Opinion

Masyarakat prihatin bimbang bahaya rasis

Rakyat prihatin, termasuk masyarakat sivil, sangat sedar dan bimbang akan bahaya perkauman yang diteriakkan secara nyaring sejak akhir-akhir ini. 

Dalam hal ini mereka berasa para pendakwah perlu  turut  bersama-sama menerangkan akan bahaya perkauman (rasis) kepada rakyat dan negara kerana ini juga tuntutan Islam.

Atas sebab tertentu, antaranya sebab politik, hal ini terjadi tetapi nyatalah ia sangat bahaya kerana perkauman atau rasis itu akan meruntuhkan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia. Juga meruntuhkan  sendi-sendi kemanusiaan, akhlak dan semua nilai murni dalam masyarakat.

Maka itu gejala perkauman, walau datang daripada pihak manapun, sama ada daripada orang politik, NGO, penulis, pengamal media, orang perseorangan atau siapa saja mestilah ditolak secara total kerana ia sebuah kejahatan. Tidak ada orang yang waras fikirannya yang bersetuju dengan rasisme, walau atas apa alasanpun.

Malaysia sudah 57 tahun merdeka sepatutnya keharmonian kaumnya semakin mantap dan saling hormat menghormati antara satu sama lain di mana semuanya mempunyai peranan masing-masing dalam negara ini. Tetapi apa yang terjadi sejak akhir-akhir ini menyebabkan masyarakat sangat bimbang, malah bingung dan bertanya, “Apa yang terjadi kepada negara ini?”

Hampir setiap hari ada saja percakapan, tulisan, laporan, pendapat pelbagai pihak, hasil cetusan dalam seminar dan sebagainya yang dilaporkan di media massa mengenai isu yang berunsur perkauman.

Oleh itu, elemen perkauman dan pemikiran agama yang sempit berkembang sedemikian rupa dan sangat membimbangkan. Saya kira semua pihak – rakyat pihatin, termasuk para pendakwah atau para ustaz dan ustazah yang menyampaikan kuliah baik di masjid atau surau ataupun di televisyen – wajar bersama-sama golongan prihatin menerangkan bahaya perkauman kepada negara dan rakyat di negara ini.

Usaha menggembling tenaga semua golongan sangat dituntut, terutama kepada para pendakwah kerana pengaruh mereka besar dalam masyarakat, terutama kepada mereka yang sering mendengar kuliah agama baik di masjid atau surau, ataupun di kaca televisyen.

Perkauman adalan elemen yang ditentang oleh Nabi Muhammad sendiri seperti yang disebut dalam hadis sahihnya, “Bukan dari kalangan umatku mereka yang meneriakkan assobiah (perkauman).”

Ini sebuah ingatan dari Rasulullah yang sangat tegas di mana suatu masa dulu ramai tokoh agama yang menyebut hal ini yang memberi amaran bahawa Islam menentang assobiyah (perkauman).

Malah seingat saya, ada tema ucapan dasar presiden PAS di tahun 80-an yang berbunyi “Menggempur Pemikiran Assobiyah” di mana dihuraikan bagaimana bahayanya pemikiran perkauman itu. Maka PAS mempelopori penentangan pemikiran perkauman ini dalam masa yang lama melalui ceramah, kenyataan media, pelbagai wacana dan sebagainya.

Tetapi kini, sudah jarang kedengaran gelombang penentangan ini, entah mengapa. Bagaimanapun saya yakin, PAS masih tetap dengan dasarnya menentang assobiyah dalam apa bentukpun.

Saya tidak memperincikan kegiatan perkauman yang kini semakin bersemarak di negara ini kerana banyak didedahkan dalam pelbagai media terutama media alterlanrtif sejak akhir-akhir ini.

Kita masih ingat ketika kempen menjelang PRU ke-13 setahun lalu di mana tukang kempen perkauman “melalak” siang dan malam dari hujung desa ke hujung desa yang lain, menuduh PAS diperalat oleh parti Cina DAP. Kempen perkauman serupa ini dilakukan di kawasan majoriti Melayu di pedalaman dan kempen seumpama ini sangat lama di mana sesetengahnya berkesan.

Di kawasan bandar, tempat di mana ramai pengundi Cina, tukang kempen ini menuduh pula, “DAP menjadi alat PAS untuk melaksanakan negara Islam.” Begitulah seterusnya.

Namun keputusan PRU setahun lalu itu, majoriti pengundi menolak kempen perkauman menyebabkan Pakatan Rakyat mendapat 52% undi popular, sementara BN mendapat 48% saja.

Kini genap setahun PRU ke-13 di mana sepatutnya isu perkauman sudah semakin berkurangan, walaupun tidak mudah untuk dihapuskan terus. Malangnya isu perkauman dan pemahaman agama yang sempit itu kini semakin bersemarak, malah kelihatan tidak semudah itu untuk reda, jauh sekali untuk dihapuskan.

Saya tertarik dengan pandangan tokoh  ideolog PAS, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa dalam The Malaysia Insider yang menyebutkan:

“Hubungan antara agama di negara ini sedang diuji pada tahap maksimanya dan rakyat di negara ini terpaksa berada pada tahap kesabaran yang tinggi bagi meneruskan cita-cita Malaysia yang terbina atas hormat menghormati antara satu sama lain.

“Walaupun teras negara ini dibina atas Islam sebagai agama rasmi negara dan kebebasan beragama untuk penganut lain, namun ada di kalangan kita yang memekakkan telinga mereka dan membutakan mata mereka hanya untuk mendengar dan melihat kepentingan agenda sempit mereka semata-mata,” katanya.

Beliau menyebut mengenai seminar yang baru-baru ini diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) anjuran bersama pelbagai pihak termasuk UiTM sendiri dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais). Beliau menyebutkan seminar itu tidak banyak membantu memulihkan luka hubungan antara agama di negara ini, malah ia mungkin dilihat menambahkan lagi garam pada luka yang belum sembuh.

“Saya tidak tahu apakah motif di sebalik penganjuran seminar itu,” katanya, “kerana jika ia bertujuan mengukuhkan akidah umat Islam, maka ia sesuatu yang baik dan murni, namun ini bukan bermakna kita diberi lesen untuk mengutuk agama lain.”

Menurut beliau, jikalau tujuannya adalah untuk menghayati kehidupan agama yang rencam, maka pelbagai pihak daripada agama lain hendaklah dijemput sama supaya perspektif agama lain dinilai dari kaca mata penganutnya.

“Jika seminar itu bertujuan untuk berdebat kepada rumusan betul dan salah, maka suasana yang adil dengan memberi suara kepada agama yang dibincangkan untuk mempertahankan diri perlu ada dan kemudian terpulanglah kepada peserta untuk membuat penilaian sendiri,” katanya.

Jika suasana seperti ini menguasai seminar, kata beliau maka ia adalah suasana intelektual yang sihat dan wajar digalakkan. Sebaliknya, katanya, tanpa suasana yang disebutkan di atas, ia hanya akan mengundang pelbagai keraguan dan mengeruhkan keadaan yang sudahpun tegang hari ini.

Oleh itu, saya menyokong pandangan Dr Mujahid dan marilah kita renung bersama masalah perkauman dan fahaman agama yang sempit dan sama-sama berusaha mengatasinya. – 13 Mei, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments