas pemerintahan yang dibina oleh Nabi Muhammad kemudian diteruskan dengan adilnya oleh para sahabat, dengan membenarkan rakyat mengeluarkan kritikan yang membina di mana betapa keras pun sikap Sayidina Umar Al-Khattab, tetapi ia tunduk dan menerima teguran membina dari rakyatnya.
Kemerdekaan menurut Islam, terkandung di dalam kata-kata Rub'ie bin A'mir ketika bertemu panglima tentera Rom yang bernama Rustum:
"Allah mengutuskan kami (orang-orang Islam), untuk kami merdekakan manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat."
Rub'ie bin Amir menyimpulkan kefahaman Islam yang diperolehinya daripada pentarbiyahan Nabi Muhammad bahawa penjajahan bukan saja boleh berlaku melalui penguasaan bangsa asing terhadap sesuatu kaum, tetapi ia juga boleh berlaku melalui penguasaan bangsa sendiri.
Maka orang yang bahagia ialah ketika ia berhasil memiliki jiwa merdeka. Sebuah negara merdeka, tetapi belum tentu semua rakyatnya meraih jiwa merdeka dan jiwa merdeka boleh dimiliki oleh sesiapa pun, baik pemimpin pemerintah mahupun rakyat biasa bergantung kepada kemampuan seseorang itu ‘memerdekakan’ jiwanya.
Oleh itu dalam suasana negara dan rakyat Malaysia menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan ke-57 ini sangat wajar kita merenung, apakah kita memiliki minda merdeka atau jiwa kita masih dibelenggu ketakutan di mana seperti kata pepatah klasik Melayu, ‘Segala tunggul disangka hantu’. – 2 September, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments