Opinion

Melayu sederhana perlu disokong

Ketika kemunculan golongan ekstremis Melayu dan agama yang dilihat sangat mencemaskan, muncul golongan sederhana Melayu yang dilihat sangat melegakan dan memberi harapan dalam usaha memikirkan masa depan negara.

Mereka ini terdiri daripada kalangan bekas pegawai tinggi kerajaan, ada yang bekas duta, ada yang bekas ketua setiausaha pelbagai kementerian, peguam ternama dan kalangan profesional yang lain.

Kemunculan golongan sederhana Melayu ini memberi harapan baik, suatu pencerahan kepada minda Melayu, menolong menyelamatkan Melayu dari pemikiran ala-Taliban yang mencetuskan permusuhan yang tidak habis-habisnya di benua kecil India sejak lama.

Kemunculan golongan sederhana ini satu perkembangan yang luar biasa dan melegakan, menyebabkan rakyat Malaysia umumnya boleh menarik nafas lega yang cahaya keharmonian kaum sedang diusahakan para tokoh Melayu sederhana di negara ini.

Kemunculan golongan Melayu sederhana ini seperti cahaya di hujung terowong, yang selama ini rakyat Malaysia seperti terperangkap dalam kegelapan yang panjang.

Semoga usaha pencerahan Melayu sederhana ini mendapat sokongan rakyat, khususnya Melayu yang bersikap rasional, terbuka, yang mengamalkan wasatiyyah sebenarnya, sederhana dan seimbang, toleransi dan segala yang terbaik untuk negara ini.

Kumpulan Melayu sederhana ini dipimpin oleh antaranya, Datuk Noor Farida Ariffin, bekas Duta Besar Malaysia ke Belanda. Kumpulan ini terdiri dari 25 tokoh Melayu terkemuka menulis surat terbuka meminta satu dialog yang rasional diadakan mengenai kedudukan Islam dalam sebuah negara demokrasi berperlembagaan. Kumpulan Melayu sederhana ini menerbitkan suatu kenyataan bagi pihak 25 penandatangan minggu lalu.

Antaranya ialah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Datuk Abdul Rahim Din; bekas Ketua Setiausaha, Kementerian Luar Negeri Tan Sri Ahmad Kamil Jaafar; bekas Ketua Setiausaha, Kementerian Kewangan Tan Sri Dr Aris Othman; bekas Ketua Pengarah, Kementerian Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican; bekas Ketua Setiausaha, Kementerian Kewangan Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim; bekas Ketua Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Tan Sri Dr Mustaffa Babjee dan bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia Hendon Mohamad.

Noor Farida, yang pernah menjadi Ketua Pengarah Penyelidikan, Perjanjian dan Jabatan Undang-undang Antarabangsa, Kementerian Luar berkata beliau dan yang lain "amat bimbang mengenai keadaan perbahasan dalam banyak isu konflik ke atas kedudukan dan penggunaan undang-undang Islam di Malaysia".

"Sudah tiba masanya orang Melayu dan umat Islam yang sederhana bersuara. Golongan pelampau dan tidak bertoleransi ini memburukkan nama Melayu dan Islam sendiri, di mana mereka tidak wajar bercakap mewakili nama Melayu,” katannya.

Noor Farida berkata, beliau bimbang sesetengah kumpulan Melayu, seperti Taliban mempolitikkan Islam dan memberi amaran keadaan itu akan menyebabkan keganasan jika tidak diambil tindakan sewajarnya.

“Saya tidak mahu lihat apa yang berlaku di Pakistan dan Afghanistan jadi kepada negara kita, di mana golongan profesional dan berbakat takut dengan masa depan mereka dan keluarga mereka kerana kebangkitan ekstremisme agama dan mereka meninggalkan negara sendiri dengan membawa duit dan kemahiran bersama.

“Jika ini berlaku di Malaysia, ia akan menjejaskan ekonomi kita dan hanya tinggal mereka yang tidak berbakat yang akan menghancurkan negara,” katanya.

Untuk sekian lama, suara pelampau Melayu dan agama, semakin nyaring dan menakutkan siapa juga, bukan saja di kalangan bukan Islam bahkan di kalangan Melayu sederhana juga dan nampaknya gelombang ektrimisme ini dibiarkan berkembang, sedangkan ini adalah ancaman kepada rakyat berbilang kaum di negara.

Saya yakin kumpulan Melayu sederhana ini akan terus berkembang, mendapat sokongan semua pihak yang rasional, yang menggunakan akal dan ilmu, bukan emosi. Masyarakat madani, akan menyokong usaha murni ini.

Maka tidak syak lagi, InsyaAllah, golongan Melayu sederhana ini akan mendominasi pemikiran majoriti rakyat Malaysia. Malah, ia akan mewakili suara Melayu yang berpendidikan, terbuka dan rasional di mana mereka boleh diletakkan harapan.

Bahkan agama Islam yang menekankan kesederhanaan seperti yang dirakamkan di dalam Al-Quran dan diperlihatkan dalam pelbagai Sunnah Nabi Muhammad wajib dipatuhi oleh umat Islam.

Selama ini terjadi pelbagai perlakuan sesetengah umat Islam yang kononnya atas nama mempertahankan kemurnian Islam, tetapi tanpa disedari, perbuatan mereka merosakkan nama baik Islam itu sendiri.

Ini menyebabkan timbul kekeliruan yang amat sangat di kalangan kebanyakan umat Islam, hingga ada yang menyangkakan semua tindakan golongan pelampau agama ini juga dikira ‘mempertahankan Islam’.

Kita berharap golongan pendakwah, agamawan yang berpendirian sederhana, tampil menjelaskan mengenai hal ini, supaya umat Islam benar-benar mengetahui bagaimana yang dikatakan Islam yang diajarkan oleh Al-Quran dan yang dipancarkan dalam Sunnah Nabi Muhammad.

Peranan golongan agamawan yang setiap hari berdepan dengan jamaah masjid dan surau atau di mana-mana saja, sangat penting untuk menyampaikan pandangan sederhana ini.

Ini tidak bermakna umat Islam berkompromi dengan asas-asas hukum Islam yang termaktub di dalam Al-Quran dan hadis mutawatirah. Yang diperlukan di sini ialah pandangan sederhana dalam memahami Islam.

Hendaknya para agamawan jangan hanya menumpukan perhatian kepada masalah hukum halal-haram semata-mata, walaupun hal itu penting, tetapi juga persoalan toleransi dan keterbukaan.

Dengan Islam sebagai Rahmatan Lilalamin, umat Islam berkewajipan melaksanakan konsep ini, lebih-lebih lagi para agamawan yang wajib mencontohinya.

Kesimpulannya, semua pihak bukan saja wajar mengalu-alukan usaha kumpulan Melayu sederhana ini tetapi juga memberikan sokongan sepenuhnya, justeru usaha ini juga sebahagian dari tuntutan Islam.

Inilah salah salah cara menyelamatkan Malaysia dari tersungkur ke jurang perkauman dan fanatik agama, malah cita-cita golongan Melayu sederhana ini sesuai dengan tuntutan Islam. – 16 Disember, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments