Opinion

Ke mana perginya orang kampung

Satu pagi di sebuah warung kecil desa terpencil, di selatan tanah air, beberapa orang kampung sedang duduk bersembang, sambil bersarapan kuih muih dan roti canai.

Sesetengah orang kampung mengerjakan kebun sendiri dan pelbagai lagi kerja kampung.

Mengambil upah menebas, mendalamkan parit dan ada yang menjadi nelayan pantai sebelum kuala dan pantai tercemar.

Kampung itu, seperti juga kampung lain, semakin hari semakin sepi. Jumlah penduduk kampung semakin berkurangan.

Ada yang berpindah mengikut anak menantu bekerja di bandar, ada yang berpindah menjadi peneroka Felda dan ada yang meninggal dunia.

Ramai juga anak muda kampung bekerja di Singapura dan bandar besar yang lain.

Semakin berkurangnya jumlah orang kampung menyebabkan timbul kesulitan bagi mereka yang hendak mengumpulkan orang kampung untuk kenduri kendara, kenduri arwah, baca Yasin dan sebagainya.

Orang kampung yang masih mengunjungi beberapa buah warung dan kedai runcit di simpang 4 kampung berusia lingkungan umur 40-an hingga 60-an, saki baki generasi lama yang masih wujud.

Generasi yang lebih lama seperti Pak Uteh, Pak Ali Jenggut, Pak Alang Diman, Uda Simen, Ngah Leman, Kang Semaon dan lain-lain sudah meninggal.

Saya mendapat tahu, kampung-kampung lain di seluruh negara  juga semakin kurang penghuninya, atas sebab yang hampir sama.

Perbualan di warung pagi itu, seperti biasa mengenai politik tanah air, harga barang naik, serta perihal politik rasuah.

Walaupun pandangan mereka tidaklah ‘tinggi’, jauh daripada teori politik tinggi, tetapi sangat menarik – jujur, tajam, tepat dan ringkas. Inilah suara rakyat biasa, suara orang kampung, bukan suara pak menteri, wakil rakyat di Parlimen dan di Dun serta suara orang besar yang lain.

“Sekarang ini kalau bawak duit dua puluh ringgit, atau tiga puluh ringgit, apalah yang boleh dibeli, bunyinya besar, tapi nilainya, semuanya serba mahal,” kata seorang lelaki yang dikenali sebagai Pak Leman.

“Ikan mahal, barang lain mahal, semuanya mahal. Kita orang kampung memang sangat terasa,” keluhnya.

Temannya, Pak Atan, menambah, “Harga barang di kampung lebih mahal kalau dibandingkan di bandar. Ini disebabkan bayaran lori mahal kerana jauh di kampung, macam-macam lagi.”

“Di bandar, kedai besar selalu saja menawarkan jualan harga murah. Di kampung tak ada tawaran harga murah seperti itu, jadi orang bandar lebih beruntung,” katanya.

Sebab itu, ramai orang kampung yang memiliki kereta atau van, pergi ke pekan besar membeli barang dapur untuk keperluan seminggu sekali.

Tetapi tidak semuanya mempunyai kereta. Masih ramai menggunakan motosikal dan basikal.

Pagi itu seorang wanita pertengahan umur, yang dikenali sebagai Mak Ngah Timah menghantar sebakul kuih-muih Melayu.

Kata orang di warung yang biasa makan kuih-muihnya, “Memang sedap. Harganya murah, tiga seringgit. Kalau di bandar  40 sen atau 50 sen seketul.”

Orang kampung sangat bersimpati dengan Mak Ngah Timah, ibu tunggal yang menyara tiga anak yang sedang membesar. Suaminya meninggal dunia beberapa tahun lalu.

Sambil makan roti canai , Pak Atan, mengulas dan kali ini memancarkan pemikiran yang berterus terang.

“Sekarang ini semuanya kena cukai, macam-macam cukai. GST, Jangan kata orang kampung tak kena cukai, kena juga, semuanya kena, cuma kebanyakannya tidak tahu. Barang dalam tin, ikan sardin pun kena GST,” katanya.

Mereka sebanyak sedikit tahu mengenai GST. Mereka mengikuti penerangan di TV dan akhbar serta cerita yang di bawa anak mereka apabila pulang bercuti di kampung.

Pandangan Pak Atan itu segera disambut oleh Alang Rashid, salah seorang rakannya. “Kita orang kampung nak buat macam mana. Terima sajalah.”

“Kita boleh suarakan bantahan kita waktu pilihan raya nanti,” kata Khairi, “Dekat pilihan raya nanti, kita ada suara untuk membantah. Pihak berkuasa akan dengar. Kalau tidak dengar, jangan undi mereka.”

“Tapi,” kata Alang Rashid, “macam-macam bantuan akan tiba waktu itu. Habis semuanya jadi lembut, tak ada suara yang sanggup membantah. Lepas pilihan raya balik semula macam biasa. Kita orang kampung beginilah juga.”

Kang Rais, yang sejak tadi hanya mendengar perbualan rakan-rakannya di warung itu, segera memberikan pandangan.

“Orang kampung ada tanah luas, di depan rumah, belakang rumah. Mengapa masih membeli sayur di pekan sana. Kalau orang kampung rajin tanam sayur, bukan saja tak payah beli sayur di kedai, malah boleh jual sayur di bandar,” katanya.

Kata-katanya ini mengejutkan beberapa orang di warung itu. Lalu Alang Rashid mengulas, “Sayapun ada tanam sayur di belakang rumah, untuk makan sendiri sajalah. Nak bawak ke bandar untuk dijual memang tak cukup.”

Rata-rata orang kampung terpencil ini mengeluh, mata pencarian mereka terancam disebabkan pencemaran pantai – kesan tumpahan minyak, penambakan pantai.

Semua ini menyebabkan banyak ikan mati terdampar di pantai. Kini bot-bot nelayan pantai itu tersadai di kuala sungai yang tercemar airnya.

Inilah suasana desa yang semakin sunyi, pohon kelapa yang tinggi menjulang, buahnya gugur sendiri dan sukar pula mencari pekerja untuk memungut dan menjualnya kerana kekurangan pekerja.

Memaksa segelintir orang kampung menggagahkan diri memungut kelapa di tanah sendiri dan menjualnya. Tetapi jumlahnya kecil.

Menurut kajian, dalam PRU ke-13 yang lalu, jumlah penduduk luar bandar semakin berkurangan, hanya sekitar 25% daripada jumlah keseluruhan pengundi dan tentunya jumlah itu akan semakin merosot.

Secara lojiknya pengundi bandar yang semakin besar jumlahnya akan mendominasi demografi pengundi dalam PRU akan datang.

Kini, trend pemikiran pengundi bandar lebih banyak menentukan keputusan PRU akan datang.

Jangan ada lagi parti politik yang bermimpi bahawa undi berdasarkan sesuatu kaum akan menentukan kemenangan dalam PRU akan datang, kerana demografi pengundian berubah sama sekali. – 3 November, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider
 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments