Di sebuah desa terpencil di pulau Jawa, sebuah warung rakyat biasanya sentiasa meriah kerana dikunjungi pelanggan sejak dibuka dari tengah hari hingga ke malam.
Warung itu terletak di simpang empat di tengah kebun teh dan jagung serta tanaman lain. Di warung itulah selalunya para petani berehat dari bekerja di perkebunan itu, sambil minum teh atau kopi Jawa dan makan jualan di situ.
Perbualan para petani yang datang ke situ membawa pelbagai tajuk, malah ada yang bercakap mengenai pemimpin politik yang berkuasa di Jakarta. Cerita mengenai korupsi, isteri orang besar yang berlagak, gaya hidup orang besar politik dan kaya, serta macam-macam lagi.
Pelanggan warung rakyat itu ada yang pandai mengulas dengan penuh lucu, di selang-seli dengan ketawa - ada ketawa panjang dan ada yang pendek saja, bergantung kepada kelucuan sesebuah cerita. Namun sangat meriuhkan hingga malam hari sebelum warung itu ditutup.
Pada suatu malam, ketika mereka sedang berbual sambil ketawa, tiba-tiba datang seorang Pak Lurah (ketua mukim) dengan tongkatnya, lalu memarahi para pelanggan warung itu yang sedang ketawa.
Para pelanggan itu tercengang kehairanan, bercampur takut, menyedari yang di depan mereka itu ialah Pak Lurah yang bekuasa di mukim itu. "Apa khabar Pak Lurah," tanya salah seorang darinya.
"Kabar baik. Mengapa kamu semua tertawa," tanya Pak Lurah.
"Tak boleh tertawa Pak?" tanya seorang yang lain.
"Tentu, kerana tertawa itu dilarang, menjadi satu kesalahan. Sudah ada peraturan dari penguasa di Jakarta," jawab Pak Lurah.
"Wah di mana demokrasi Pak, kalau tertawapun dilarang," kata seorang yang lain di situ yang dilihat lebih berani.
"Memang tidak boleh," kata Pak Lurah serius, "kerana ketawa itu dianggap menghasut. Jangan ketawa lagi."
Pak Lurah berlalu dengan tongkatnya dan pelanggan di warung rakyat itu tertawa kecil, Pak Lurah tidak menoleh, mungkin kerana tidak mendengarnya.
"Hancurlah demokrasi kalau begini, ketawa pun tidak boleh, dianggap menghasut, menghasut siapa?" kata yang berani itu.
Cerita lucu ini saya ingat kembali, iaitu dari sebuah filem komedi Indonesia, berjudul 'Sambal Kledek' yang dibuat di zaman Order Baru. Memang karyawan Indonesia rajin menulis cerita seperti ini yang penuh sindiran.
Sementara itu, seorang lagi penulis/penyair/dramatis terkenal Indonesia, WS Rendra menulis dalam puisinya 'Kesaksian Bapak Saija', kisah seorang penakut yang akhirnya mati juga.
Puisi 'Kesaksian Bapak Saija', WS Rendra itu menampilkan Pak Saija yang bangkit dari alam barzakh untuk membuat kesaksian betapa menyesalnya beliau menjadi manusia penakut selama hidupnya. Ia takut membuka mulut untuk memprotes ketidakadilan, ia takut melawan kerana melawan bererti mati. Tetapi ternyata akhirnya Pak Saija mati juga sebagai korban kezaliman.
Ia mati walaupun tidak melawan. Ia menyesal, tetapi sayang, ia terlambat, kerana penyesalan itu timbul hanya sesudah mati dibunuh dan mayatnya ditendang ke dalam longkang. Sesudah mati - di alam barzah - baru ia menyedari sepanjang hayatnya sebagai penakut ia bersubahat dengan orang zalim. Justeru, kerana ketakutannya melawanlah, maka orang lain berleluasa melakukan kezaliman. Penyesalan terlambat seorang penakut itulah yang diungkapkan oleh Rendra dengan bait-bait puisinya:
Hidup tanpa daya
Sebab daya ditindih ketakutan
Setiap hari seperti mati berulang kali
Setiap saat berharap menjadi semut
agar bisa menjadi tidak kelihatan.
Sekarang setelah mati
baru aku menyedari
bahwa ketakutanku membantu penindasan,
dan sikap tidak berdaya telah menyuburkan ketidakadilan.
Pak Saija sebenarnya bukan tidak berdaya, tetapi dayanya dilumpuhkan oleh sifat penakutnya. Memang kekuatan tidak akan berguna tanpa keberanian. Kerana itu orang Melayu selalu memadukan kekuatan dengan keberanian, kata Dr Siddiq Fadhil dalam bukunya, 'Islam dan Melayu' yang dilancarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa tahun lalu. Untuk ini Dr Siddiq mengungkapkan serangkap pantun Melayu:
Apa guna pergi ke bendang
Kalau tidak menanam padi
Apa guna keris disandang
Kalau tidak berani mati.
Dr Siddiq berpendapat, hidup tanpa daya dalam belenggu budaya takut, bukanlah kehidupan yang didambakan oleh manusia bermaruah, berilmu dan beriman. Justeru, katanya, budaya takut (culture of fear) jelas bertentangan dengan aspirasi kebebasan yang terpancar daripada ajaran tauhid.
Surah Quraysh menyebut Allah sebagai Tuhan pengurnia makanan untuk bebas dari kelaparan, dan Dia jugalah pengurnia keamanan untuk bebas dari ketakutan. Demikianlah hakikat kebebasan daripada ketakutan, di samping kebebasan daripada kelaparan sebagai suatu yang amat terkait dengan iman dan pengabdian kepada Tuhan Yang Maha Esa.
Menurutnya, daya maju sesuatu bangsa banyak ditentukan oleh faktor budaya yang teguh dan kepimpinan yang tangguh. Untuk memacu daya maju bangsa Melayu, budayanya perlu diperkasa dengan nilai kudus kewahyuan Al-Quran dan Al-Sunnah. Dengan demikian bangsa ini akan menjadi umat yang berjaya menepati kata al-falah, kejayaan hakiki duniawi-ukhrawi.
Yang kita aspirasikan, katanya, adalah bangsa berjaya yang benar-benar berjaya, bukan bangsa yang berlagak sebagai bangsa berjaya dengan berbelanja besar membeli barang-barang perhiasan mewah konon sebagai bangsa yang telah berjaya, buying the ornaments of success.
Menurut Dr Siddiq lagi, Melayu perlu dibangunkan dengan nilai-nilai murni keagamaan, bukan dengan sentimen perkauman sempit. Melayu ideal dalam wawasan bukunya, katanya, adalah Melayu yang Islamis, bukan Melayu yang rasis. Melayu yang Islamis adalah Melayu yang berakhlak mulia, kaya dengan rasa kasih kemanusiaan, setia menjunjung nilai ukhuwwah, persaudaraan dalam erti luas yang merentasi batasan ras dan agama, ukhuwwah yang meliputi ukhuwwah Islamiyyah (persaudaraan seagama), ukhuwwah wataniyyah (persaudaraan setanahair) dan ukhuwwah insaniyyah (persaudaraan kemanusiaan).
Baginya, untuk merealisasikan gagasan Melayu yang menepati ciri khayra ummah, kita memerlukan pemimpin yang membina bangsa, bukan 'pemimpin' yang membesar diri dan memperkaya kroni. – 4 November, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments