Sebuah hadis Nabi Muhamad yang sangat mengesankan, yang sentiasa saya ingat:
“Kalau tidak malu, buatlah!”
Menurut mufassirin – pengkaji dan pentafsir hadis – hadis ini sangat powerful, diucapkan Nabi Muhammad dengan nada yang sangat tegas lebih sekadar ingatan, tetapi 1 amaran keras.
Untuk mengingatkan umatnya, mereka hendaklah memiliki rasa malu, menjaga maruah dan amanah, kerana malu itu ialah ciri amanah.
Jika tidak ada rasa malu, maka tidak ada amanah dan tidak ada maruah. Malah, malu itu sendiri adalah ciri iman. Tanpa malu, bermakna tidak ada iman.
Nabi Muhammad mengucapkan “kalau kamu tak malu, buatlah” ini kira-kira 1,400 tahun lalu, tetapi tetap segar di kalangan umatnya yang memegang teguh akan sistem nilai dan moral Islam, maka mereka akan selamat.
Ketika mengingat semua ini, saya terkesan pula akan sebuah dialog yang sangat menarik dalam drama “Hamlet” karya pujangga Inggeris, William Shakespeare yang dituturkan Hamlet, watak utama drama tersebut, kepada rajanya. Dialog itu berbunyi:
“Tuanku, jika tuanku kehilangan harta, sebenarnya Tuanku tidak kehilangan apa-apa. Jika Tuanku sakit, sebenarnya Tuanku hanya kehilangan separuh saja daripada apa yang Tuanku miliki, tetapi jika Tuanku hilang nama baik, bermakna Tuanku hilang segalanya.”
Raja Inggeris itu memegang bahu Hamlet dan mengucapkan terima kasih.
Dialog emas ini selalu saya ingat terutama pada masa ini ketika suhu dunia politik begitu memuncak, ketika anggota masyarakat banyak memperkatakan bagaimana begitu ramai orang besar terlibat dalam politik dan hal kemasyarakatan hilang rasa malu, hilang nama baik atas pelbagai sebab.
Ada yang terjebak dalam kes tidak amanah, salahguna kuasa, penyelewengan, melakukan pembaziran yang semuanya meruntuhkan nama baik golongan yang melakukannya malah merosakkan masyarakat.
Ini menyebabkan masyarakat hilang kepercayaan, memandang rendah, kecewa, hampa, marah dan pelbagai reaksi lagi terhadap golongan yang melakukan ini.
Malangnya, golongan yang tidak ada rasa malu ini tidak berusaha untuk memelihara nama baik mereka, tidak merasakan apa-apa, jauh sekali rasa malu, malah seolah bersedia melakukannya lagi.
Inilah menyebabkan, saat ini, saya merenung kembali akan hadis Nabi Muhammad yang sangat mengesankan itu.
Sementara itu dialog dalam drama William Shakespeare juga menampilkan akan pentingnya menjaga nama baik, kerana tanpa menjaga nama baik, seseorang itu hilang segalanya, biarpun setinggi mana kedudukan dan pengaruhnya.
Saya memetik tulisan Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin mengenai hal ini. Tulisnya:
“Saya tertarik dengan kata-kata Sayyid Qutb- sebelum dihukum gantung sampai mati- dalam suratnya kepada adik perempuannya, Aminah Qutb. Surat itu kemudian dijadikan risalah kecil yang dinamakan Afrah al-Ruh.
Kata Aminah Qutb: “Semasa usia saya 20-an saya pernah bermimpi berbicara dengan Sayyid Qutb dalam keadaan saya sedang membaca surat tersebut. Antara yang beliau sebut dalam suratnya: “Apabila kita mencari sudut baik dalam jiwa manusia kita akan dapati di sana kebaikan yang banyak yang barangkali mata kita tidak dapat melihatnya pada awal pandangan”
Beliau menyebut lagi: “Sesungguhnya kejahatan itu bukanlah sesuatu yang mendalam di jiwa insani sehingga ke peringkat yang kita bayangkan kadang-kala. Ia hanyalah kulit keras luaran yang diguna manusia untuk menghadapi kehidupan demi untuk bertahan.
Apabila mereka beriman maka tersingkaplah kulit keras luaran itu, zahirlah buah manis yang menyelerakan. Buah manis ini hanya tersingkap kepada sesiapa yang mampu menjadikan manusia merasa aman di sisinya, dengan keyakinan terhadap kasihnya, dengan simpati yang hakiki atas masalah, kesakitan, kesilapan dan kebodohan mereka, dengan sedikit berlapang dada pada peringkat awal untuk menjamin merealisasikan itu semua. Ia lebih pantas daripada sangkaan kebanyakan orang.”
Maka, ingatan Nabi Muhammad- “Jika kamu tidak malu, buatlah” – seperti saya katakan tadi, adalah pesan yang mesti dipelihara umat Islam khususnya dan masyarakat umumnya jika mereka masih memikirkan maruah dan harga diri.
Berapa banyak diktator, pemimpin dan pembesar negara dalam sejarah tersungkur jatuh kerana membolot kekayaan yang entah mana datangnya, menyalahgunakan kuasa dan perbuatan keji yang lain.
Diktator seperti raja Perancis dan permaisurinya dalam sejarah revolusi Perancis, para pembesar zaman moden, seperti presiden Romania dan permaisurinya, Presiden Filipina Ferdinand Marcos dan permaisurinya dan ramai lagi yang menyimpan harta berbilion dolar dan ramai lagi pembesar negara di seluruh belahan dunia.
Semuanya jatuh tersungkur menanggung malu berpanjangan.
Namun semua ini tidak juga menyedarkan sesetengah pihak akan sifat keji ini.
Sifat tidak amanah, membazirkan harta rakyat, penyelewengan, rasuah dan segalanya masih berterusan berlaku dalam pelbagai bentuk dan saiz.
Tidak mudah untuk menginsafkan mereka, kerana kemewahan, keserononokan gaya hidup, sangat mempengaruhi watak seseorang, apatah lagi apabila diberikan kuasa sama ada besar atau kecil.
Saya terbayang, bagaimana jika drama Hamlet dipentaskan sekali lagi dan disaksikan orang besar dan berpengaruh?
Bagaimana jika mereka mendengar kembali dialog Hamlet kepada rajanya itu?
Dalam hubungan ini saya teringat pepatah Cina klasik berbunyi:
“Jika kamu merasakan tidak bersalah, tiba-tiba ada bunyi ketukan di pintu rumah kamu di tengah malam, maka kamu tidak akan merasa takut, kerana kamu percaya kamu tidak melakukan sebarang kesalahan.”
Renungkanlah moral peribahasa Cina ini. – 1 Disember, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments